Kenyataan media oleh Jaideep Singh and Lillian Wee, Penyelidik of Research for Social Advancement (REFSA) pada 15 September 2021
Ketika Malaysia sedang menuju fasa pembukaan semula sektor ekonomi dan membuat persiapan bagi fasa endemik COVID-19, prosedur operasi standard (SOP) kita masih lagi tidak jelas dan pengumuman pula dilakukan sedikit demi sedikit. Hal ini akan menjejaskan fasa pemulihan ekonomi dan berlaku defisit kepercayaan orang awam.
Pembukaan sektor ini dijalankan selepas 75 peratus populasi dewasa Malaysia telah lengkap menerima vaksin setakat pertengahan September 2021 dengan kadar kematian, jumlah kes, dan kapasiti ICU di Lembah Klang kian berkurang sebulan selepas Operasi Lonjakan Kapasiti ditamatkan.
Dalam merangka strategi bagi fasa pemulihan, REFSA memperkenalkan Projek Muhibah yang menyenaraikan 10 langkah strategi untuk mengatasi cabaran sosioekonomi disebabkan pandemik COVID-19. Strategi pertama telah diterbitkan pada akhir bulan Jun yang menyentuh keperluan mempunyai sebuah sistem yang tersusun bagi melakukan penjejakan kontak dan pembendungan secara besar-besaran. Strategi kedua pula menekankan bagaimana SOP yang dibuat berdasarkan sains dan fakta berkesan untuk membuka sektor dengan selamat. Strategi ketiga pula memberi tumpuan kepada bantuan ekonomi secara bersasar kepada kumpulan yang terjejas akibat pandemik.
Bagi strategi keempat yang telah dihasilkan oleh Dr Ong Kian Ming, Fredrik Paulus dan Jaideep Singh, kami telah memberi fokus kepada kerangka pembukaan semula ekonomi secara tersusun dan selamat, bertanggungjawab, dan berdasarkan sains dan fakta, bagi meningkatkan kepercayaan awam. Untuk memastikan sasaran ini tercapai, kami telah mengenalpasti lapan perkara penting yang perlu diuruskan.
- Pembukaan semula beberapa sektor secara berperingkat perlu dilaksanakan berbanding pembukaan secara umum. Pembukaan berperingkat ini perlu disertakan dengan SOP yang dinamik dan terperinci seperti keperluan membuat ujian saringan dan kapasiti operasi berdasarkan sains dan fakta.
- Menerbitkan data terperinci merangkumi peringkat daerah, dan memperbaharui kategori data penting berkait COVID-19 yang perlu diterbitkan secara harian.
- Fasa pembukaan berdasarkan analisis risiko dan sains, bukan menurut sentimen awam. Kerajaan perlu membina kepercayaan dan menguruskan kebimbangan rakyat mengenai fasa pembukaan sebaik mungkin. Menyedari bahawa COVID-19 akan menjadi endemik, rakyat perlu menyesuaikan diri berdasarkan risiko kendiri, dengan andaian mematuhi SOP yang betul.
- Pembukaan Institusi Pengajian Tinggi dan Sekolah rendah dan menengah secara selamat, memandangkan pelajar yang meneruskan pengajian di rumah telah terjejas dari segi pencapaian dan prestasi. Untuk mengatasi masalah ini, perlu ada satu SOP yang menyeluruh supaya seluruh sekolah tidak perlu ditutup hanya disebabkan sebilangan kes yang dilaporkan.
- Membenarkan perjalanan rentas negeri dan pembukaan sempadan secara selamat bagi perjalanan dan pelancongan, khususnya kepada mereka yang sudah lengkap vaksinasi apabila semua negeri telah mencapai 80 peratus populasi dewasa mendapat vaksinasi lengkap. Pelaksanaan ujian saringan perlu menjadi prasyarat utama, menteri juga perlu kreatif dalam mencipta “produk” pelancongan baharu yang mendatangkan manfaat berangkai kepada industri yang berkaitan.
- Setiap kementerian perlu membentangkan Pelan Pemulihan Ekonomi kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk pengetahuan awam. Ini bermaksud kementerian harus memberi panduan dalam merangka SOP baharu tentang kaedah yang boleh digunakan oleh beberapa sektor dibawah pengawasan masing-masing dalam membina semula asas yang lebih baik sebagai sebahagian pelan pemulihan ekonomi COVID-19.
- Perlu penerangan SOP yang lebih jelas. Seperti sekarang, SOP untuk pembukaan semula ekonomi masih menimbulkan kekeliruan seperti keupayaan operasi restoran bergantung kepada kadar peratusan pekerja yang telah divaksin.
- Setelah semua sektor dibuka, kita perlu melakukan apa sahaja yang diperlukan untuk tidak menutupnya semula. Segala penutupan boleh dilakukan secara bersasar dan ekonomi perlu dibenarkan beroperasi seperti biasa meskipun ada cabaran kecil.
Setelah kita membuka sektor ekonomi, satu proses yang ketat untuk membendung penularan mesti dilaksanakan supaya kita tidak perlu lagi menutup sektor ekonomi secara berulang kali walaupun kes melonjak naik. Sekurang-kurangnya, sekatan pergerakan tidak sepatutnya tidak seketat apa yang dilakukan semasa ketiga-tiga pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Kita perlu membina kepercayaan awam secara tuntas supaya para peniaga dan masyarakat yakin dapat menempuh Norma Baharu ketika negara memasuki fasa pembukaan semula.
READ PROJEK MUHIBAH STRATEGY 4 HERE
For English media statement Click Here.