refsa thumbnail resize for websitenewsletter(29)

Belanjawan  2023: REFSA fokus kepada keseimbangan jangka pendek dan panjang

Kenyataan Media oleh Jaideep Singh dan Frederik Paulus, Research for Social Advancement (REFSA) pada 5 Oktober 2022

Belanjawan 2023 ini dirangka ketika rakyat Malaysia berhadapan dengan cabaran besar – kos sara hidup, pandemik, risiko geopolitik, kemelesetan ekonomi global, dan pilihan raya akan datang. Isi rumah pula masih merasai tekanan akibat sekatan ekonomi pada tahun 2020 dan 2021 – pengangguran semakin meningkat, kemiskinan, dan ketidaksamarataan bertambah buruk.  

Cabaran-cabaran ini menjadikan Belanjawan 2023 permulaan penting bagi membina dan menyusun semula ekonomi negara. Meskipun belanjawan sebelum ini menekankan perbelanjaan untuk mengatasi COVID-19, Belanjawan 2023 perlu memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi yang berdaya tahan dan mampan, selari dengan fokus penyelidikan jangka panjang yang diketengahkan oleh REFSA.  

Kenyataan mengenai Rancangan Malaysia Ke (RMK-12) turut menyentuh mengenai pembangunan mampan, tetapi ia tidak dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh oleh kerajaan.  Dengan RMK12 yang bakal memasuki separuh perjalanannya pada 2023, sudah tiba masanya pendekatan yang lebih kukuh diperkenalkan. Pandemik telah menyedarkan kita tentang kepentingan mempunyai masyarakat berdaya tahan, prihatin, dan nilai ini perlu menjadi asas untuk menempuhi masalah iklim. REFSA melihat fokus utama perlu diberikan atas permasalahan berganda ketidaksamaan ekonomi dan kepentingan mempunyai jaringan keselamatan sosial yang kukuh. 

Sebaliknya, masa untuk perbelanjaan fiskal tanpa had juga sudah lewat: subsidi harus disasarkan dengan lebih baik dan sumber pendapatan baharu perlu dicipta. Dengan ekonomi global kembali aktif seperti pasca pandemik, terdapat beberapa asas untuk mengukuhkan ekonomi negara. Sokongan fiskal perlu kekal teguh kerana kerana masih terdapat cabaran global utama yang menjejaskan pemulihan negara, seperti kebimbangan yang semakin meningkat terhadap inflasi serta kesan lembapan kenaikan kadar faedah di Amerika Syarikat dan ekonomi utama lain, apatah lagi peningkatan mendadak akibat ketegangan geopolitik dan pelbagai ketidaktentuan.  

Keseimbangan kewangan dalam pemulihan jangka pendek dan panjang ini adalah satu pembaharuan berdaya tahan yang terdapat dalam Penyata Pra-Belanjawan 2023 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan pada bulan Jun. Oleh itu, tidaklah mengejutkan bahawa kita secara umum bersetuju dengannya, walaupun mungkin dengan penekanan yang berbeza dalam beberapa aspek.  

Bagaimana sebenarnya Belanjawan 2023 dapat mengimbangi objektif persaingan untuk meneruskan bantuan dan keperluan yang semakin meningkat untuk perbelanjaan mampan adalah satu persoalan asas dalam belanjawan kali ini.  Penyata Pra-Belanjawan menyatakan kerajaan akan terus melaksanakan langkah-langkah untuk meningkatkan pendapatan dan perlindungan sosial rakyat Malaysia di samping ‘mengukuhkan’ ‘kedudukan fiskalnya’. Tetapi, dari segi prinsip, ini adalah dua matlamat yang bercanggah. REFSA melihat penggabungan skala penuh harus dilakukan dalam jangka sederhana menuju pertengahan 2020-an sewaktu fasa pemulihan menyeluruh. Justeru itu, Belanjawan 2023 haru menerangkan bagaimana hasrat untuk meneruskan bantuan kepada isi rumah tanpa membebankan rakyat. Kami juga berharap belanjawan kali ini dapat memperkenalkan pendekatan untuk meningkatkan hasil kerajaan dan mendorong perubahan dalam kehidupan rakyat. 

Terdapat dua fokus yang kami tekankani: 

Pembangunan Mampan

Menurut Penyata Pra-Belanjawan, Belanjawan 2023 akan merangkumi ‘pertumbuhan hijau dan pembangunan mampan’ sebagai tonggak utamanya. Ini adalah langkah progresif, tetapi dasar yang kukuh bagi menjadikan Malaysia sebuah masyarakat yang mementingkan kehijauan alam sekitar masih kurang. 

Untuk mempercepatkan peralihan yang diperlukan ini, kami mencadangkan agar MoF mengkaji pelaksanaan cukai karbon sebagai sebahagian daripada Belanjawan 2023. RMK-12 telah menggesa ‘kajian’ mengenai ‘sistem percukaian karbon yang paling sesuai bagi memberi insentif kepada perubahan tingkah laku yang betul’. Namun, dua tahun sejak RMK-12 dibentangkan, masih tiada bukti sebarang kajian kebolehlaksanaan yang kukuh  dalam hal ini.

Dalam aspek untuk menangani kebimbangan cukai yang berpotensi ke arah regresif, hasil boleh diagihkan semula kepada isi rumah B40 dalam bentuk rebat dengan melaksanakan pendekatan yang telah dibincangkan dalam laporan Penang Institute. Dengan cara ini, cukai karbon dapat memberi kaedah yang neutral dalam belanjawan bagi meningkatkan subsidi kepada golongan yang memerlukan, sambil memberi insentif kepada perubahan tingkah laku positif dalam masyarakat. Dengan rancangan lima tahun yang memasuki tahun ketiga, kini adalah masa yang sesuai untuk mengangkat kajian ini dan memastikan perbincangan RMK-12 dalam soal kemampanan bukan kosmetik semata-mata. 

REFSA menyeru kerajaan memperkenalkan pasaran karbon sukarela (VCM) secepat mungkin. Belanjawan 2022 menggesa pelancaran VCM di bawah kelolaan  Bursa Malaysia bagi membolehkan syarikat membuat pencemaran membayar lebihan pelepasan karbon melalui pembelian kredit karbon. Pada dasarnya, penjualan kredit karbon, yang boleh dibekalkan oleh pemain industri, agensi atau kerajaan, biasanya menjurus kepada pembiayaan aktiviti pengurangan karbon berdasarkan kriteria ditetapkan. Sebagai mekanisme sukarela dan langkah peralihan dasar yang dipacu pematuhan seperti cukai karbon, ia tidak seharusnya dipertikaikan untuk dilaksanakan. Walaupun kita menghampiri Belanjawan  2023, program daripada belanjawan tahun lepas ini masih tidak dilaksanakan. Bursa Malaysia hanya mengumumkan bahawa ia akan dilancarkan ‘akhir tahun ini’ tanpa  garis masa yang jelas. 

Berikutan pelaksanaan sukuk kemampanan berkembang pesat, dan janji Belanjawan 2023 untuk mengutamakan pembiayaan mampan, peruntukan untuk Ecological Fiscal Transfer (EFT) perlu ditambah dan dibayar kepada negeri-negeri untuk memastikan kawasan hijau yang dilindungi tidak disentuh. Walaupun terdapat peningkatan dalam EFT kepada RM 100 juta pada 2022, aktivis alam sekitar menyatakan bahawa ini masih tidak mencukupi untuk memberi insentif kepada penanaman semula hutan dan pemeliharaan. EFT juga merupakan alat penting dalam mengukuhkan desentralisasi kerana ia memberi negeri hak untuk mewartakan kawasan yang mereka anggap penting untuk pampasan kewangan.

Mengambil pengajaran daripada pandemik, usaha membina daya tahan terhadap masalah iklim merupakan sebahagian daripada agenda pembangunan mampan. Ini termasuk pelaburan dalam infrastruktur kritikal seperti saliran air, pembetungan, keselamatan banjir, pelan pemulihan, dan sokongan waktu bencana. Sewaktu pandemik. negeri bertindak lebih cepat dan cekap berbanding kerajaan pusat kerana mereka lebih memahami persekitaran tempatan.  Berdasarkan EFT, Belanjawan 2023 perlu meletakkan mekanisme pembiayaan jangka panjang selanjutnya bagi membolehkan negeri melaksanakan peranan ini yang merupakan sebahagian daripada desentralisasi.  

Dasar pro-hijau tidak seharusnya meminggirkan imbangan fiskal. Usaha mengatasi subsidi petrol yang terlalu luas adalah langkah yang baik bagi alam sekitar dan kemampanan fiskal.  Penyata Pra-Belanjawan menyatakan “lebih separuh daripada subsidi yang disediakan oleh kerajaan telah memberi manfaat kepada kumpulan T20.” Subsidi petrol, yang telah meningkatkan perbelanjaan kerajaan pada tahun lalu akibat kenaikan harga minyak, adalah sebahagian besar daripada cabaran ini. Menghapuskannya secara total bukan jalan penyelesaian yang bijak.  Sebagai alternatifnya, kumpulan berpendapatan rendah boleh menerima pembayaran tunai yang lebih tinggi atau baucar bagi pengangkutan adalah sebahagian daripada pendekatan yang wajar dipertimbangkan. 

Kerajaan telah menunjukkan komitmen untuk melaksanakan subsidi bersasar dalam penyata Pra-Belanjawan.  Komitmen ini selari dengan advokasi  REFSA  untuk merasionalisasi subsidi, dan kami sudah pasti teruja untuk melihat  bagaimana perkara ini dapat dilaksanakan dalam Belanjawan 2023. 

Pertumbuhan Inklusif

Keterangkuman (inklusif) diulang beberapa kali dalam penyata Pra-Belanjawan dengan komitmen Kementerian Kewangan mahu mencapai ‘agihan kekayaan yang adil dan saksama’ dalam Belanjawan 2023. Walaupun objektifnya baik, adalah penting untuk melihat sejauh mana belanjawan seterusnya dapat mengetengahkan agenda pertumbuhan yang benar-benar menyeluruh dalam RMK12. 

Setakat ini, penyata Pra-Belanjawan hanya menumpukan kepada sasaran tertinggi bagi peruntukan sumber pembangunan yang lebih baik dan infrastruktur digital. Namun, ia tidak menyentuh tentang langkah-langkah lebih kukuh bagi  (i) mengurangkan kemiskinan bandar dan luar bandar, dan (ii) meningkatkan nilai tambah dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan selaras dengan kelebihan perbandingan negeri yang berbeza, terutamanya di Malaysia Timur dan Pantai Timur.

Walaupun penting untuk merapatkan jurang digital yang semakin melebar antara kawasan bandar dan luar bandar, ia sama sekali tidak mencukupi untuk memastikan aktiviti ekonomi, bersama-sama dengan prospek kemakmuran, tidak hanya tertumpu di pantai barat Semenanjung Malaysia. Pertama, takrifan Kementerian Kewangan tentang ‘sumber pembangunan yang diperuntukkan lebih baik’ dalam Belanjawan  2023 mestilah berdasarkan multidimensi. Dalam erti kata lain, untuk menambah baik tahap permainan bagi negeri-negeri berpendapatan rendah, Belanjawan 2023 perlu menangani pelbagai cabaran selaras dengan Bab 7 RMK-12 untuk meningkatkan pembangunan sosioekonomi. Secara dasasnya, perlu ada dasar untuk menambah baik infrastruktur asas, termasuk akses kepada pendidikan rendah dan menengah, penjagaan kesihatan, dan pengangkutan jalan raya dalam komuniti luar bandar di Malaysia Timur. Komitmen bagi mempelbagaikan lagi sumber pendapatan di Malaysia Timur melalui program latihan yang sejajar dengan permintaan pemain industri, langkah pembinaan kapasiti, skim keusahawanan, peluang pembiayaan mikro perlu diperluaskan lagi oleh kerajaan. 

Pembangunan inklusif juga bukan hanya bersifat geografi — ia juga meliputi dimensi buruh. Satu lagi cabaran utama yang perlu ditangani Belanjawan  2023 ialah pengangguran siswazah. Menurut Laporan Tenaga Buruh Jabatan Perangkaan Malaysia Julai 2022, sejak pandemik, bilangan pengangguran berdasarkan berkemahiran meningkat sebanyak 10% daripada 1.64 juta pada S1 2020 kepada 1.8 juta pada S2 2022 Ringkasnya, terdapat kohort golongan muda berpendidikan tinggi kian bertambah, namun sukar mendapat kerja yang sepadan dengan kelayakan mereka.  

Belanjawan sebelum ini telah mewujudkan ekosistem dasar untuk mengurangkan pengangguran tetapi usaha mengatasi pengangguran tidak diberi perhatian secukupnya. Kerajaan dengan bangganya menyatakan skim JaminKerja akan mewujudkan 600,000 pekerjaan. Tetapi, berapakah jumlah pekerjaan baharu yang berkualiti dihasilkan, sejauh manakah pekerjaan ini mampan, berapa ramai yang mendapat tawaran bekerja setelah skim ini tamat, dan adakah gaji ditawarkan lebih baik dengan kemahiran yang mereka ada.

Tidak dapat dinafikan, kekurangan pekerjaan adalah masalah struktur yang memerlukan masa untuk diselesaikan.  Tetapi, Belanjawan 2023 adalah platform terbaik bagi mengatasi isu ini. Kerajaan perlu membangunkan dasar jangka panjang yang menumpukan pada peningkatan produktiviti, penambahan nilai, dan menarik pelaburan langsung asing berkualiti tinggi yang membina bakat tempatan dan pekerjaan yang memanfaatkan faedah automasi dan Industri 4.0. 

Akhirnya, masyarakat inklusif tidak boleh meninggalkan pekerja gig. Belanjawan 2022 membuat sedikit perubahan ke arah memformalkan ekonomi gig, termasuk memperluaskan liputan jaringan keselamatan sosial di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO). Untuk langkah seterusnya, seperti yang telah diketengahkan oleh REFSA sebelum ini, belanjawan akan datang perlu terus membantu dan mengekalkan momentum tersebut, terutamanya untuk memastikan pendaftaran automatik di bawah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)  serta menyediakan insurans pekerjaan di bawah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP). 

Dengan melabur dalam inisiatif ini, kerajaan menghantar mesej yang jelas bahawa mereka  komited untuk meneruskan agenda kemampanan. Mereka akan melangkah lebih baik ke arah pengukuhan daya tahan demi menjamin kemakmuran jangka panjang negara dalam persekitaran global yang tidak menentu.

Read our media statement in English and Chinese (to be added).

Your Cart
SUPPORT US