SEPANG 07 MAC 2020. Orang ramai memakai topeng muka sebagai langkah berjaga-jaga gelombang kedua penularan COVID-19 ketika tinjauan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang. NSTP/AIZUDDIN SAAD

Strategi komprehensif untuk menyelamatkan nyawa dan punca pendapatan diperlukan segera akibat kegagalan PKP Penuh dan PPN untuk menguruskan krisis dalam negara

Kenyataan Media Kumpulan Ekonomi, Research for Social Advancement (REFSA) pada 12 Julai 2021

Pada 3 Julai 2021, kerajaan melaksanakan PKPD di kebanyakan kawasan dalam Lembah Klang. Walaupun niatnya adalah untuk mengekang peningkatan kes Covid-19, negara kita sudah pun berhadapan dengan kesukaran selama lebih dari satu bulan di bawah PKP Penuh yang sedia ada. Sejak bulan Jun, aktiviti ekonomi di sektor-sektor yang dianggap tidak penting, bersama dengan pergerakan rakyat secara lebih meluas, telah disekat, dan perkara ini memberikan kesan kepada punca pendapatkan, rantaian bekalan dan keyakinan pelabur. Namun begitu, kes-kes yang dicatatkan dalam pusat-pusat ekonomi negara ini tidak turun, yang menunjukkan bahawa PKP Penuh dan PPN ini tidak berkesan.

Pelaksanaan PKPD menunjukkan bahawa negara kita masih kekurangan strategi yang kukuh untuk mengawal dan menangani wabak COVID19 dengan berkesan, di mana kita terus bergantung kepada penutupan sektor ekonomi dan sosial yang membawa kepada situasi di mana kita melihat kerosakan kepada nyawa dan punca pendapatan rakyat.

Sebagai sebahagian daripada strategi komprehensif untuk bergerak ke hadapan, Projek Muhibah REFSA memperkenalkan 10 strategi untuk menangani cabaran sosio-ekonomi yang dibawa oleh pandemik ini. Strategi pertama, yang diterbitkan pada akhir bulan Jun, merangkumi keperluan sistem yang sistematik untuk mengesan dan mengekang penularan secara meluas. Dua strategi seterusnya oleh Dr Ong Kian Ming, Frederik Paulus dan Jaideep Singh adalah seperti berikut.

 

Strategi 2: Membuka sektor ekonomi secara bertanggungjawab menggunakan sains, data, SOP yang lebih baik 

Dalam strategi 2, kami menekankan bahawa PKP Penuh ini hanya satu cara untuk “membeli masa” dan bukanlah satu penyelesaian yang mampan manakala PPN dengan empat fasanya bukanlah satu strategi keluar (exit strategy) yang jelas daripada pandemik COVID19 ini. Kami menggesa supaya terdapat langkah ke arah SOP yang bersifat lebih dinamik, yang kerap diperbaharui secara berkala dengan input dari pemegang taruh dan data dari lapangan. Selain itu, SOP harus disesuaikan dengan risiko penularan dan komposisi kluster penularan sedia ada untuk sektor dan industri yang berkenaan. Untuk mencapai perkara ini, kita memerlukan pendekatan serampang dua mata:

 

  • Pembukaan semula sektor secara selektif. Pendekatan satu-ukuran-untuk-semua tidak akan membantu negara. Sudah waktunya untuk meninggalkan perbezaan sesedap hati di antara kumpulan sektor ekonomi ‘penting’ dan ‘tidak penting’, sebaliknya kita perlu fokus untuk memastikan ruangan yang ada sekarang ini kalis-pandemik dengan langkah-langkah berikut:
  • Buka semula sektor dengan jangkitan yang rendah secara beransur-ansur (misalnya sektor yang dijalankan di ruang terbuka) menggunakan data daripada penjejakan MySejahtera;
  • Kemas kini SOP untuk memastikan kualiti udara ruang dalaman yang lebih baik, selaras dengan bukti saintifik bahawa jangkitan COVID-19 berlaku melalui udara. Sebagai contoh, Belgium memerlukan kadar CO2 di ruang dalaman tidak melebihi 1200 ppm;
  • Kerjasama swasta-awam sangat penting dalam merangka SOP untuk premis perniagaan / tempat kerja untuk memastikan ia boleh dilaksanakan dan berkesan;
  • Fasa 2 dan 3 PPN harus merangkumi usaha untuk membolehkan sektor dibuka semula secara kreatif, dan membuang perbezaan antara sektor penting dan tidak penting: dengan SOP yang berkesan, tidak ada sektor ekonomi yang dianggap terlalu berisiko untuk dibuka;
  • Memperkenalkan pembukaan semula perjalanan dengan berhati-hati, dengan mempertimbangkan gelembung perjalanan yang membatasi interaksi antara individu;
  • Buka semula sekolah secara berperingkat dengan mengambil kira kebolehan menjalankan pembelajaran di rumah dan kelas, dengan SOP yang ketat untuk para pelajar yang bersekolah seperti yang dilakukan di Portugal dan UK.
  • Pelaksanaan SOP yang komprehensif, konsisten dan dinamik. Rancangan Pembukaan Semula Portugal pada awal 2021 adalah satu kes kajian yang berguna kerana ia memberikan garis panduan yang jelas untuk setiap situasi, dengan penekanan untuk meminimumkan aktiviti dalaman dan kejadian kesesakan orang ramai sambil menyeimbangkan keperluan perniagaan:
  • Penguatkuasaan SOP secara konsisten – kejadian layanan berbeza tidak sepatutnya berlaku;
  • Membuat keputusan yang komprehensif – memastikan pihak berkepentingan utama dilibatkan untuk mengelakkan keputusan yang cacamarba;
  • Ubah SOP secara dinamik bersesuaian dengan kadar vaksinasi dan sifat krisis yang dihadapi.

 

Strategi 3: Bantuan ekonomi yang berterusan dan bersasar kepada majikan dan pekerja

Sekiranya sekatan pergerakan berjaya mengawal penularan sekalipun (perkara ini tidak berlaku), ia tidak boleh dianggap berjaya sekiranya ia merosakkan sumber pencarian rakyat. Sejak Februari 2020, kerajaan telah memperkenalkan sembilan pakej rangsangan yang berjumlah RM530 bilion untuk membantu isi rumah dan perniagaan yang terjejas.

Walaupun pengenalan pakej langkah baik dari segi menetapkan proses dan struktur yang akan berguna untuk perancangan, kami berpendapat bahawa pakej ini tidak mencukupi apabila diambil kira bersama dengan kesan dan tempoh sekatan pergerakan yang dilaksanakan. Kritikan terhadap pelbagai program bantuan ini dapat diringkaskan seperti berikut:

 

  • Sebahagian besar peruntukan dalam program ini bukanlah dalam bentuk perbelanjaan fiskal secara langsung tetapi dana yang diperoleh dari pembayaran tertunda (melalui moratorium pinjaman), jaminan dan kemudahan pinjaman (disediakan oleh agensi kerajaan dan Bank Negara Malaysia) dan individu melalui KWSP. Perbelanjaan fiskal secara langsung hanya berjumlah RM87.6 bilion atau kira-kira 16.5% untuk sembilan pakej rangsangan tersebut.
  • Jumlah sokongan yang diberikan kepada perniagaan, terutamanya PKS di sektor yang paling teruk terkesan, seperti pelancongan, pengangkutan dan runcit, sangat tidak mencukupi. Sebilangan besar langkah, misalnya, Program Subsidi Upah dan Skim Jaminan Pinjaman, sama ada terlalu membebankan syarikat atau tidak mampu mengubah kedudukan tunai mereka.
  • Jumlah sokongan yang diberikan kepada individu dan keluarga, terutama bagi mereka yang berada di sektor informal, sangat tidak mencukupi. Jumlah pembayaran Bantuan Prihatin Rakyat, misalnya, amatlah kecil.

 

Cadangan kami untuk mengatasi jurang ini adalah berikut:

 

  • Naikkan nisbah hutang kepada KDNK dan nisbah pembayaran faedah 15% daripada jumlah belanjawan ke tahap yang lebih tinggi untuk tempoh sekurang-kurangnya 5 tahun untuk mengawal kesan COVID19 dan membantu pemulihan ekonomi selepas wabak ini terkawal.
  • Meningkatkan tahap perbelanjaan terutama dalam bentuk suntikan tunai secara langsung kepada individu dan pemilik perniagaan kecil yang terkesan teruk akibat wabak ini.
  • Cari penyelesaian “di luar kotak” untuk meningkatkan kutipan hasil dengan cara yang tidak akan menyusahkan perniagaan kecil dan individu, misalnya melalui KWAN, MoF Inc atau melalui cukai untung atas angin.
  • Tingkatkan perlindungan sosial terutama bagi mereka yang berada di sektor informal dan gig ekonomi. Berikan pembayaran penuh, dan susuli dengan subsidi 50%, untuk pekerja sektor informal dan gig ekonomi untuk mencarum ke dalam EIS.

 

Modus operandi sedia ada untuk dengan menyekat pergerakan secara menyeluruh, bersama dengan komunikasi SOP yang teruk dan bantuan yang tidak mencukupi untuk isi rumah yang rentan telah menjadikan pandemik ini satu krisis ekonomi dan kesihatan mental yang sangat membimbangkan. Bergerak ke hadapan, negara kita memerlukan SOP yang lebih berpatutan dan bantuan ekonomi yang mencukupi — bersama dengan peningkatan kadar vaksinasi — untuk memastikan kita terus berada di hala tuju yang tepat, sebelum lebih ramai nyawa dan lebih banyak punca pendapatan terkorban. 

 

Baca Strategi 2 dan Strategi 3 selanjutnya di sini.  

– Published in Utusan Malaysia on 13 July 2021.

Your Cart
SUPPORT US