refsa thumbnail resize for websitenewsletter(30)

Belanjawan 2023: Tiada impak besar, perlu ambil kira pandangan masyarakat sivil

Kenyataan Media oleh Jaideep Singh, Research for Social Advancement (REFSA) pada 14 Oktober 2022

Pada 7 Oktober, Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz telah membentangkan Belanjawan 2023. Malangnya, belanjawan ini tidak diteruskan disebabkan pembubaran Parlimen pada 10 Oktober 2022. Meskipun Belanjawan 2023 tidak lagi menjadi keutamaan pada masa ini, REFSA percaya ia perlu dibincangkan agar belanjawan yang lebih baik dapat dihasilkan selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15).  

REFSA melihat Belanjawan 2023 tidak mempunyai pembaharuan berimpak tinggi. Malah, ia juga lemah dalam menjelaskan mekanisme berkesan menguruskan keseimbangan permintaan jangka pendek (termasuk tawaran pilihan raya) dan keperluan meningkatkan penyatuan fiskal. Belanjawan ini boleh menjadi faktor kepada pelaksanaan dasar yang tidak konsisten seperti pemotongan subsidi dan pada masa yang sama mengumumkan potongan cukai pendapatan sebanyak 2 peratus kepada golongan kelas menengah. 

Dalam program temu bual di Astro Awani ‘Consider This: Budget 2023 – Elections or Economics’, Pengarah Eksekutif REFSA, Tan E Hun telah menekankan bahawa belanjawan tersebut tidak mempunyai kejutan besar dan inisiatif berkesan bagi menyokong isi rumah yang memerlukan dan item perubahan yang signifikan, membuktikan Kerajaan tidak menterjemahkan pelan transformasinya dalam Belanjawan 2023.  

E Hun turut menegaskan pendekatan ‘urusan seperti biasa’ dalam Belanjawan 2023 adalah keyakinan berlebihan Kerajaan yang kurang realistik ke atas keupayaan isi rumah menguruskan cabaran masa hadapan, termasuk kenaikan kadar faedah dan risiko kemelesetan yang tinggi. Beliau turut mempersoalkan unjuran Kerajaan dalam laporan Tinjauan Ekonomi dan Fiskal bagi Belanjawan 2023 yang menganggarkan ‘prospek pendapatan dan pekerjaan bertambah baik’ dengan melanjutkan kutipan hasil cukai pada tahun akan datang meskipun mengumumkan pemotongan cukai.  

Penting juga Kementerian Kewangan mengkaji semula unjuran penurunan defisit fiskal kepada nisbah KDNK, dengan kadar purata pertumbuhan KDNK secara nominal pada 6.4 peratus dalam masa tiga tahun akan datang, yang dilihat tidak rasional memandangkan tekanan global seperti ketegangan geopolitik masih lagi berlarutan dan tidak stabil.  

E Hun juga mengalu-alukan pelaksanaan Nombor Pengenalan Cukai yang masih belum dimulakan dan cadangan mengkaji pengenalan cukai karbon, seperti yang telah dinyatakan oleh REFSA menerusi kenyataan media pra-belanjawan.

Menerusi artikel yang disiarkan oleh The Edge, penyelidik REFSA, Jaideep Singh menegaskan bahawa belanjawan kali ini tidak memberi fokus kepada perubahan struktur pasaran buruh dalam tempoh jangka panjang walaupun prinsip ‘Reformasi’ menjadi satu daripada tiga asas utama dalam dokumen tersebut. Contohnya, inisiatif kemahiran semula (reskilling) dan peningkatan kemahiran (upskilling) yang masih diteruskan seperti biasa tanpa sebarang pembaharuan besar bagi mengatasi pengangguran siswazah yang kian meningkat.  

Program pekerjaan yang sedia dan baharu tidak seharusnya tertumpu kepada mencipta pekerjaan berkemahiran rendah. Ia harus menjadikan kualiti pekerjaan dan kebolehpasaran peserta dalam tempoh jangka panjang sebagai sebahagian daripada KPI Kerajaan.  

Bagi meningkatkan peruntukan inisiatif TVET, Jaideep menegaskan bahawa program tersebut mesti sejajar dengan permintaan industri bagi mewujudkan tenaga kerja industri  terlatih melalui skim perantisan, penempatan industri dan seumpamanya. Strategi lain seperti memastikan pusat TVET menumpukan persekitaran tempatan  dengan setiap pusat latihan memfokuskan kelebihan yang ada di kawasan tempatan seperti E&E di Pulau Pinang.

Akhirnya, di sebalik kelebihan yang ditawarkan untuk belia, termasuk kredit e-dompet RM200, golongan muda negara ini secara amnya menghadapi cabaran yang lebih besar dalam mendapatkan gaji yang lebih baik. Untuk menyelesaikan isu ini, Jaideep menggesa Kerajaan menyediakan strategi yang berkesan seperti:

  1. Menarik pelaburan langsung asing (FDI) yang berkualiti tinggi dan pada masa yang sama meningkatkan pekerjaan berkemahiran tinggi dan bukan ekosistem semasa yang didominasi pekerja asing berkemahiran rendah) daripada syarikat multinasional (MNC)
  1. Meningkatkan graduan STEM yang terlatih dalam industri memandangkan permintaan graduan STEM yang tinggi dalam sektor nilai tambah seperti E&E bagi jurutera dan juruteknik).
  1. Mengukuhkan keupayaan revolusi industri 4.0 (IR4.0) pada tahap yang lebih tinggi.

Malangnya,  Belanjawan 2023 yang dibentangkan tempoh hari tidak memberi perhatian dalam bidang ini.

Melangkah ke hadapan, REFSA menggesa Kerajaan yang dibentuk selepas PRU15  mengambil cadangan-cadangan yang dikemukakan ini dan daripada pertubuhan masyarakat sivil,  bagi menambah baik belanjawan yang akan dibentangkan semula untuk tahun 2023.

Read our media statement in English and Chinese (to be added).

Your Cart
SUPPORT US