COMMENTARY

NOV 3, 2019

Rakyat, negara berhak kongsi hasil ekonomi gig

By Fakhrurrazi Rashid
 

Novel Budak Beca karya Sasterawan Negara, Ishak Mohamad atau Pak Sako, mengisahkan Mamat Merdeka, seorang anak muda dan bekas mata-mata khas, menjadi penarik beca apabila wang pencennya habis akibat boros berhibur.

Namun, Pak Sako turut mengkritik pandangan pemimpin waktu itu yang melihat penarik beca sebagai satu kemajuan untuk rakyat. Di negara maju, kerjaya penarik beca terhapus dimakan kemajuan ekonomi.

Bagi dirinya, banyak pekerjaan lain boleh meningkatkan ekonomi rakyat, selain penarik beca.

Ironinya, jika dahulu Mamat menarik beca roda tiga kerana wangnya habis, kini rakyat terpaksa bekerja sebagai penghantar makanan akibat pendapatan masih rendah. Adakah nasib rakyat kita tidak pernah berubah sejak merdeka?

Ekonomi gig membuka peluang pekerjaan dan menambah sumber pendapatan rakyat. Kini ada 12,000 penghantar makanan Foodpanda Malaysia (Foodpanda) dan 4,000 lagi bersama GrabFood.

Faktor utama peningkatan rakyat dalam sektor ini ialah kadar gaji dan peluang pekerjaan berkemahiran kian rendah. Namun, sejauh mana ia benar?

Cabaran ekonomi global hari ini memberi kesan kepada negara. Kadar pertumbuhan ekonomi Malaysia pada kadar rendah sekitar 4.3 peratus akibat perkembangan ekonomi dunia yang perlahan. Namun, Malaysia mencapai ‘tenaga buruh penuh’ dengan kadar pengangguran sekitar 3.3 peratus pada suku kedua 2019.

Kelembapan ekonomi menyebabkan pertumbuhan gaji menurun kepada 2.8 peratus pada Jun 2018 berbanding 7.1 peratus pada September 2016. Kebelakangan ini, gaji pekerja berkemahiran signifikan menurun, manakala gaji pekerja berkemahiran sederhana dan rendah meningkat.

Laporan Tahunan Bank Negara Malaysia 2018 mendapati gaji median pekerja berkemahiran menurun kepada RM3,908 pada tahun itu berbanding RM3,994 pada 2017. Bagi pekerjaan sederhana, jumlahnya meningkat kepada RM1,716 pada 2018 atau 7.9 peratus berbanding 2017.

Walaupun gaji median berkemahiran sederhana meningkat, kadar gaji mereka masih rendah dan jurang pendapatan antara kedua-dua kemahiran hampir 50 peratus.

Akibat gaji rendah juga, kebanyakan pekerja mahir dan berpendidikan menyertai pekerjaan berkemahiran rendah dan sederhana secara separuh masa bagi menambah pendapatan, seperti menjadi pemandu Grab dan penghantar makanan Foodpanda.

Keadaan ini tidak sihat kerana persaingan tinggi dalam pekerjaan berkemahiran rendah tidak memberi nilai tambah kepada ekonomi negara.

Bahagian pendapatan kerja kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat kepada 35.7 peratus pada 2018. Peningkatan ini disebabkan kebergantungan sektor kepada tenaga buruh tinggi dan pertambahan gaji berkemahiran rendah serta sederhana, bukan kerana peningkatan gaji dan pekerjaan berkemahiran tinggi.

Situasi ini menggambarkan masalah struktur industri yang tidak meningkatkan pendapatan rakyat. Pemilik modal pula yang menikmati keuntungan pembangunan ini.

Golongan berpendidikan tinggi amat terkesan dengan persekitaran industri ini. Penyertaan graduan dalam pasaran kerja sebenarnya kian meningkat dari 2010 hingga 2017, tetapi 95 peratus berada di bawah kemahiran mereka.

Apa yang berlaku sekarang ialah masalah industri yang tidak mampu menyediakan peluang pekerjaan berkemahiran dengan gaji setimpal kepada rakyat. Oleh itu, pekerja memilih menjadi penghantar makanan atau freelancer dalam ekonomi gig.

Ekonomi gig dikaitkan dengan ‘ekonomi perkongsian’, satu konsep yang memberi peluang kepada orang ramai mendapat pendapatan dengan pelbagai platform. Namun, sejauh manakah konsep ini meningkatkan kesejahteraan rakyat?

Industri akan terus berkembang dengan ada ekonomi gig. Kini, mereka yang mempunyai teknologi akan menguasai pasaran dan memperoleh keuntungan tinggi.

Berdasarkan unjuran GrabFood, industri penghantar makanan di Asia Tenggara dianggar mencecah AS$9 bilion hingga AS$16 bilion menjelang 2022. Foodpanda yang baru bertapak dua tahun di Malaysia, menjana pertumbuhan melebihi 70 peratus.

Namun, syarikat perkhidmatan ini tidak berkongsi keuntungan secara saksama kepada pekerja. Pendapatan pekerja ditekan untuk kekal rendah, bekerja dalam masa panjang dan tidak mendapat jaminan gaji stabil.

Kita dapat lihat perkara ini berlaku apabila Foodpanda memansuhkan bayaran RM4 sejam kepada penghantar makanan mereka. Keputusan ini boleh dipanggil ‘kontrak tanpa jam’ yang mana pekerja tidak mendapat bayaran tetap mengikut jam dan bergantung kepada upah penghantaran yang tentunya tidak konsisten.

Ekonomi gig mengalih kebergantungan pekerja kepada gaji ‘berdasarkan wang’ yang tinggi tanpa perlindungan keselamatan sosial. Maka, apakah ini ekonomi perkongsian yang menjamin kesejahteraan pekerja?

Pekerja gig akan berhadapan cabaran mengekalkan kestabilan hidup, khususnya mereka berpendapatan rendah dan menetap di bandar. Mereka juga berhadapan dilema mencari identiti dalam pekerjaan.

Meskipun menjadi freelancer dengan gaji tinggi, pekerjaan ini tidak menyediakan perkembangan kerjaya dan menjamin masa hadapan seperti peluang kenaikan pangkat dan menambah kemahiran. Hasil negara juga akan terjejas jika masalah ini tidak diuruskan dengan baik.

Walaupun ekonomi gig menghasilkan keuntungan tinggi, syarikat yang terbabit hanya membayar cukai korporat rendah, sebanyak 24 peratus. Begitu juga pekerja gig, walaupun mendapat gaji tinggi, mereka tidak membayar cukai pendapatan.

Maka, apakah makna sebenar ekonomi gig sekiranya tidak dapat menyumbang kepada hasil negara? Seharusnya, ekonomi gig ini mampu menambah hasil negara dan menambah kemudahan awam melalui percukaian.

Oleh itu, usaha untuk mengkaji sistem percukaian ekonomi gig amat penting agar kekayaan negara dapat dikongsikan bersama.

Hasil percukaian ini dapat membantu negara merangka perancangan ekonomi untuk mencipta peluang pekerjaan berkemahiran dan gaji setimpal dalam industri baharu seperti ekonomi hijau, maritim dan sektor penjagaan.

Kerajaan mewujudkan beberapa dasar untuk melindungi keselamatan sosial pekerja sendiri. Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789) memberi perlindungan kepada individu yang menjalankan pekerjaan sendiri sekiranya berlaku kemalangan ketika bekerja.

Pencarum akan mendapat faedah perubatan, faedah tanggungan dan pinjaman pelajaran. Perlindungan seperti ini tentunya akan meringankan beban pekerja gig.

Ekonomi gig hanyalah satu fasa perubahan industri ke arah aktiviti ekonomi berpengetahuan, berkemahiran dengan gaji setimpal. Perkara paling penting adalah usaha menyelesaikan masalah struktur industri negara yang tidak menguntungkan rakyat.

Perubahan ini selari dengan hasrat Malaysia untuk menjadi negara berpendapatan tinggi berdasarkan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030. Inilah realiti rakyat hari ini yang memerlukan perhatian daripada pihak kerajaan dan industri.

— BERITA HARIAN
Your Cart
SUPPORT US