Read press statement in English
Read press statement in Chinese
–
Kenyataan Media oleh Research for Social Advancement (REFSA) pada 3 Februari 2023
Pada 17 Januari 2023, Research for Social Advancement (REFSA) dan Research Centre for Malaysia, Universiti Huaqiao telah mengadakan satu perbincangan meja bulat tertutup bertajuk “Prospek Hubungan Malaysia – China Era Pasca Pandemik”. Perbincangan ini memberi tumpuan kepada hubungan Malaysia – China dalam suasana penstrukturan semula geopolitik pasca pandemik, serta strategi bagi merapatkan hubungan dua hala kedua-dua negara.
Perbincangan meja bulat ini amat penting kerana bukan sahaja tahun 2023 mencatatkan ulang tahun satu dekad Malaysia – China sebagai perkongsian strategik yang komprehensif, tetapi ia juga akan menyaksikan tahun 2024 sebagai ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik kedua-dua negara.
Perbincangan meja bulat ini telah mengumpulkan pelbagai tenaga pakar dalam kalangan pembuat dasar awam, ahli akademik, dan pemikir dari Malaysia dan China termasuk Profesor Madya Zhong Darong, Research Centre for Malaysia, Universiti Huaqiao; YB Liew Chin Tong, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI); Dr. Ong Kian Ming, bekas Timbalan Menteri MITI; Dr. Ngeow Chow Bing, Pengarah Institut Pengajian China, Universiti Malaya; Dr. Phoon Wing Keong, Pengarah Akademik Pusat Pengajian China; Datuk Tan Yew Sing, Presiden Kehormat Dewan Perniagaan Malaysia-China (MCCC) dan Pengerusi Bersama Yayasan Tan Kah Kee; dan Tuan Yong Kai Ping, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (SIDEC).
Perbincangan ini yang dipengerusikan oleh Pengarah Eksekutif REFSA, Puan Tan E Hun, turut disertai para ahli akademik yang berpusat di China seperti Dr. Liu Wen Zheng, Profesor Madya di Pusat Pengajian Hubungan Antarabangsa, Universiti Huaqiao dan Dr Zhai Kun, Profesor di Pusat Pengajian Antarabangsa, Universiti Peking.
Dalam perbincangan itu, para panelis bersetuju bahawa dalam suasana pasca pandemik sekarang, Malaysia dan China sedang melalui era permulaan baharu atau “reset” masing-masing yang bakal menentukan pendirian mereka di peringkat global dan rantau Asia.
Dua peristiwa memberi kesan kepada hubungan dua hala. Di China, Kongres Kebangsaan ke-20 Parti Komunis China yang diadakan baru-baru ini manakala di Malaysia, penubuhan Kerajaan Perpaduan di Malaysia yang diketuai Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Kedua-dua keadaan ini telah membuka ruang untuk Malaysia dan China mengukuhkan hubungan diplomatik secara “soft reset”. Malaysia dan China kini berusaha mengukuhkan kestabilan negara mereka serta hubungan dengan negara-negara jiran masing-masing.
Dengan iltizam dan keterbukaan untuk berbincang secara jujur, hubungan Malaysia – China akan dapat diperkukuhkan lagi.
Berikut adalah intipati utama perbincangan meja bulat ini:
- Membina tatanan serantau yang inklusif di Asia Tenggara
Di tengah-tengah kancah perang Ukraine dan hubungan Amerika Syarikat – China yang tegang, ASEAN boleh memainkan peranan penting sebagai kuasa penghubung yang menggalakkan keterangkuman atau “inclusivity” dan kerjasama serantau. Para panelis berpendapat bahawa masa depan pembangunan ASEAN dan Asia Pasifik akan membuka lebih banyak peluang hubungan yang mendalam dengan rantau lain; selaras dengan usaha diplomasi China. Dari sudut ekonomi, kebanyakan negara ASEAN bergantung kepada China tetapi mereka sentiasa berwaspada dalam isu keselamatan serantau. Membina keyakinan bagi jangka masa panjang amat penting dalam usaha menjalin hubungan yang menguntungkan semua pihak. Pada masa yang sama, negara-negara Asia Tenggara seperti Malaysia perlu meneruskan usaha untuk lebih memahami China.
- Perkembangan domestik yang menggariskan rangka kerja diplomasi Malaysia – China
Pemilihan jawatan Parti Komunis China yang baru sahaja selesai serta pembukaan semula sempadan China telah menunjukkan komitmen negara itu untuk menambah baik dan memperkukuhkan komunikasi dengan negara jiran secara lebih pragmatik, terbuka, yakin, dan setara. Malaysia pula telah membuktikan daya ketahanan yang tinggi dalam mengharungi kemelut politik sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Kini, fokus utama Perdana Menteri Anwar Ibrahim adalah memperkukuhkan tadbir urus negara. Namun beliau bersikap terbuka dalam wawasan antarabangsanya, dan melalui hubungannya dengan China, ia telah mencerminkan betapa pentingnya hubungan dua hala ini. Jika kedua-dua negara dapat mengeratkan lagi hubungan dan kerjasama, hubungan dua hala ekonomi dan usaha diplomasi yang lebih baik akan dapat dicapai melalui kemajuan dan pembangunan baru.
- Ketegangan serantau yang belum diselesaikan menunjukkan kerapuhan masih wujud dalam hubungan Malaysia – China
Kedudukan dekat kedua-dua negara menjadi sumber kekuatan dan punca masalah di rantau ini. Kedudukan China yang dekat dengan Asia Tenggara, dengan kemajuan ekonomi dan pengaruh diplomasinya yang kian meluas, menimbulkan kebimbangan dalam kalangan negara-negara Asia Tenggara, khususnya dalam isu keselamatan. Malaysia tidak berpihak kepada mana-mana kuasa besar kerana ia mahu mewujudkan dasar luar negara yang bebas dan neutral. Persefahaman bersama perlu diwujudkan bagi memastikan setiap pihak mendapat manfaat dalam situasi semasa. Dalam hal ini, China perlu mengambil kira kebimbangan negara-negara Asia Tenggara terhadap isu keselamatan serantau manakala Asia Tenggara perlu lebih memahami wawasan China.
- Pembukaan semula sempadan China menjadi unjuran baik untuk ekonomi Malaysia
Pandemik COVID-19 telah menjejaskan pelaburan China di Malaysia. Dengan berakhirnya sekatan pergerakan di China, ia akan menggalakkan lagi prospek ekonomi dan perdagangan kedua-dua negara pada tahun 2023, apabila syarikat-syarikat China berpeluang meneroka peluang perniagaan di Malaysia. Pada masa yang sama, kehadiran syarikat-syarikat pembuatan besar menjadikan Malaysia sebahagian daripada rantaian pembekalan global, sekali gus dapat membangunkan ekonomi negara. Selain itu, terdapat banyak peluang kerjasama antara Malaysia dan China dalam bidang seperti kecerdasan buatan (AI), data besar, e-dagang dan bandar pintar. Dalam era pasca pandemik, Malaysia sebagai satu daripada destinasi pilihan pelancong China, perlu meningkatkan promosi seperti menambah baik perkhidmatan pelancongan dan memudahkan prosedur mendapatkan visa.
- Kerjasama pendidikan dan pertukaran budaya antara Malaysia dan China
Pertukaran pelajaran antara China dan Malaysia telah lama terjalin dan akan terus memberi manfaat kepada kedua-dua negara. Malaysia mengalu-alukan pertukaran program pengajian tinggi, latihan vokasional/teknikal mengenai penyelidikan dan pembangunan, yang akan meningkatkan kerjasama pendidikan dan kebudayaan antara kedua-dua negara. Para panelis turut bersetuju pertukaran budaya akan menggalakkan lagi keyakinan dan persefahaman antara kedua-dua negara, dengan menyedari hakikat bahawa perbincangan tentang hal ini di Malaysia tidak boleh hanya terhad kepada masyarakat Cina sahaja.
Kesimpulannya, matlamat perbincangan meja bulat ini adalah untuk mendalami lagi pertukaran idea dalam bidang-bidang yang melibatkan kedua-dua negara secara bersama. Hubungan Malaysia – China sekarang berada tepat pada tempat dan masanya untuk ditingkatkan; lebih banyak perbincangan perlu diadakan bagi mencari manfaat bersama untuk meluaskan hubungan yang sedia ada kerana ia dapat memberi faedah kepada rakyat di kedua-dua negara.
Featured in Malaysia-China Insight (in Chinese) and Sinchew (in Chinese)
Read press statement in English
Read press statement in Chinese
–