COMMENTARY

JAN 4, 2020

Peningkatan gaji minimum pada tahun 2020, satu permulaan baik buat pekerja

By Fakhrurrazi Rashid
 

PERSEKUTUAN Majikan-majikan Malaysia (MEF) menzahirkan rasa tidak setuju ke atas keputusan  kerajaan menaikkan kadar gaji minimum kepada RM1,200 sebulan di 57 bandar di Malaysia, bermula pada 1 Januari 2020. Mereka melihat kenaikan gaji minimum akan memberi kesan kepada kos pengurusan, menyebabkan majikan akan mengurangkan kos operasi dan pekerja pula hilang pekerjaan.

Tambahan pula, MEF turut memberitahu kenaikan gaji minimum lebih menguntungkan 1.5 juta orang pekerja asing. Justeru, gaji yang disalurkan tidak akan meningkatkan perbelanjaan domestik. Tidak dinafikan bahawa perkara ini berlaku, tetapi adakah ini bermaksud pekerja tempatan terus tidak dapat merasai impak kenaikan gaji minima ini?

Pandangan yang menyatakan implikasi negatif dalam meningkatkan gaji minimum mengambarkan masih ramai majikan di Malaysia berfikiran konvensional. Mereka tidak melihat realiti pekerja dibawah yang berhadapan dengan kos sara hidup yang tinggi. Sebilangan majikan pula sukar menawarkan pekerjaan berkemahiran dengan gaji yang setimpal.

Semuanya di bandar

Populasi penduduk bandar di Malaysia telah meningkat kepada 76 peratus menjelang 2020 dan trend penambahan penduduk bandar ini akan  meningkat kepada 90 peratus pada tahun 2050. Unjuran ini diambil berdasarkan laporan Bank Dunia.


Peningkatan ini disebabkan peluang ekonomi dan pekerjaan lebih luas di bandar berbanding luar bandar. Laporan Survei Migrasi 2018 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menyatakan migrasi penduduk dari bandar ke bandar lebih tinggi, iaitu 66.9 peratus, berbanding migrasi dari luar bandar ke bandar (19.8 peratus), menunjukkan bandar sebagai pusat rakyat mencari peluang pekerjaan.

Kos sara hidup di bandar bukanlah murah. Bank Negara Malaysia (BNM) 2017 melaporkan seramai 27 peratus isi rumah masih menerima pendapatan di bawah gaji kehidupan wajar. Maka, amat munasabah sekiranya kerajaan meningkatkan kadar gaji minimum di bandar untuk memastikan pekerja mendapat gaji yang setimpal.

Pekerja asing tidak berminat tawaran gaji di Malaysia?

Pada bulan Jun 2019, tersebar laporan tentang pekerja Indonesia dan Vietnam tidak lagi berminat bekerja di Malaysia kerana tawaran gaji yang rendah. Kos sara hidup yang mahal di Malaysia juga faktor pekerja asing ini tidak berminat bekerja di Malaysia.

Media di Bangladesh melaporkan 50,000 pekerja asing tanpa izin Bangladesh di Malaysia telah dihantar pulang ke negara asal. Perkara ini susulan laporan yang menyatakan pekerja Bangladesh dibayar dengan upah yang rendah dan bekerja dengan masa yang lama.

Sekiranya pekerja asing turut merasa beban gaji yang rendah di Malaysia, perkara ini tentunya lebih berat ditanggung oleh pekerja tempatan?

Realitinya, jika majikan tidak bergantung kepada pekerja asing upah murah untuk kekal kompetitif, tentunya setiap kenaikan kadar gaji minimum boleh dirasai pekerja tempatan, khususnya pekerja berkemahiran rendah.

Pekerja dapat pembelaan

Berdasarkan kajian MIDF, Peningkatan gaji minimum pada tahun 2016 telah menjadi faktor gaji median bagi setiap sektor meningkat. Gaji median sektor pembinaan telah meningkat kepada RM1,900 pada tahun 2017  berbanding RM1,630 pada tahun 2016, peningkatan sebanyak 14%. Bagi sektor perkhidmatan, gaji median meningkat sebanyak 16%, daripada RM1,510 pada tahun 2016 kepada RM1,800 pada tahun 2017.

Pertumbuhan produktiviiti buruh juga telah meningkat 2.2 peratus kepada RM 91,971 pada tahun 2018 berbanding RM89,925 pada tahun 2017. Prestasi produktiviti per pekerja Malaysia berjumlah AS$68,321 adalah lebih tinggi berbanding China (AS$32,848) tetapi masih rendah berbanding negara maju seperti Singapura (AS$145,864). Peningkatan produktiviti ini sepatutnya memberi gaji yang lebih setimpal kepada pekerja yang telah mengorbankan masa dan tenaganya.

Laporan EAC International yang mengkaji trend gaji seluruh dunia mendapati peningkatan gaji pekerja di Malaysia turun kepada 2.9 peratus pada tahun 2020 berbanding 4.0 peratus pada tahun 2019. Situasi ini berpunca daripada anggaran peningkatan inflasi tahun depan yang akan meningkat 2.1 peratus tahun hadapan.

Oleh itu, peningkatan gaji minimum dapat menambah pendapatan pekerja, terutamanya mereka berkemahiran rendah bagi menampung kos sara hidup yang meningkat.

Tahun 2020 tingkatkan gaji pekerja

Pandangan konvensioanl yang menyatakan gaji minimum hanya memberi manfaat kepada pekerja asing dan majikan pula boleh gulung tikar secara langsung memberi gambaran menyeluruh keadaan  pasaran buruh di Malaysia yang tidak mapan.

Amat penting untuk memulakan wacana baharu untuk membaik pulih keadaan pekerja dan membentuk majikan yang responsif bagi mengkritik pemikiran konvensional tentang gaji minimum.

Kerajaan telah menyediakan pelbagai kerjasama dengan majikan untuk meningkatkan pendapatan pekerja.. Buku Harapan, Janji 34 jelas menerangkan bahawa kerajaan akan menampung 50% atau RM250 dan majikan perlu menyumbang sebanyak RM250 untuk mencapai tahap gaji minimum sebanyak RM1,500. Sejauh mana kedua-dua pihak ini bersedia melaksanakan janji tersebut?

Pelbagai dasar baharu kerajaan Pakatan Harapan yang mencipta situasi ‘menang-menang’ antara pekerja dan majikan. Program dalam Belanjawan 2020, seperti Watan Kerja, kerajaan memperuntukan sebanyak RM250 hingga RM500 sebulan selama dua tahun kepada pekerja tempatan yang menggantikan pekerja asing. Majikan juga akan diberikan insentif sebanyak RM250 sebulan kerana mengambil pekerja tempatan menggantikan pekerja asing. 

Keputusan menaikkan gaji minimum ini selari dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang menekankan kepentingan pekerja mendapatkan gaji yang setimpal. Sekiranya gaji pekerja masih rendah, maka pertumbuhan ekonomi negara tentunya tidak memberi impak kepada kehidupan rakyat untuk masa hadapan.

Ia merupakan pemikiran baharu agar industri dan majikan melihat model ekonomi yang berpendapatan tinggi dan menghargai usaha pekerja selama ini.

Selain gaji minimum, adalah lebih baik majikan menambah insentif jaringan keselamatan sosial untuk pekerja. Laporan Bank Dunia pada tahun 2019 mendapati jaringan keselamatan sosial Malaysia perlu ditambah baik bagi mengatasi perubahan demografi yang memerlukan keselamatan sosial seperti pembangunan kanak-kanak dan penambahan populasi warga emas. Maka, pelindungan sosial dapat meringankan beban pekerja yang mempunyai tanggungjawab keluarga.

Kita secara dasarnya bersetuju sebahagian besar kelompok pekerja Malaysia sudah mengorbankan masa dan tenaga untuk menambah pendapatan, malangnya setelah dua dekad yang lalu, gaji pekerja masih rendah. Pelaksanaan gaji minimum yang baharu pada tahun 2020 satu pengiktirafan kepada pekerja Malaysia yang telah menyumbang kepada ekonomi negara.

— ASTRO AWANI