COMMENTARY

OCT 21, 2019

Pasca Belanjawan 2020: Atasi masalah struktur ekonomi sedekad lalu

By Fakhrurrazi Rashid
 

PEMBENTANGAN Belanjawan 2020 telah menjadi panduan untuk menyelesaikan masalah struktur ekonomi negara sedekad lalu dengan menawarkan pelbagai pakej rangsangan, khususnya dalam mengembalikan rakyat untuk mendapat pekerjaan setimpal.

Kerajaan Persekutuan memperuntukan RM6.5 bilion kepada sektor pekerjaan yang bakal menyaksikan pertambahan 350,000 pekerjaan baharu dalam tempoh lima tahun.

Selepas Kerajaan Pakatan Harapan memperkenalkan pengecualian cukai kepada majikan yang mengaji pekerja melebihi 60 tahun dalam Belanjawan 2019, kali ini dalam Belanjawan 2020 pula, Kerajaan Pakatan Harapan menawarkan pendekatan menyelesaikan isu yang dihadapi belia yang memerlukan perhatian sewajarnya.

Melalui program #GraduanKerja, kerajaan akan memberi penambahan pendapatan RM500 sebulan selama dua tahun kepada graduan menganggur melebihi 12 bulan yang bekerja semula.

Majikan yang menggaji graduan ini mendapat imbuhan sebanyak RM300 dalam tempoh yang sama.

Inisiatif ini seperti menjawab masalah struktur ekonomi dan pasaran kerja yang berlarutan sejak sedekad seperti pengangguran graduan, gaji permulaan graduan yang rendah dan perubahan ekosistem industri kepada ekonomi berproduktiviti tinggi.

Kembalikan belia bekerja

Dari tahun 2011 hingga 2018, kadar pengangguran belia didapati meningkat kepada 10.9 peratus, tiga kali ganda kadar pengangguran nasional pada 3.3 peratus.

Masalah pengangguran ini kian membimbangkan apabila Kajian Pengesanan Graduan (SKPG) 2018 mendapati 60 peratus atau 30,765 orang graduan ijazah pertama tidak bekerja selepas tamat pengajian dalam tempoh setahun.

Laporan Bank Negara Malaysia (BNM) 2015 menyatakan kadar pengangguran belia berpendidikan lebih tinggi, iaitu sekitar 15.3 peratus berbanding 9.8 peratus daripada belia berpendidikan bukan tertieri.

Laporan BNM 2015 juga mendedahkan 60 peratus graduan menganggur ialah mereka daripada isi rumah berpendapatan bawah RM 3,000 sebulan.

Gaji graduan yang masih rendah juga merupakan isu yang dihadapi oleh belia hampir sedekad yang lalu. Laporan BNM 2018 menunjukkan gaji benar bagi siswazah baharu telah menurun secara signifikan.

Contohnya gaji benar pekerja siswazah sarjana muda menurun daripada RM 1,993 pada tahun 2010 kepada RM 1,983 pada tahun 2018.

Melalui program #GraduanKerja, ia dapat mengembalikan graduan bekerja dan dapat menyumbang kepada pembangunan negara.

Malah, pelaksanaan program ini akan menjadi faktor penting untuk meningkatkan pendapatan graduan dan secara langsung membantu keluarga B40 meningkatkan kesejahteraan hidup.

Keuntungan kepada industri

Pemberian inisiatif RM300 sebulan kepada majikan melalui program #GraduanKerja akan memberi impak positif kepada ekonomi berproduktiviti tinggi.

Pertama, inisiatif ini mampu meringankan kos majikan untuk mengaji pekerja berkemahiran, khususnya Perusahaan Kecil Sederhana (PKS).

Laporan Tinjauan Ekonomi 2019 mendapati kurang 10 peratus PKS menggunakan teknologi untuk melatih pekerja dan tidak mampu mengambil pekerja ICT.

Situasi ini menggambarkan industri Malaysia yang masih enggan melabur dalam pembangunan kemahiran dan teknologi dalam meningkatkan produktivti.

Majoriti PKS masih lagi bergantung kepada pekerja asing tidak berkemahiran dengan upah yang rendah untuk kekal kompetitif dalam pasaran, menyebabkan sumbangan PKS kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sekitar 37.1% pada tahun 2017.

Perkara ini amat berbeza sekali dengan PKS di Indonesia dan Thailand yang telah mencapai sumbangan kepada KDNK yang lebih tinggi, melebihi 40 peratus.

Oleh itu, PKS berpeluang menggaji pekerja berkemahiran dengan inisiatif #GraduanKerja. Hal ini dapat mengurangkan kebergantungan majikan PKS kepada pekerja asing tidak berkemahiran dengan upah murah.

Kedua, pemberian inisiatif tambahan membolehkan industri meningkatkan pelaburan terhadap kemahiran pekerja dan automasi.

Perkara ini boleh mengubah landskap industri yang didominasi pekerjaan bekermahiran sederhana dan rendah sedekad yang lalu.

Berdasarkan Kajian Separuh Penggal, Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11), guna tenaga mahir di Malaysia dianggarkan meningkat kepada 30 peratus atau 4.61 juta orang daripada 27.5 peratus atau 3.97 juta orang pada tahun 2017.

Matlamat ini boleh dicapai sekiranya industri berupaya memberi latihan kepada pekerja dan meningkatkan penggunaan automasi.

Secara tidak langsung, ia dapat mengubah pekerjaan bekerja sederhana dan rendah kepada pekerjaan yang berkemahiran tinggi. Akhirnya, ia juga akan meningkatkan keuntungan kepada majikan atau industri.

Apabila industri melabur dalam pekerjaan berkemahiran dan automasi, ia juga dapat menyelesaikan ketidakpadanan kerja dalam golongan belia.

Laporan School to Work Transition daripada Khazanah Research Institute (KRI) mendapati 95 peratus pekerja muda mempunyai pekerjaan tidak berkemahiran walaupun mempunyai kelayakan pendidikan tinggi. Mereka terpaksa menerima gaji yang rendah, tidak setimpal dengan kemahiran graduan.

Maka, dengan adanya pelaburan industri kepada aktiviti ekonomi bernilai tinggi, graduan mampu mendapat pekerjaan dan gaji yang setimpal dengan kemahiran mereka.

Situasi ‘menang-menang’

#GraduanKerja telah memberi situasi ‘menang-menang’ kepada pekerja dan majikan untuk mencapai negara berpendapatan tinggi dengan agenda Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Namun, sejauh manakah pihak industri mahu memanfaatkan dasar pekerjaan yang disebut Belanjawan 2020?

Apa yang lebih penting lagi, Belanjawan 2020 telah memberi kesedaran kepada industri dan pekerja untuk berubah kepada aktiviti ekonomi yang mempunyai nilai tambah bagi memacu pembangunan Malaysia.

Tinggal dua bulan Malaysia akan melangkah ke tahun 2020. Kesanggupan industri dan pekerja untuk berubah ke arah ekonomi berpendapatan tinggi akan menambahkan lagi kemakmuran negara dan rakyat. Ini merupakan satu langkah penting untuk merealisasikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

— ASTRO AWANI

Your Cart
SUPPORT US