Menghargai pengorbanan pekerja B40 dan ekonomi gig melawan COVID-19 – REFSA

COMMENTARY

MAR 25, 2020

Menghargai pengorbanan pekerja B40 dan ekonomi gig melawan COVID-19

By Fakhrurrazi Rashid
 

WABAK Coronavirus 19 (COVID-19) telah memasuki gelombang kedua di Malaysia.Setakat 23 Mac 2020, 1,518 kes positif COVID-19 dilaporkan di Malaysia, meningkat sebanyak 728 kes jika dibandingkan 790 kes pada 18 Mac 2020. Sekarang, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pelbagai usaha bersama kerajaan-swasta telah dilaksanakan  bagi mengelakkan gelombang ketiga COVID-19.

Sejak bermulanya gelombang pertama COVID-19, wabak ini telah mewujudkan kegelisahan dalam soal keselamatan pekerjaan dan gaji. Syarikat pelancongan antara sektor yang terkesan sehingga terpaksa mengurangkan pekerja bagi menampung kos operasi.

Pengorbanan Pekerja ‘barisan sokongan’

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) menganalisa sebanyak 24 juta pekerjaan akan terjejas di seluruh dunia disebabkan COVID-19 jika tiada tindakan tegas dilaksanakan.

Di Malaysia, dianggarkan sebanyak 100,000 pekerjaan akan terkesan, tetapi tiada data penuh atas dakwaan ini. Golongan paling terkesan dalam situasi sekarang tentunya pekerja bergaji rendah.

Namun, di sebalik isu kehilangan pekerjaan, golongan berpendapatan rendah yang selalu dirujuk sebagai B40 terus bekerja dalam sektor penting seperti restoran, pasaraya, kebersihan, penghantar makanan dan peruncitan. Mereka merupakan ‘barisan sokongan’ bagi mengerakkan keberlangsungan hidup seluruh masyarakat.

Umum mengetahui pekerja-pekerja dalam sektor makanan dan minuman, peruncitan dan kebersihan  ini menerima gaji yang rendah. Laporan Bank Negara Malaysia (BNM) 2018 mendapati pekerja berkemahiran rendah mendapat upah purata RM 1,727 pada tahun 2016, 30 peratus di bawah upah purata nasional sebanyak RM 2,463.

Contohnya, upah median pekerja bagi sektor perdagangan borong dan runcit pada tahun 2011 hingga 2017 adalah sebanyak RM 1,394 sahaja meskipun menyumbang 18 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Gaji rendah ini tidak setimpal dengan risiko pekerja B40 yang bekerja dalam tempoh PKP, khususnya dalam soal jaminan kesihatan. COVID-19 telah menunjukkan kegusaran keluarga B40 apabila kebanyakkan mereka tidak memiliki insuran atau pelindungan kesihatan.

Kekurangan ini menyebabkan golongan ini tidak mahu tampil mendapatkan rawatan kesihatan kerana ia melibatkan kos yang tinggi, terutama sekali penjagaan kesihatan dalam tempoh jangka panjang memandangkan COVID-19 merupakan pandemik yang sukar diubati.

Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) mendakwa terdapat hampir 1.7 juta orang bekerja dalam ekonomi gig, majoritinya pemandu e-hailing dan penghantar makanan. Terdapat hampir 12,000 orang penghantar makanan Food Panda dan 4,000 orang lagi bersama GrabFood di Malaysia.

Kita boleh sahaja bayangkan begitu ramai penghantar makanan bekerja siang dan malam sebagai ‘barisan sokongan’  untuk memenuhi keperluan rakyat semasa PKP. Hakikatnya, mereka ini tidak dilindungi dengan skim kesihatan dan mudah terdedah dengan pelbagai risiko, khususnya ketika kes COVID-19 kian membimbangkan.

Langkah diambil seterusnya

Pekerja-pekerja dalam sektor penting ini memerlukan perhatian dan sokongan kerajaan. Tidak berbaloi sekiranya pekerja ini mengorbankan tenaga membantu barisan hadapan, tetapi masih menerima gaji tidak setimpal dan kurang jaminan kesihatan. Maka, apa yang boleh kerajaan lakukan untuk membantu mereka?

Pertama, kerajaan boleh memberi subsidi gaji kepada pekerja di perkhidmatan penting sekurang-kurangnya RM1,000 sebulan. Pemberian ini sebagai satu penghargaan kepada tukang cuci di hospital, pekerja restoran atau pasaraya, dan penghantar makanan yang bertungkus lumus memberikan perkhidmatan kepada rakyat.

Kedua, memperluaskan jaringan keselamatan dan kesihatan buat pekerja sektor penting dan penghantar makanan dalam ekonomi gig. Kerajaan boleh menambah dan meluaskan peruntukan skim kesihatan seperti Skim Peduli Kesihatan B40 (Peka40) dan Skim Pelindungan Nasional B40 (My Salam) untuk pekerja sektor ini, terutama sekali bagi penghantar makanan yang tidak dilindungi jaminan kesihatan.

Ketiga, bantuan bekalan makanan perlu diperluaskan oleh kerajaan kepada keluarga pekerja B40 bagi memastikan mereka mendapat bekalan mencukupi. Program seperti Food Bank yang menerima peruntukan sebanyak RM 25 juta dalam belanjawan 2020 boleh diperluaskan agar ia dapat memberi bekalan makanan kepada golongan keluarga B40, warga emas, dan mahasiswa yang kini tinggal di universiti secukupnya.

Bagi menambah bekalan makanan, pihak kerajaan boleh memikirkan cara menggunakan peruntukan Program Sarapan Pagi (PSP) bagi meringankan beban ibu bapa dalam menyediakan makanan kepada anak-anak. Peruntukan PSP sebanyak RM 2.3 bilion dalam belanjawan 2020 mampu menampung keluarga pekerja B40 dan M40 yang kini bakal berhadapan dengan kesukaran membeli keperluan harian beberapa bulan akan datang.

Keempat, kerajaan perlu melakukan pelaburan dalam sektor pekerjaan bagi mencipta peluang pekerjaan baharu.Wabak COVID-19 telah mendedahkan kita kepada nilai sektor pekerjaan yang fleksibel, berteknologi dan penting berbanding pekerjaan harian biasa. Pelaburan dalam  pekerjaan seperti penyelidikan kesihatan,pekerja sosial, ekonomi gig, dan ekonomi hijau dapat membantu negara mencipta peluang pekerjaan baharu.

Selain itu, pelaburan bagi penggunaan teknologi dalam sektor penting seperti kebersihan dan runcit dapat membantu produktiviti pekerja untuk memberikan perkhidmatan terbaik, khususnya dalam keadaan kritikal.

Realitinya, rakyat Malaysia perlukan ‘barisan sokongan’ dalam waktu kritikal ini dan bakal berhadapan dengan wabak COVID-19 yang kian berpanjangan. Tanpa mereka, kehidupan rakyat turut terjejas dalam memerangi COVID-19.

Maka, peluang hari ini boleh digunakan pihak kerajaan, masyarakat dan majikan untuk mengubah sistem yang terus menekan pekerja ini menerima gaji rendah dan jaringan kesihatan yang lemah.

Apabila kita mempunyai kesedaran membantu pekerja ‘barisan sokongan’, kita sebenarnya menyelamatkan lebih ramai pekerja berpendapatan rendah dan keluarganya menjadi mangsa wabak COVID-19 yang masih tidak punyai ubat.

— First published in ASTRO AWANI on 25 March 2020.

Your Cart
Library