46-67360564

Kenyataan Akhbar REFSA: ‘Kerajaan Negeri’ Kuala Lumpur yang dipilih oleh Rakyat

Kuala Lumpur | 31 January 2021  

Kenyataan akhbar oleh Wan Hamidi Hamid, Penasihat, Research for Social Advancement (REFSA)

‘Kerajaan Negeri’ Kuala Lumpur yang dipilih oleh Rakyat

Saya ingin menyuarakan sokongan saya kepada kenyataan Ahli-Ahli Parlimen Pakatan Harapan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang mencadangkan penubuhan Jawatankuasa Dwipartisan Kuala Lumpur 2024. Ini merupakan satu idea yang baik untuk mula membincangkan masa depan ibu negara kita.

Sementara kita perlu meneruskan usaha memerangi wabak Covid-19, kita tidak boleh leka dengan percaya bahawa “kerajaan tahu segala-galanya”. Sebagai pengundi, kita mesti tahu hak kita dan kita mesti bersedia untuk membina semula negara kita, dan ini termasuk memikirkan semula masa depan Kuala Lumpur.

Kuala Lumpur dijadikan Wilayah Persekutuan yang diperintah secara langsung oleh Kerajaan Persekutuan pada 1 Februari 1974. Menjelang 2024, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur akan mencapai usia 50 tahun. Sudah tentu ia memerlukan wawasan yang baharu.

REFSA mencadangkan Kuala Lumpur dijadikan seperti kerajaan negeri sejak lebih separuh dekad yang lalu, termasuk menganjurkan sebuah forum awam pada 1 Februari 2015 yang bertajuk ‘Beyond Local Government: Making Kuala Lumpur a State’ (Menjangkui Kerajaan Tempatan: Menjadikan Kuala Lumpur Seperti Sebuah Negeri).

Mengapa kita perlukan perubahan yang penting ini? Dengan kesan buruk pentadbiran akibat campur tangan bekas Menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Mansor yang telah didapati bersalah kerana rasuah, sudah tiba masanya kita mengkaji semula kewujudan Kementerian Wilayah Persekutuan.

Lagipun, Kementerian ini tidak mempunyai sebarang tanggungjawab secara lansung kepada warga Kuala Lumpur yang sepatutnya mempunyai hak untuk memilih kerajaan sendiri. Kuasa sebenar untuk Kuala Lumpur berada di Putrajaya, dan bukan di tangan wargakota.

Adakah warga Kuala Lumpur boleh memilih kerajaan sendiri, seperti mana yang boleh dilakukan oleh pengundi-pengundi di negeri-negeri lain untuk memilih kerajaan negeri masing-masing?

Di Washington DC, ibu negara Amerika Syarikat; di New Delhi, India dan di Canberra, Australia – kerajaan di semua bandaraya itu dipilih sepenuhnya oleh pengundi walaupun masing-masing merupakan ibu negara. Kerajaan Wilayah Persekutuan Canberra atau Australian Capital Territory (ACT) dan kerajaan New Delhi adalah mirip kerajaan negeri. Kedua-dua negara itu, seperti Malaysia, merupakan anggota Komanwel.

Negara-negara jiran ASEAN juga mempunyai kerajaan ibu negara yang dipilih oleh rakyat. Jakarta, Bangkok dan Manila mempunyai gabenor masing-masing dan dewan perundangan yang dipilih oleh rakyat.

Kuala Lumpur memang patut dijadikan sebuah ‘kerajaan negeri’. Pada masa ini Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mempunyai peruntukan yang paling tinggi berbanding kerajaan-kerajaan negeri yang lain, iaitu RM2.97 bilion tahun lalu dan RM2.65 bilion diperuntukkan tahun ini. Di segi penduduk, dengan 1.78 juta orang pada 2019, Kuala Lumpur jauh lebih besar penduduknya berbanding negeri Perlis, Melaka, Negeri Sembilan dan Terengganu.

Bagi mereka yang bimbang dengan status penduduk Melayu, sebenarnya orang Melayu/Bumiputera merupakan majoriti di Kuala Lumpur, dengan 47.5%, berbanding kaum-kaum lain.

Anggaran Penduduk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 2019[1]

Tahun Bumiputera (%) Cina (%) India (%) Total
2019 788.7 ribu orang (47.5%) 683.4 ribu orang (41.1%) 168.2 ribu orang (10.1%) 1.78 juta orang

Pada masa ini, hak dan kepentingan kumpulan/kaum di Kuala Lumpur tidak mendapat perwakilan yang sewajarnya kerana mereka tidak mempunyai hak memilih kerajaan sendiri di peringkat ‘negeri’ dan majlis tempatan.

Untuk menggantikan Kementerian Wilayah Persekutuan yang tidak mewakili pengundi secara langsung, DBKL patut dinaikkan taraf sebagai ‘Kerajaan Negeri’ yang dipilih oleh rakyat, sama seperti konsep demokrasi Westminster yang diamalkan di Malaysia. Pengundi wargakota boleh memilih 40 wakil rakyat, dan dalam kalangan wakil rakyat tersebut, memilih seorang Ketua Menteri, seperti yang diamalkan di Canberra dan New Delhi.

‘Kerajaan Negeri’ ini akan mempunyai status dan kuasa yang sama dengan kerajaan negeri lain untuk mentadbir dan memajukan bandaraya yang paling penting di negara kita ini mengikut idea, cadangan dan keperluan pengundi.

Sama ada Kerajaan Persekutuan diwakili Perikatan Nasional atau Pakatan Harapan, ia patut mengkaji secara serius cadangan Ahli-ahli Parlimen PH untuk kebaikan ibu negara Malaysia serta kesejahteraan wargakota, khususnya menjelang senario pasca-Covid-19 nanti.

Wan Hamidi Hamid

[For Press Statement in English click here, in Chinese click here]

[1] Department of Statistics Malaysia Official Portal (dosm.gov.my)

Your Cart
SUPPORT US