COMMENTARY

JAN 2, 2020

Imbangi jurang pendapatan majikan, pekerja

By Fakhrurrazi Rashid
 

SERING kali menyentuh visi sesuatu negara, kita menekankan mengenai kepentingan pekerja berkemahiran dan berproduktiviti.

Namun, cabaran utama bukan hanya pada pekerja, tetapi sejauh mana sebuah negara dapat melahirkan kelompok majikan yang responsif dalam memastikan kemakmuran ekonomi dapat dikongsi bersama.

Tun Dr Mahathir Mohamad, ketika menyampaikan ucapan pada Invest Malaysia 2019 di Kuala Lumpur pada Mac lalu, menyatakan majikan yang responsif ialah individu yang mampu meningkatkan gaji pekerja apabila syarikat memperoleh keuntungan, supaya pekerja dapat hidup selesa dan sejahtera.

Pandangan Perdana Menteri itu boleh diambil sebagai sebuah konsep majikan yang responsif dan peduli akan keperluan pekerja dalam saat kian mencabar ini.

Realitinya, jurang pendapatan antara majikan dan pekerja kian luas sejak dua dekad lalu. Pihak majikan dilihat menikmati keuntungan, manakala gaji pekerja masih sama.

Penasihat ekonomi Perdana Menteri, Dr Muhammed Abdul Khalid, menyatakan pekerja biasa di Malaysia sering mendapat gaji rendah dibandingkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) walaupun prestasi syarikat merudum.

Kajian Selidik Gaji Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) 2019 mendapati, kenaikan gaji bagi pekerja eksekutif dan bukan eksekutif secara purata meningkat kepada 5 peratus dibandingkan 4.88 peratus bagi kedua-dua jawatan tahun lalu.

Laporan sama mendedahkan jumlah majikan yang menaikkan gaji pekerja pada 2019 lebih rendah berbanding sebelumnya.

Dapatan ini dari sisi lain menunjukkan peningkatan gaji pekerja di Malaysia masih rendah kerana ia meningkat perlahan, berbeza kos sara hidup yang kian meningkat lebih cepat.

Hasil kajian Small Bussiness UK 2019 pula mendapati CEO di Malaysia dibayar 148 kali ganda lebih tinggi berbanding pekerja biasa. Perbezaan gaji CEO di Singapura dengan pekerja biasa pula 74 kali ganda, yakni lebih rendah daripada Malaysia.

Berdasarkan kajian di atas, jika gaji pekerja Malaysia berjumlah RM2,000 sebulan, CEO pula memperoleh gaji RM296,000 sebulan. Di Singapura, jika gaji pekerja berjumlah $651 (RM2,000), maka majikan akan memperoleh $48,174 (RM148,000).

Ada perbezaan perspektif majikan dan pekerja mengenai soal pendapatan mereka. Laporan Bank Negara Malaysia (BNM) 2018 menyatakan majikan berpendapat gaji pekerja meningkat lebih cepat berbanding perspektif pekerja yang masih melihat gaji mereka pada paras sama.

Hakikatnya, agihan kekayaan bagi pekerja di Malaysia berdasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar mengikut komponen pendapatan, masih rendah jika dibandingkan negara maju. Bahagian pendapatan pekerja meningkat kepada 35.2 peratus atau RM475.7 juta berbanding 34.8 peratus atau RM403.1 juta pada 2015.

Peratusan ini lebih rendah jika dibandingkan bahagian pendapatan pekerja Singapura dan Australia yang melebihi 40 peratus.

Dalam agenda Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030), usaha memastikan kekayaan negara dikongsi bersama antara majikan dan pekerja adalah matlamat penting dalam memacu ekonomi Malaysia.

Kerajaan Persekutuan memperkenalkan dasar yang memastikan situasi ‘menang-menang’ kepada majikan dan pekerja dalam meningkatkan ekonomi negara.

Kementerian Kewangan memulakan langkah ke hadapan apabila mengurangkan bayaran gaji lima daripada 18 orang CEO syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan. Langkah ini menjimatkan kos perbelanjaan kerajaan membayar gaji CEO yang terlalu tinggi sedekad lalu, serta merapatkan jurang pendapatan CEO dan pekerja biasa.

Tahun ini adalah permulaan terbaik bagi melakukan pembaharuan, mencipta majikan yang lebih telus dan terbuka mengenai prestasi dan gaji yang mereka peroleh.

Perlunya satu mekanisme dan garis panduan mengenai nisbah seimbang dalam mengagihkan gaji pekerja dan majikan daripada pihak kerajaan.

Dalam ucapan pada majlis Corporate Governance Monitor 2019 pada Mei lalu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, mencadangkan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mengkaji sistem lebih adil untuk gaji pekerja di syarikat berprestasi tinggi untuk 2020.

Pembayaran gaji majikan dan pekerja juga penting untuk didedahkan secara telus dan terbuka. Sistem keterbukaan data mengenai gaji ini dilaksanakan di Amerika Syarikat. Selepas krisis kewangan dunia pada 2008, Barack Obama memperkenalkan sebuah akta, iaitu Dodd-Frank Act, yang mewajibkan badan korporat mendedahkan perbezaan atau nisbah gaji CEO dan pekerja biasa.

Sebuah suruhanjaya dipanggil Equal Employment Opportunity Commission (EEOC) bertanggungjawab memastikan majikan yang mempunyai 100 pekerja, wajib mendedahkan informasi mengenai gaji, jam bekerja, dan latar belakang pekerja kepada kerajaan agar tidak berlaku diskriminasi dan bayaran gaji yang tidak setimpal kepada pekerja.

Badan korporat di negara maju seperti Perancis dan Kanada juga mempraktikkan sistem bayaran gaji CEO dan pekerja yang telus dan terbuka.

Namun, sistem ini perlu berpandukan asas kefahaman dan pengetahuan dalam kalangan majikan dan pekerja. Ukuran pendapatan ini memerlukan pengetahuan literasi kewangan dan ekonomi kepada majikan dan pekerja agar mereka tidak meletakkan emosi dalam membaca informasi diberikan.

Meskipun pembaharuan masih pada peringkat perbincangan, secara dasarnya sistem baharu yang telus dan terbuka dapat mewujudkan lebih ramai majikan yang lebih responsif, telus dan peduli kepada pekerja biasa di Malaysia.

— BERITA HARIAN

Your Cart
SUPPORT US