COMMENTARY

MAR 11, 2020

Cabaran pulih ekonomi, perkukuh integriti

By Fakhrurrazi Rashid
 

Rakyat terkesan keadaan politik hari ini dan Malaysia sebagai negara ekonomi ketiga terbesar Asia Tenggara, mencatat pertumbuhan terendah 3.6 peratus antara Oktober hingga Disember 2019.

Ia pertumbuhan kurang baik sejak krisis ekonomi dunia pada 2009. COVID-19 pada peringkat global turut memberi impak negatif kepada ekonomi negara.

Kini, kemelut politik mula reda. Ia memberi jaminan keadaan rakyat dan negara akan kembali stabil. Namun, kerajaan baharu berdepan cabaran untuk memacu ekonomi rakyat dan mempertahankan integriti negara daripada unsur rasuah serta ketirisan.

Dalam ucapan sulung Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, memberi komitmen meneruskan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) dan memacu ekonomi berfokus pendidikan, kesihatan dan kos sara hidup.

Ternyata, ekonomi menjadi penentu utama kejayaan pentadbiran baharu bagi merapatkan jurang kaya-miskin, bandar-luar bandar, antara kaum dan wilayah. Beberapa perkara perlu diperhatikan.

Pertama, kerajaan boleh menyemak semula klasifikasi kumpulan pendapatan rakyat, iaitu T20, M40 dan B40 kepada konsep lebih menyeluruh, B20, M50 serta T30.

Klasifikasi sedia ada tidak mampu menterjemah realiti semasa rakyat, khususnya dalam dasar mengagihkan bantuan kepada golongan memerlukan.

Jumlah kumpulan B40 meningkat kepada 2.78 juta isi rumah pada 2016 dengan pendapatan purata RM2,848 sebulan. Adakah ia bermaksud semua bantuan hanya disalurkan kepada kumpulan ini?

Berdasarkan kajian Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) pada 2016, kumpulan B20 merujuk isi rumah berpendapatan RM1,196 sebulan yang memerlukan bantuan hidup untuk mendapatkan keperluan asas. Isi rumah M50 pula pembayar cukai berpendapatan kurang RM3,000 sebulan, memerlukan akses kepada penambahan pendapatan dan perkhidmatan.

Kumpulan isi rumah T30 pula berpendapatan RM3,000 ke atas, merangkumi 30 peratus populasi Malaysia. Penstrukturan klasifikasi kelas ini boleh membantu kerajaan mengagihkan bantuan secara bersasar, khususnya B20.

Kedua, komitmen kerajaan mencipta peluang pekerjaan berkualiti dengan gaji setimpal penting kepada ekonomi kerajaan baharu. Kajian Hay’s Asian Salery Guide 2020 melaporkan 64 peratus pekerja Malaysia tidak berpuas hati dengan kadar gaji dan ia peratusan tertinggi di rantau Asia.

Peningkatan penyertaan pekerja dalam ekonomi gig dan pekerjaan sendiri khususnya wanita, dilihat tindak balas kepada masalah kekurangan pekerjaan setimpal.

Kajian Research For Social Advancement (REFSA) mengenai pertumbuhan dan penciptaan kerja untuk belia pada 2019 mendapati wanita berusia 20-24 tahun bekerja sendiri meningkat kepada 15 peratus pada 2018 berbanding 8 peratus (2012), melebihi lelaki sekitar 11 peratus.

Namun, bekerja sendiri tidak menjamin pendapatan stabil. Statistik pencarum i-Saraan untuk pekerja sendiri turun daripada RM84 juta pada 2012 kepada RM58 juta (2017). Ini mengundang masalah apabila mereka tidak mempunyai simpanan masa hadapan.

Walaupun ada sentimen bertukar kerjaya bagi mendapat gaji lebih setimpal, tawaran kerja kebanyakannya berkemahiran rendah-sederhana dengan pendapatan tiada perubahan signifikan.

Pendapatan rendah menyebabkan masyarakat terperangkap dalam isu berisiko seperti hutang.

Laporan Bank Dunia 2019 mendapati hampir 60 peratus golongan muda di negara ini berusia 25-44 tahun diisytiharkan muflis selepas gagal membayar pinjaman.

Ketiga, kerajaan mempunyai komitmen dalam pelaburan kepada kemahiran dan industri masa depan. Pelaburan penyelidikan dan pembangunan (R&D) hanya 1.3 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), antara terendah berbanding negara maju.

Pembangunan kemahiran dan penambahan pekerja dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) mampu mencipta peluang pekerjaan dengan gaji setimpal dalam sektor baharu seperti ekonomi hijau, digital serta maritim.

Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2019 oleh Transparency International Malaysia (TMI) meletakkan Malaysia pada kedudukan terbaik dalam memerangi rasuah, di tangga ke-51 daripada 180 negara berbanding ke-61 (2018).

Jadi pentadbiran hari ini perlu memastikan pencapaian dan usaha memerangi rasuah dipergiatkan bagi menjaga integriti negara.

Perubahan urus tadbir baik ternyata berbaloi dan mewujudkan persekitaran ekonomi positif. Bank Dunia meletakkan Malaysia di tangga ke-12 daripada 190 negara yang mempunyai perniagaan kompetitif, terbuka dan pengurusan korporat cekap berdasarkan Laporan Doing Business 2020.

Apabila kerajaan berjaya membuktikan dapat menguruskan ekonomi dan pentadbiran negara, secara tidak langsung ia menjawab ‘rayuan kepada rakyat Malaysia’ yang diminta PM.

Namun, ia bukan mudah kerana kerajaan memerlukan kerjasama pemimpin politik, ahli ekonomi dan pemegang taruh bagi meyakinkan hala tuju ekonomi kerajaan mendapat sokongan bulat.

Harapan rakyat untuk melihat dasar ekonomi dan penambahbaikan institusi berintegriti, demi kejayaan negara.

Jika dasar kerajaan sebelum ini dilihat baik untuk rakyat, PM boleh meneruskannya atas kepentingan masyarakat bersama. Jika ada kelemahan, kebijaksanaannya diperlukan bagi menambah baik sistem yang sedia rapuh.

— First published in BERITA HARIAN on 11 March 2020.

Your Cart
SUPPORT US