d91765a0073a12d00ab9f479eb3d75f4

Apa Yang Akan Berlaku Pada 26 November, Hari Penggulungan Belanjawan 2021 Ini?

By Fakhrurrazi Rashid

[For English version please click here]

Apabila bercakap soal belanjawan negara, kita tidak dapat lari daripada hakikat sebenar bahawa kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk meyakinkan ahli parlimen menyokong Belanjawan 2021.

Untuk rekod, parlimen Malaysia tidak pernah menolak belanjawan kerajaan selama enam dekad. Kebiasannya, kerajaan mempunyai majoriti dan sokongan yang kukuh untuk meluluskan belanjawan.

Namun, perkara ini tidak dinikmati oleh kerajaan Perikatan Nasional yang hanya mempunyai majoriti tipis buat masa ini, iaitu 111 orang ahli parlimen selepas Tengku Razaligh memutuskan tidak hadir ke parlimen dan kekosongan kerusi parlimen Gerik berbanding 108 ahli parlimen pembangkang dan bebas (selepas kekosongan parlimen Batu Sapi) . Perbezaan hanya tiga kerusi antara blok kerajaan dan pembangkang menunjukkan legitimasi kerajaan hari ini tidak kukuh dalam melaksanakan Belanjawan 2021.

Meskipun kerajaan mempunyai kerusi yang lebih banyak berbanding pembangkang, namun ia tidak memberi sebarang jaminan memandangkan ada dakwaan ahli parlimen PN masih tidak memutuskan lagi untuk menyokong Belanjawan 2021.

Jika kerajaan hilang sokongan majoriti, maka Perdana Menteri perlu meletakkan jawatan. Hal ini demikian kerana penolakan belanjawan mempunyai nilai yang sama dengan undian usul undi tidak percaya kepada Perdana menteri.

Selepas peletakan jawatan Perdana Menteri, kerajaan baharu boleh dibentuk dengan belanjawan yang baharu. Jika kerajaan baharu gagal dibentuk, pilihan raya umum akan diadakan.

Bagi mengelak Belanjawan 2021 ditolak, kerajaan perlu membuat Confident Supply Agreement (CSA) dengan ahli parlimen pembangkang. Ini bermaksud, kerajaan menerima cadangan penambahbaikkan daripada ahli parlimen pembangkang untuk dimasukkan dalam belanjawan. Sebagai balasannya, pembangkang tidak akan menolak  Belanjawan 2021. Tetapi, kerajaan dilihat tidak komited untuk melakukan CSA.

Dakwaan bahawa gaji barisan hadapan dan penjawat awam tidak boleh dibayar sekiranya Belanjawan 2021 tidak diluluskan parlimen adalah tidak tepat. Kerajaan boleh membawa usul kewangan ‘kecemasan’ dibawah Perkara 102 perlembagaan persekutuan bagi membiayai gaji, elaun dan pencen penajwat awam lebih awal walaupun Belanjawan 2021 belum diluluskan.

Gambaran buruk menyalahkan ahli parlimen menolak Belanjawan 2021 adalah satu perkara yang tidak bertanggungjawab. Jika ada kelemahan dalam Belanjawan 2021, maka ahli parlimen mempunyai hak untuk menolak Belanjawan 2021 bagi tujuan penambahbaikkan.

Jika Belanjawan 2021 diluluskan, kerajaan perlu berhadapan dengan proses undian Belanjawan 2021 pada perbahasan peringkat jawatankuasa yang akan bermula pada 30 November hingga 15 Disember 2020 (10 hari).

Ahli parlimen perlu membahaskan butiran perbelajaan mengurus dan pembangunan dan bagi setiap kementerian di perbahasan peringkat jawatankuasa. Sekiranya parlimen tidak meluluskan belanjawan sesuatu kementerian tersebut, maka Belanjawan 2021 juga tidak boleh diluluskan dan kerajaan perlu merangka atau meminda peruntukan tersebut.

 

– Published in Rnggt on 25 November 2020.

Your Cart
SUPPORT US