refsa thumbnail resize for websitenewsletter(41)

Wajarkah Lantik Calon Tewas Ke Kabinet?

By Fakhrurrazi Rashid

Pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), ada cadangan daripada segelintir pihak yang meminta supaya calon tewas dilantik sebagai anggota Kabinet, atas alasan individu terbabit mempunyai kelayakan dalam bidang tertentu.

Antaranya, gesaan daripada sekumpulan pendidik yang mengadakan petisyen supaya calon Pakatan Harapan (PH), Dr Maszlee Malik menganggotai Kabinet bagi portfolio Menteri Pendidikan walaupun kalah di kerusi Simpang Renggam, memandangkan beliau tetap dianggap sebagai individu paling sesuai memegang jawatan itu.

Petisyen dikenali ‘Sokong Dr Maszlee Malik’ itu dilancarkan di platform media sosial beberapa hari lalu dalam usaha meraih sokongan, sekali gus untuk meminta kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, melantik semula beliau ke jawatan berkenaan yang pernah disandangnya pada 2018 hingga 2020.

Namun, persoalannya wajarkah tindakan melantik calon tewas sebagai Senator, seterusnya ke kerusi Menteri, memandangkan mereka ditolak majoriti ketika pengundian.

Malah, adakah sekiranya suara minoriti ini dipenuhi, ia akan menyebabkan ketidakadilan kepada ramai pengundi yang menolak calon berkenaan sebagai wakil rakyat.

Felo Kanan Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, Oh Ei Sun berkata, pelantikan individu yang tewas pada PRU-15 ke dalam Kabinet menerusi lantikan Senator, sebenarnya mampu membawa bakat tambahan ke dalam kerajaan.

Katanya, terdapat dalam kalangan mereka yang tewas itu dilihat sebagai individu berkemampuan seperti mantan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Bagaimanapun, tegasnya, amalan tersebut tidak sepatutnya disalahgunakan bagi memberi keadilan kepada semua.

“Jawatan senator bertujuan untuk membawa masuk bakat tambahan ke dalam Kabinet, namun ia tidak seharusnya disalahgunakan,” katanya ketika dihubungi Getaran.

Ditanya sama ada Kabinet baharu akan menyaksikan penyertaan ramai Senator, Ei Sun berkata, ia mungkin tidak begitu.

“Ia memandangkan kuota jawatan menteri untuk Ahli Parlimen terpilih pun terhad,” katanya.

Sementara itu, Koordinator Penyelidik Research for Social Advancement (REFSA), Fakhrurrazi Rashid berkata, kerajaan harus cermat dalam melantik Senator baharu.

Tegasnya, ia bagi memastikan supaya mereka yang dilantik benar-benar berkemampuan dan boleh menyumbang kepada dasar kerajaan, selain memahami kepentingan institusi Parlimen.

Fakhrurrazi berkata, bagi tempoh jangka pendek, adalah lebih sesuai sekiranya pelantikan Senator ditapis dengan terperinci sebagai menunjukkan pendirian bahawa kerajaan baharu memandang tinggi kedudukan Dewan Negara.

“Penapisan ini juga bagi menunjukkan kerajaan melantik mereka bukan sekadar habuan ‘scheme of things’ yang boleh menghakis kepercayaan rakyat

“Untuk jangka masa panjang, kerajaan baharu boleh memulakan inisiatif untuk pendemokrasian Dewan Negara, agar anggotanya boleh dipilih melalui pilihan raya untuk memperkukuh suara rakyat di Parlimen,” katanya.

-Published in Getaran on 30 November 2022.

Your Cart
SUPPORT US