refsa thumbnail resize for websitenewsletter(32)

Trend Peratusan Keluar Mengundi PRU-15 Meningkat Atau Tidak? Ini Pandangan Pakar

By Fakhrurrazi Rashid

Persoalan sama ada trend peratusan keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) meningkat atau sebaliknya, kini menjadi topik perbincangan hangat pelbagai pihak.

Ia susulan timbul pelbagai isu panas menjelang pilihan raya umum akan datang yang dikhuatiri memberi impak kepada trend tersebut.

Ini termasuklah skandal projek kapal tempur pesisir (LCS) di samping kes mahkamah berprofil tinggi membabitkan beberapa tokoh politik yang menyaksikan mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak didapati bersalah dan dipenjarakan.

Bagaimanapun beberapa penganalisis politik berbeza pendapat mengenai sejauh mana isu tersebut boleh mempengaruhi pola keluar mengundi rakyat Malaysia.

Koordinator Penyelidik Research for Social Advancement (REFSA) Fakhrurrazi Rashid berpendapat, pembinaan keyakinan untuk pengundi keluar mengundi dilihat semakin meningkat.

Menurut beliau, kes SRC International Sdn Bhd serta ketirisan melibatkan projek LCS memberi peluang kepada pengundi untuk menunaikan tanggungjawab mereka pada PRU-15.

“Parti berasaskan kaum dan agama masih menjadi antara pilihan pengundi. Cuma, rakyat hari ini makin sedar akan kepentingan mempunyai sebuah kerajaan dengan idea yang lebih baik.

“Ia penting bagi menyelesaikan isu ekonomi dan rakyat berbanding kebergantungan kepada sentimen kaum semata-mata.

“Ini menjadikan persaingan idea menjadi agenda utama dalam PRU-15,” katanya kepada Getaran.

Jelasnya, kehadiran pengundi belia dan pengundi atas pagar menjadikan persaingan politik semakin rancak memandangkan kebanyakan parti terpaksa mencari formula baharu untuk menarik undi golongan tersebut.

Sementara itu, Geostrategis dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Prof Madya Dr Azmi Hassan pula mempunyai pandangan berbeza mengenai perkara tersebut.

Beliau menegaskan isu LCS atau rasuah dalam kalangan ahli politik tidak akan mempengaruhi pengundi untuk keluar mengundi.

Sebaliknya beliau berkata, daya tarikan terbesar kepada pengundi adalah kekuatan sesebuah parti politik.

“Umpamanya kita ambil kes (pilihan raya negeri) di Melaka dan Johor, di mana terdapat jangkaan bahawa Barisan Nasional (BN) akan menang besar. Sebab itu kita lihat jumlah pengundi menyokong BN keluar beramai-ramai.

“Manakala jumlah pengundi Pakatan Harapan (PH) umpamanya tidak keluar mengundi kerana mereka jangkakan PH tidak akan menang.

“Maka daya tarikan terbesar adalah parti mana yang akan membentuk sama ada kerajaan negeri atau kerajaan Persekutuan,” katanya.

Azmi berkata, beliau menjangkakan penyokong BN akan keluar mengundi beramai-ramai kerana mereka yakin parti tersebut kuat serta boleh memenangi PRU-15 dan seterusnya membentuk kerajaan baharu.

Katanya, situasi berbeza akan berlaku membabitkan penyokong PH apabila mereka diramal tidak keluar mengundi disebabkan parti itu tidak mampu membentuk kerajaan Persekutuan ketika ini.

Bagaimanapun beliau berkata, suasana politik pada masa hadapan sukar dijangka dan penuh kejutan.

“Jadi pada saya, daya tarikan terbesar adalah kekuatan parti politik itu. Lagi kuat parti itu, maka lagi ramai penyokong mereka akan keluar mengundi.

“Lagi lemah parti politik itu, maka lagi kurang penyokong mereka akan turun mengundi,” katanya.

Penganalisis Sosio Politik Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi pula berpendapat, pengundi perlu digerakkan oleh satu falsafah nasional iaitu ideologi negara bertitik tolak kepada keazaman mempertahankan Rukun Negara.

Katanya, apabila wujud kesedaran mempertahankan Rukun Negara, pengundi akan mengaitkan sebarang isu yang berlaku dalam negara dengan falsafah ideologi kebangsaan.

“Misalnya tentang keluhuran Perlembagaan. Ini memberi satu falsafah prinsip untuk menggerakkan mereka mengundi dengan kesedaran yang menyeluruh, bukan disebabkan isu dimainkan oleh pembangkang.

“Kalau kita lihat bagaimana rakyat Indonesia mengundi, trend mengundi mereka akan dikaitkan dengan semangat Pancasila,” katanya.

Justeru, Awang Azman berkata, sudah tiba masanya semua ahli politik menggerakkan kesedaran mengundi sebagai usaha menegakkan prinsip falsafah negara iaitu Rukun Negara sebagai ideologi nasional.

-Published in Getaran on 05 September 2022.

Your Cart
SUPPORT US