PAST
EVENT

JULY 28, 2020

[IRDP X REFSA DISCUSS #7]

T20, Kemiskinan Kota dan Isu Sosio-Ekonomi

 

Bandar ataupun kota sentiasa sinonim dengan taraf hidup yang lebih baik, dari wujudnya tawaran peluang pekerjaan yang lebih tinggi dan menarik berbanding kawasan luar bandar hinggalah pengurusannya yang lebih terancang. Hal demikian menggalakkan penghijrahan warga desa dan sesudahnya menetap di kota. Berdasarkan statistik oleh Jabatan Perangkaan Negara, 76% penduduk Malaysia menetap di kota dan hampir 60% daripada jumlah tersebut merupakan bumiputera. 

Statistik terkini juga menunjukkan bumiputera mewakili separuh daripada kumpulan pendapatan T20. Namun begitu, statistik ini hanyalah indah khabar dari rupa. Warga kota, terutama generasi kebelakangan, mengharungi pelbagai jerih perih kehidupan susulan kos sara hidup yang tinggi, pendapatan yang tidak sejajar, dan masalah-masalah lewat perancangan pembangunan. Apakah masalah yang dihadapi oleh warga kota? Apakah kemiskinan kota dan dampak daripada dasar ekonomi dan dasar pembangunan negara sejak kemerdekaan?

Untuk merungkai persoalan di atas, Institut Kajian dan Pembangunan Dasar (IRDP) bersama Research for Social Advancement (REFSA) telah menganjurkan webminar bertajuk “T20, Kemiskinan Kota dan Isu Sosio-ekonomi” pada 6 Ogos yang lalu.

3 orang ahli panel telah dijemput, iaitu Hawati Abdul Hamid, Penyelidik Kanan di Khazanah Research Institute (KRI), Ammar Atan, Pengurus Program IRDP, dan Hafiz Noor Shams, Felo Pelawat REFSA. 

Hawati

Hawati memulakan perbincangan dengan beberapa kaedah mengukur kemiskinan yang diketengahkan oleh pihak kerajaan. Pertamanya, kaedah kemiskinan mutlak dengan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) yang digunakan sebelum ini dikritik kerana dianggap terlalu rendah untuk mencerminkan keadaan sebenar. Kaedah kedua ialah kemiskinan relatif, di mana kita membandingkan purata tahap kehidupan populasi di Malaysia dengan sesebuah isirumah yang sedang dinilai sebagai miskin. Kaedah ketiga ialah penilaian kemiskinan “pelbagai-dimensi” (multi-dimensional), di mana petunjuk-petunjuk yang diambilkira menjangkaui pendapatan sesebuah isirumah. Dengan kaedah ini, tahap pendapatan bukan menjadi kayu ukur utama kemiskinan tetapi juga kekurangan dari segi akses kepada perkhidmatan kesihatan, pendidikan, dan keadaan kehidupan (nutrisi, air bersih, dan sebagainya). 

Kadar kemiskinan didapati sangat berbeza hanya dengan meggunakan tiga cara berbeza kita mengukur kemiskinan – 5.6% berdasarkan ukuran mutlak dan 17% mengikut ukuran kemiskinan relatif, tetapi hanya 2.6% jika kemiskinan diukur dengan mengambil kira dimensi-dimensi selain pendapatan isirumah.

Lazimnya, jika diukur dengan kaedah kemiskinan mutlak, kadar kemiskinan luar bandar lebih tinggi dari bandar. Kadar kemiskinan di Kuala Lumpur sangat rendah tetapi statistik ini tidak memberi gambaran sebenar pengalaman kemiskinan. Disebabkan kadar migrasi yang tinggi di Malaysia (70% penduduk tinggal di kawasan bandar), secara realitinya kemiskinan dirasai oleh lebih banyak bilangan isirumah di bandar walaupun kadar (peratusan) kemiskinan di bandar lebih rendah.  Secara kontrasnya, terdapat juga faktor-faktor yang memperbaikkan keadaan kehidupan golongan miskin bandar, seperti keberadaan infrastruktur awam yang boleh dinikmati tanpa mengira latar belakang pendapatan. Hal ini boleh menyumbang kepada kesejahteraan kehidupan penduduk dan mungkin boleh mengurangkan pengalaman kemiskinan “pelbagai-dimensi” golongan yang dianggap miskin bandar di bawah ukuran kemiskinan mutlak ini.

Hawati sedia maklum kepopularan istilah B40, M40 dan T20 dalam pelbagai dasar kerajaan. Aras 40 merupakan nilai ambang yang telah dipilih oleh Bank Dunia di mana semua isirumah yang di bawah isirumah ke-40% dalam taburan isirumah di Malaysia dikira sebagai isirumah Bottom 40 (B40). Oleh kerana PGK tidak lagi berjaya menggambarkan gambaran sebenar kemiskinan di Malaysia (hanya 0.4%), konsep B40 telah digunakan untuk memperbesar ruang lingkup golongan yang dianggap perlu mendapat perhatian dasar dan kerajaan. Hawati memuji langkah ini sebagai langkah yang bagus, namun memberikan amaran bahawa isirumah yang benar-benar memerlukan bantuan dalam kalangan B40 ini mungkin terpaksa berkongsi dengan lebih banyak isirumah ataupun tidak menerima langsung bantuan kerana peruntukan program-program kebajikan, subsidi, dan perlindungan isirumah berpendapatan rendah ini tidak ditingkatkan secara selari dengan peningkatan bilangan isirumah yang “memerlukan” di bawah klasifikasi B40 ini. Terdapat lebih kurang 4,000- 5,000 isirumah dalam bancian persekutuan tahun 2019 yang dikelaskan sebagai B40. Jika pengkelasan B40 ini bukanlah sejenis pengkelasan mutlak (seperti PGK) dan bergantung kepada taburan pendapatan isirumah semasa, maka adakah tahap 40% ini ukuran yang sesuai untuk penggubalan dasar untuk merungkai kadar kemiskinan di Malaysia?

Walaupun secara peribadinya beliau berpendapat bahawa nilai ambang PGK boleh dinaikkan lagi selaras dengan tahap peningkatan ekonomi negara, Hawati mengalu-alukan tindakan berani kerajaan untuk menaikkan PGK kepada RM5,800 seisirumah sebagai langkah awal untuk memperbaik lagi polisi bersasar (targeted intervention) di Malaysia.

Uniknya, Hawati turut mengetengahkan kewujudan isirumah yang belum dikategorikan sebagai miskin tapi terdedah kepada kemiskinan; atau rentan (vulnerable). Walaupun kadar kemiskinan dalam kalangan golongan berpendapatan kurang dari RM2,000 sebulan ialah 5.6% di bandar dan 12.9% di luar bandar, kadar kemiskinan bagi golongan berpendapatan di antara RM2,000 dan RM2,900 naik mendadak ke 12.3% di bandar dan 21.8% di luar bandar. Kebanyakan yang boleh dianggap sebagai terentan kemungkinan lebih tinggi, terutamanya selepas pandemik COVID-19. 

Antara cara penyelesaian utama adalah untuk mengukuhkan kedudukan sistem perlindungan sosial di Malaysia. Hawati menerangkan konsep kitaran hayat (life-cycle) sistem perlindungan sosial di mana terdapat tiga prinsip utama; perlindungan (protection) bagi mereka yang telah jatuh ke dalam lubuk kemiskinan; pencegahan (preventive) seperti yang disediakan oleh sistem KWSP dan SOCSO sebelum golongan pencarum ini jatuh dalam keadaan memerlukan terutamanya memandangkan pasaran pekerjaan “gig” dan bekerja sendiri yang semakin menular; dan penggalakkan (promotive).

Ammar

Ammar Atan, Pengurus Program Institut Kajian dan Pembangunan Dasar (IRDP) menyatakan bahawa dasar berasaskan kumpulan etnik masih relevan. Pendapat ini berasaskan statistik daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), yang menunjukkan bahawa jurang pendapatan dalam kalangan komuniti Cina dan India telah meningkat dalam tempoh 2016 hingga 2019. Tanpa dasar yang sesuai untuk menangani masalah ini, jurang tersebut mungkin akan menjadi lebih parah dan besar. 

Beliau juga mengutarakan pemerhatian dari segi perkongsian pendapatan tahun 2019, perkongsian ekonomi oleh kumpulan T20 telah berkembang kepada 46%, manakala perkongsian M40 pula berkurang dari 37.6% ke 37.2%. Perkongsian ekonomi kumpulan B40 pula telah berkurang dari 16.4% ke 16%. 

Ketidakseimbangan pendapatan dalam kalangan penduduk luar bandar telah berkurang. Namun begitu, ketidakseimbangan pendapatan dalam kalangan penduduk bandar telah bertambah, kata Ammar Atan. 

Selain daripada ketidakseimbangan dari segi pendapatan, terdapat juga ketidakseimbangan dalam penerimaan manfaat dasar kerajaan. Hal ini kerana manfaat tersebut lebih mudah untuk dinikmati oleh golongan elit berbanding golongan marhaen. Ammar menggunakan contoh diskaun 7% untuk Bumiputera semasa pembelian rumah. Diskaun ini besar kemungkinan hanya diketahui oleh golongan yang berpengetahuan sahaja. 

Buat masa sekarang, Bumiputera Semenanjung, Bumiputera Sabah dan Bumiputera Sarawak dikumpulkan di bawah kelas yang sama dalam laporan-laporan DOSM, iaitu Bumiputera. Ammar menggesa DOSM agar lebih telus dalam laporan data bagi jenis-jenis Bumiputera yang berbeza, dan juga etnik-etnik yang lain. Ini kerana setiap etnik mempunyai permasalahan yang berbeza, dan statistik yang lebih terperinci diperlukan. 

Ujar beliau, Malaysia juga harus mempergiat budaya kerja dari rumah. Tahap penyampaian kerja semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memuaskan dan ini membuktikan bahawa pekerja mampu menyiapkan kerja meskipun tiada pergerakan ke bandar dibenarkan. Amalan kerja dari rumah ini juga mampu memperlahankan migrasi dari luar bandar ke bandar dan mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan persendirian.

Statistik DOSM juga telah menunjukkan Malaysia dijangka mengalami peningkatan dalam golongan lanjut usia menjelang 2030 ekoran perkahwinan lewat. Sekiranya tidak diurus dengan bijak, fenomena ini akan menambah beban kepada sistem kebajikan sosial Malaysia dan juga mengundang padah pada produktiviti negara. Oleh itu, dasar bagi mengurangkan kebergantungan pada tenaga buruh dan meningkatkan penggunaan teknologi dalam sektor seperti pembuatan, pertanian dan pembinaan diperlukan.

Hafiz

Hafiz Noor Shams, Felo Pelawat di REFSA, mengatakan bahawa proses urbanisasi sedang berubah. Malaysia bukan lagi negara desa, tetapi sebuah negara dengan ramai rakyat yang Malaysia kini menetap di bandar.

Hafiz menunjukkan bahawa populasi bandar di Malaysia telah berubah, di mana pada tahun 1991 peratusan rakyat Malaysia yang duduk di bandar merupakan 50.6% tapi telah meningkat dengan mendadak mengikuti revolusi industri pada 1980-90an kepada 76% pada tahun 2019. Sememangnya, Malaysia antara negara dengan kadar urbanisasi yang tertinggi di Asia Tenggara.

Dari segi negeri, negeri-negeri pantai barat seperti Selangor, Pulau Pinang dan lain-lain sememangnya tinggi dari segi kadar urbanisasi. Populasi di negeri-negeri bandar ini pun telah mencapai 44%. Meskipun negeri-negeri lain dianggap sebagai ‘negeri desa’, kesemua negeri ini telah mencapai kadar urbanisasi lebih kurang 50%, kecuali Kelantan yang sebanyak 40%.

Proses urbanisasi di Malaysia akan terus meningkat dan dijangka akan mencapai 85% pada tahun 2040. Antaranya sebabnya ialah kawasan bandar mempunyai lebih banyak peluang ekonomi. Menurut Laporan Pendapatan isirumah (Household Income Survey) yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, pendapatan penengah bulanan di bandar adalah RM6,000 manakala di luar bandar hanya RM3,900.  

Pada zaman kolonial, British menganggap orang Melayu adalah orang kampung. Dasar Ekonomi Baru (DEB) telah menyebabkan migrasi orang Melayu ke bandar secara besar-besaran. Di Kuala Lumpur, di mana pada tahun 1970 hanya mempunyai 24% Melayu (berbanding 58% Cina), pada tahun 1990 peratusan penghuni Melayu telah meningkat ke 45% iaitu setaraf dengan penghuni Cina (44%). Kini, lebih ramai orang Melayu menetap di bandar berbanding luar bandar 

Akibat migrasi ini, maka wujudlah perumahan setinggan, seperti kawasan Kampung Kerinci, Abdullah Hukum, Dato Keramat dan lain-lain. Kerajaan seterusnya membina flat berkos rendah untuk menangani masalah ini, tetapi kualiti perumahan masih berkurang. Dengan urbanisasi yang semakin meningkat, dasar perlu difikirkan termasuk perumahan, pengangkutan awam (mobiliti), peluang pekerjaan, perlindungan sosial, representasi dan social capital untuk memperbaikkan kualiti hidup rakyat Malaysia. 

Kesimpulan

Ketiga-tiga ahli panel mengutarakan cadangan dasar-dasar yang merangkumi pelbagai aspek, dari aspek pengkelasan data ke kaedah mengukur kemiskinan, ke sistem perlindungan sosial, perumahan, hinggalah ke dasar berasaskan kumpulan etnik. Diharapkan dengan penganjuran seminar ini, isu kemiskinan kota, pengkelasan data dan PGK akan mendapat lebih banyak perhatian dan juga dikaji dengan lebih mendalam oleh lebih ramai penyelidik. 

 
Your Cart
SUPPORT US