refsa thumbnail resize for websitenewsletter(36)

PRU15: Perspektif baharu meyakinkan pengundi

By Fakhrurrazi Rashid

TANGGAL 19 November adalah hari mengundi bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Ia juga merupakan ulang tahun hari kelahiran saya yang bakal “tua” mengikut definisi belia di Malaysia. 

Keadaan ini meletakkan diri saya dalam dilema, sama ada tarikh itu akan mencipta sejarah baharu politik Malaysia atau dikutuk kerana mengembalikan parti dan pemimpin “muzium” ke Putrajaya bagi tempoh lima tahun akan datang. 

Kebanyakan pengundi hari ini juga dalam dilema. Gabungan parti mahupun parti politik semakin bertambah dalam PRU15, menimbulkan kebingungan pengundi dalam membuat pilihan, khasnya orang Semenanjung, yang tidak biasa dengan pertembungan lebih daripada tiga penjuru dalam PRU.

Tetapi, kecelaruan gabungan parti politik yang penuh dengan percaturan boleh menjadi faktor pengundi tidak teruja untuk keluar mengundi.

Jadi, bagaimana pengundi harus melihat PRU15 dalam kerangka yang besar?

Apakah perkara yang boleh dinilai pengundi untuk membuat pilihan yang lebih baik, seterusnya keluar mengundi?

Pertembungan antara “kerajaan”

PRU15 menyaksikan persaingan gabungan parti yang pernah menjadi kerajaan persekutuan, Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan, Perikatan Nasional (PN) selama 17 bulan, dan Barisan Nasional (BN) di bawah Ismail Sabri Yaakob bertahan selama 14 bulan.

Ini jauh berbeza dengan pertembungan PRU14 berdasarkan pertembungan parti kerajaan enam dekad iaitu BN dan pembangkang kekal yang dipelopori oleh PH.

Terdapat juga pemimpin dalam Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Gabungan Tanah Air (GTA) pernah menerajui kerajaan persekutuan sama ada menjadi menteri kabinet dan jentera kerajaan.

Inilah dinamik politik yang berubah sejak beberapa tahun lalu.

Jadi, PRU15 adalah pertembungan “kerajaan” secara besar-besaran dan menjadi penentu “KPI” sebenar parti mana yang dipilih pengundi bagi menerajui negara dalam tempoh lima tahun lagi. 

Manifesto atau disebut juga sebagai “tawaran”, “ikhtiar”, “aku janji”, atau “iltizam” oleh parti politik akan menjadi taruhan penting parti politik kepada rakyat.

Persaingan idea sepatutnya diangkat dengan serius pada PRU15 memandangkan parti politik mempunyai pengalaman melaksanakan dasar ketika mentadbir negara.

Perdebatan dasar ini penting kerana rakyat perlu memilih kerajaan yang mempunyai jalan penyelesaian dalam mengatasi cabaran ekonomi rakyat yang tidak menentu akibat konflik geopolitik yang kian runcing.

Pengundi seharusnya membangkitkan pertanyaan penting bagi setiap manifesto dibentangkan parti politik seperti perancangan meningkatkan semula jumlah simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pekerja yang semakin berkurangan sejak Covid-19?

Apakah solusi untuk mengatasi masalah perumahan rakyat? Bagaimana usaha mereformasi pasaran ekonomi negara agar rakyat dapat pekerjaan dan gaji yang lebih baik?

Susah mendapat informasi

Persoalan-persoalan ini akan menguji sejauh mana tawaran parti politik itu realistik. Tetapi, proses penilaian manifesto di Malaysia sukar didedahkan kepada pengundi atas beberapa faktor.

Pertama, tiada perdebatan terbuka antara ketua parti semasa kempen pilihan raya.

Situasi ini menyulitkan pengundi menilai baik dan buruk sesuatu tawaran parti yang bertanding. Malah, rakyat juga tidak dapat menguji sejauh mana ketua parti mememahi dasar yang mahu dibawanya sekiranya membentuk kerajaan. 

Hampir 15 kali Malaysia adakan pilihan raya umum, kesemua calon perdana menteri atau ketua parti tidak pernah berdebat secara terbuka di khalayak ramai.

Bermaksud, perdana menteri Malaysia agak “manja” dan tidak berani berhadapan dengan pengundi bagi mempertahankan dasar yang diketengahkan. 

Kedua, kurangnya proses menganalisis manifesto pilihan raya parti politik di Malaysia.

Analisis manifesto di Malaysia agak berat sebelah kerana informasinya datang daripada parti politik itu sendiri.

Malah, manifesto parti kerajaan mempunyai kelebihan memandangkan ia akan disiarkan di media arus perdana dan sering diulas dalam keadaan “positif” untuk memancing undi rakyat. 

Berbeza dengan amalan pilihan raya Australia apabila Kementerian Kewangan perlu membentangkan Laporan Tinjauan Ekonomi Pra-Pilihan Raya selepas 10 hari pembubaran Parlimen.  

Parliamentary Budget Office (PBO) di bawah pengawasan Parlimen Australia pula akan mengeluarkan laporan impak fiskal bagi setiap manifesto ditawarkan parti politik dalam pilihan raya kepada ekonomi negara dan rakyat.

Dokumen ini membantu pengundi menilai manifesto ditawarkan parti politik dari segi kesannya kepada ekonomi dan perbelanjaan negara.

Malangnya, perkara ini kurang diamalkan di Malaysia.

Langkah seterusnya

Informasi berkenaan tawaran parti politik wajar diperluaskan dalam pelbagai bentuk, sama ada perdebatan dan analisis dasar.

Mungkin ia tidak berapa penting buat penyokong tegar parti politik, tetapi ia akan membantu pengundi “atas pagar”, yang bukan ahli parti politik dan merupakan majoriti pengundi pada PRU15, membuat keputusan yang lebih baik.

Hakikatnya, politik dan tawaran dasar itu adalah “adik-beradik”. Tanpa dasar, kempen politik itu kosong tanpa sebarang idea bagi menyelesaikan isu rakyat.

Tanpa politik, manifesto itu dilihat mendatar dan tidak akan menarik minat pengundi membacanya.

PRU15 boleh menjadi pencetus budaya baharu buat parti politik menjalankan kempen yang seimbang dari sudut emosi dan rasional.

Jadi, apa langkah seterusnya bagi membantu pengundi mendapatkan informasi yang lebih luas?

Pertama, kesemua parti politik perlu mencapai persetujuan bersama mengadakan debat ketua parti atau calon perdana menteri secara terbuka dalam tempoh berkempen pada PRU15.

Debat ini boleh dilakukan dalam dua siri, iaitu pada minggu awal berkempen dan beberapa hari sebelum tarikh buang undi.

Jika Anwar Ibrahim dan Najib Razak mampu berdebat sebelum ini, maka apakah alasan parti-parti ini menolak debat sewaktu tempoh berkempen?

Kedua, badan-badan pemikir atau “think-tank” perlu memainkan peranan dalam menganalisis tawaran parti politik dan kesannya kepada ekonomi negara.  

Kajian-kajian ini akan memberi perspektif dan keyakinan buat pengundi baharu membuat keputusan berdasarkan fakta dan analisis yang baik.

Ini adalah langkah kecil demi perubahan yang lebih besar dalam meyakinkan pengundi keluar mengundi dan membuat pertimbangan yang lebih rasional. 

Jika perkara ini berlaku, dilema pengundi yang masih ragu-ragu untuk keluar mengundi dapat diatasi secara berkesan.

Jika tidak, ia akan melemahkan sistem demokrasi negara yang bakal didominasi Kerajaan yang tidak peduli akan dasar dan ekonomi rakyat terbanyak.

Persoalannya, apakah pengundi juga berani berubah melihat politik yang lebih realistik dan matang, atau masih terpegun dengan minda perlawanan “anak jantan” antara parti dan pemimpin politik dalam PRU15?

-Published in The Malaysian Insight on 27 October 2022.

Your Cart
SUPPORT US