refsa thumbnail resize for websitenewsletter(33)

PRU-15: Pembangkang Berpeluang Menang, Tapi Perlu Sampai Mesej Dengan Baik

By Fakhrurrazi Rashid

Blok pembangkang mempunyai peluang untuk memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), kata beberapa penganalisis politik susulan pembubaran Parlimen semalam.

Bagaimanapun, untuk menang, jelas penganalisis berkenaan, mereka perlu memastikan mesej berhubung tawaran dan hasrat menjadi kerajaan semula, disampaikan sebaik-baiknya kepada pengundi.

Koordinator Penyelidik Research for Social Advancement (REFSA), Fakhrurrazi Rashid berkata, golongan pengundi atas pagar akan menilai semua mesej berkenaan daripada pelbagai sudut.

“Tawaran ekonomi sudah pasti menjadi tarikan penting mereka. Cuma, mereka juga akan perhatikan kualiti calon yang diletakkan di kawasan masing-masing,” katanya ketika dihubungi Getaran.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU-15.

Pengumuman khas itu disiarkan secara langsung menerusi beberapa televisyen tempatan selepas memperoleh perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Fakhrurrazi berkata, tekanan daripada UMNO untuk membubarkan Parlimen dan membuka laluan kepada pilihan raya umum membuatkan Perdana Menteri tidak mempunyai pilihan.

“Ia menjejaskan urus tadbir negara yang bakal berhadapan dengan cabaran ekonomi,” katanya.

Dalam pada itu, Penganalisis Sosio Politik Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, pembangkang boleh menerokai peluang menarik pengundi 18 tahun ke atas (Undi 18) selain membina momentum dan tarikan untuk golongan di bawah 40 tahun.

Jika usaha itu berjaya dilakukan, tambahnya, potensi pembangkang menang pada PRU-15 dilihat amat tinggi.

“Bagi pengundi atas pagar, mereka perlukan impak yang ‘melimpah’ seperti peluang pekerjaan, gaji munasabah, pendidikan dan perlindungan sosial yang lebih baik.

“Perkara ini perlu menjamin masa depan dan bukan subsidi bersifat sementara,” katanya.

-Published in Getaran on 11 October 2022.

Your Cart
SUPPORT US