Kerajaan perlu menjelaskan mengenai pendirian dan cadangan untuk menubuhkan Majlis Media Malaysia yang sehingga kini masih belum dapat dilaksanakan.
Pengarah Komunikasi Research for Social Advancement (REFSA) Raja Ahmad Iskandar Fareez berkata, penubuhan badan itu mampu mengukuhkan industri media, memastikan integriti profesion kewartawanan, selain mengharungi era polarisasi yang dipacu media sosial.
Jelas beliau, pengamal media ketika ini berdepan cabaran di mana orang awam lebih ‘mempercayai’ maklumat yang disebarkan melalui platform media sosial.
“Majlis media dapat meningkatkan kapasiti bidang wartawan melalui pelaburan dalam industri media. Cara ini juga dapat meningkatkan kebajikan wartawan (termasuk) memastikan gaji dan faedah yang setimpal.”
Raja Ahmad berkata demikian kepada Astro AWANI sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2022, hari ini.
Selain itu, katanya, majlis media juga diperlukan bagi menjamin keselamatan wartawan itu sendiri.
“Misalnya, insiden di UTC (Pusat Transformasi Bandar) di mana wartawan telah dihalau keluar ketika membuat laporan berkenaan isu kelewatan mendapatkan pendaftaran di UTC,” kata beliau memberi contoh.
Mengulas lanjut, Raja Ahmad berpandangan, kesedaran di peringkat awam perlu dipertingkatkan dengan mempromosikan literal media dan digital agar masyarakat lebih cakna berkenaan isu maklumat palsu.
Begitu juga, katanya, reformasi berstruktur terhadap beberapa akta sedia ada perlu dilakukan bagi mengetengahkan peranan wartawan sebagai ‘The Guardians of Truth’ dalam era demokrasi yang dihimpit penyebaran berita tidak benar.
Antara lain, katanya, liberalisasi terhadap akta perlu diadakan termasuk dengan mewujudkan undang-undang yang dinamakan Akta Kebebasan Maklumat. “Contohnya, kita lihat Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 disalah guna saban hari. Jadi, bagaimana ia boleh disemak semula, dan dapat menyebarkan maklumat yang bebas? “Selain itu, masukkan juga (elemen dari) Akta Hasutan 1948, pinda semula Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan kaji semula Akta Rahsia Rasmi, serta wujudkan Akta Kebebasan Maklumat,” tambah Raja Ahmad. Dengan melihat semula akta-akta tertentu, kata beliau, ia mampu mengekang pengaruh politik daripada mengawal media dalam membuat pelaporan berita.
– Published in Astro Awani on 29 May 2022. Watch the video here.