BeFunky-design (1)

PRN Johor: Menang banyak kerusi bukan isyarat masyarakat terima BN – Penganalisis

Kejayaan Barisan Nasional (BN) memenangi banyak kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor disifatkan bukan isyarat bahawa masyarakat sudah mula menerima parti itu.

Pengarah Komunikasi pusat kajian Research for Social Advancement (REFSA), Raja Ahmad Iskandar Fareez menjelaskan, gabungan parti anti-BN mungkin gagal pada pilihan raya kali ini, namun tidak mustahil blok itu akan menawan semula hati pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

“Kita dapat lihat banyak kerusi dimenangi BN. Namun, saya nak tegaskan, ini tidak boleh menjadi isyarat bahawa masyarakat sudah mula menerima BN.

“(Undi) Pengundi anti-BN yang kita sudah lihat, kali ini terpecah dan masih ada ruang untuk blok ini menambat hati pengundi pada PRU15.

“Apabila nampak parti-parti blok pembangkang bertelagah, sebelum kempen, itu yang mematahkan semangat pengundi di blok pengundi anti-BN,” katanya kepada Astro AWANI pada Ahad.

Tambah beliau, walaupun Undi18 telah dilaksanakan pada pilihan raya negeri kali ini, namun, blok anti-BN tidak cukup bersemangat dan menyebabkan kemenangan berpihak kepada BN.

Dalam pada itu katanya, gabungan parti pembangkang perlu sedar bahawa blok itu tidak boleh mengikut formula digunakan BN bagi memenangi pilihan raya.

Blok pembangkang juga perlu sentiasa bekerjasama dan memastikan tiada parti yang bergerak secara solo atau bersendirian, katanya.

“Kita dapat lihat dalam PRN Melaka dan Johor, banyak undi terpecah… lagi-lagi apabila di Johor hanya dua logo, tiada kesatuan, belaku pertelagahan antara MUDA dengan PKR yang memberi bayangan blok ini tidak bersedia menjadi kerajaan.

“Kalau nak jadi kerajaan perlu memberi bayangan bahawa mereka akan jadi kerajaan dan mampu memberikan idea dan polisi yang baik untuk kehidupan.

“Malah, retorik politik tidak semestinya tidak boleh pakai. Orang nak tengok bagaimana mereka boleh beri tawaran yang boleh menyentuh hati rakyat dan membuatkan pengundi mahu mengundi pada PRU15,” ujarnya.

-Published in Astro AWANI on 14 March 2022.

Your Cart
SUPPORT US