61629100320_TBpolitik

Politik di Malaysia kini tidak lagi berpaksi persaingan dua parti

Semua ahli politik di Malaysia perlu menerima dinamika baharu dalam politik negara yang beralih daripada persaingan dua parti politik kepada sistem pelbagai parti.

Koordinator Penyelidikan Research for Social Advancement (REFSA), Fakhrurrazi Rashid berkata, dalam sistem terbaharu itu, perkara paling penting adalah kompromi antara Ahli Parlimen daripada kerajaan dan pembangkang.

Jelasnya, ia termasuklah memeterai Perjanjian Keyakinan dan Pembekalan (CSA) melibatkan kedua-dua belah pihak.

“Ini bukan perkara asing lagi kerana mana-mana negara yang amalkan demokrasi matang telah melalui perkara sama seperti di Australia.

“Apa yang berlaku hari ini adalah krisis tapi ia juga lembaran baharu untuk kita lihat politik atau sistem parti yang lebih matang.

“Di mana kita tidak lagi melihat kuasa Perdana Menteri seolah-olah seperti kuasa Presiden, dominasi Kabinet dalam membuat keputusan,” katanya ketika bersiaran langsung dalam Buletin AWANI pada Isnin.

Tambahnya, beliau berpendapat mana-mana kerajaan yang dibentuk selepas ini perlu memeterai CSA dengan pembangkang dan tidak terhenti selepas peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Sebelum ini, kita dapat saksikan ledakan-ledakan kecil politik ini telah mengubah landskap politik negara khususnya dalam kalangan anak muda untuk melihat perspektif dan agenda politik yang baharu.

“Ini bukanlah satu benda yang asing lagi, ini satu benda yang mereka mahukan dan perjuangkan secara lantang. Apa yang berlaku adalah mereka mahu menyaksikan reformasi institusi atau Parlimen.

“Di peringkat Kerajaan Persekutuan, saya fikir kecuaian kerajaan ketika itu adalah tidak berkompromi dengan pihak pembangkang dalam membawa agenda ekonomi atau kerjasama bipartisan itu agak ketara,” ujarnya.

Mengambil contoh negeri Perak dan Johor, Fakhrurrazi berkata keadaan menjadi lancar buat kedua-dua negeri itu selepas kerajaan dan pembangkang menjalinkan kerjasama sedemikian.

-Published in Astro AWANI on 16 August 2021.

Your Cart
SUPPORT US