refsa thumbnail resize for websitenewsletter(4)

Persoalan tentang transformasi Parlimen

By Fakhrurrazi Rashid

Kenyataan media Menteri di Jabatan Perdana Menteri Wan Junaidi pada 3 Jun lalu berkenaan pelaksanaan Transformasi Parlimen adalah satu perkembangan yang positif.

Kabinet telah bersetuju untuk melaksanakan tiga perubahan Parlimen iaitu penubuhan Suruhajaya Perkhidmatan Parlimen, pindaan kepada Akta Majlis Parlimen (Kebebasan dan Keistimewaan) 1952 (Akta 347) dan menggubal Kod Etika Ahli-Ahli Parlimen.

Siapa sangka, dalam tempoh setahun, idea-idea reformasi Parlimen ini telah menjadi tumpuan penting kerajaan Ismail Sabri Yaakob.

Hakikatnya, tanpa perjanjian persefahaman (MoU) antara kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) pada 13 September 2021, agenda ini tidak mungkin dibincangkan dalam bilik Jemaah Menteri.

Dari perspektif kerajaan dan pembuat dasar, keputusan ini sudah pasti akan memperkukuh institusi Parlimen. Cuma, di kaca mata awam, pelaksanaan pembaharuan ini kurang meyakinkan kerana kerajaan seperti kesuntukan masa untuk melaksanakannya sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Malah, rekod prestasi kerajaan Ismail Sabri yang masih cuai menegakkan prinsip integriti dan melakukan pembaharuan politik yang lebih baik telah menjadi bukti bahawa pelan Transformasi Parlimen ini seperti ‘tangkap muat’ untuk melihat imej prihatin Keluarga Malaysia.

Adakah pembaharuan Parlimen ini benar-benar tulen atau sebaliknya?

Pembaharuan dan persoalan

Terdapat beberapa persoalan yang timbul dalam pembaharuan yang mahu dibawa oleh kerajaan. Pertama, sejauh manakah cadangan meminda Akta 347 untuk menggantung ahli Parlimen yang dibicarakan di mahkamah tidak mempunyai unsur politik kepartian dan bebas?

Individu terawal mencadangkan perkara ini adalah Yang di-Pertua Dewan Negara Rais Yatim pada September 2021. Menurutnya, ahli Parlimen yang didakwa di mahkamah perlu digantung daripada menghadiri sidang sehingga kesnya selesai.

Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan menyifatkan cadangan tersebut usaha menghalang ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang terpalit dengan kes mahkamah atau dikenali sebagai ‘kluster mahkamah’ untuk hadir ke Parlimen.

Jelas kelihatan perdebatan terhadap cadangan ini cenderung ke arah menundukkan musuh politik. Soalnya, adakah cadangan ini satu alat politik untuk kerajaan menekan ahli Parlimen, khususnya pembangkang?

Apakah ia hanya melibatkan kes sivil, jenayah, atau kesemuanya sekali? Adakah penggantungannya sepanjang tempoh perbicaraan? Adakah ini bermaksud ahli Parlimen berhadapan pendakwaan di mahkamah tidak perlu hadir Parlimen tetapi boleh merayau di luar seperti biasa?

Apa yang lebih serius, cadangan menggantung ahli Parlimen ini boleh meletakkan duluan (precedent) yang menghalang tugas ahli Parlimen, khususnya parti pembangkang, yang sering ditekan oleh pihak kerajaan.

Kedua, dari sudut Kod Etika Ahli Parlimen, adakah ia hanya untuk mendisiplinkan ahli Parlimen daripada berkelakukan buruk di dalam Parlimen semata-mata?

Dari segi kebiasaan, kod etika di negara demokrasi seperti United Kingdom lebih menekankan ketelusan, integriti, dan kejujuran seperti pengisytiharan harta dan kepentingan ahli Parlimen secara terbuka, bukan terhad kepada hukuman dan disiplin sahaja.

Faktanya, sebahagian amalan Kod Etika seperti pengisytihraan harta ahli Parlimen telah dilaksanakan pasca PRU14. Cuma, segelintir ahli Parlimen tidak bersungguh-sungguh melakukan amalan ini. Adakah pendekatan ini akan menjadi sebahagian Kod Etika Ahli Parlimen nanti?

Mana Kod Etika Jemaah Menteri?

Sebab itu, kerajaan perlu pastikan konsep kod etika dapat mengekang ahli Parlimen bertindak di luar batasan kuasa. Hukuman dikenakan kepada ahli Parlimen melanggar kod etika perlulah adil dan tidak pilih bulu.

Ketiga, adakah kerajaan juga bercadang untuk mewujudkan Kod Etika Jemaah Menteri? Kod etika bagi menteri Kabinet penting untuk memberi garis panduan kepada menteri dan timbalan menteri tentang disiplin dan tanggungjawab mereka sewaktu menjalankan tugas.

Kelakukan menteri kini mendapat perhatian awam. Sesetengah daripada mereka berkelakuan ‘kayangan’ dan tidak menjalankan tanggungjawab di dalam Parlimen.

Ada yang bertindak di luar batasan sehingga melanggar undang-undang. Bukankah ini masanya kerajaan mempertimbangkang Kod Etika Jemaah Menteri?

Tanpa Kod Etika Jemaah Menteri, ia seolah-olah membiarkan menteri bebas melakukan kecuaian dalam menjalankan tugas.

Adakah ini MoU 2.0?

Faktanya, perkara ini amat mustahak bagi merawat kelemahan institusi Parlimen. Ia merupakan persedian awal agar Parlimen berfungsi meskipun diperintah oleh kerajaan majoriti besar yang sering meminggirkan kepentingan Parlimen.

Tetapi, dari sudut politik dan praktiknya, ia penuh dengan persoalan dari sudut kemampuan untuk melaksanakannya.

Pertama, kesemua pembaharuan Parlimen ini akan diketuai oleh Speaker Dewan Rakyat dan Speaker Dewan Negara dalam sebuah jawatankuasa teknikal.

Sebagai rekod, kedua-dua mereka pernah mengetuai Jawatankuasa Khas dwipartisan bagi mengkaji pelaksanaan Parlimen hibrid sewaktu pandemik dan darurat.

Malangnya, Parlimen hibrid masih gagal dilaksanakan. Jadi, apa peluang yang ada untuk melaksanakan pembaharuan Parlimen di bawah kedua-dua individu yang sama ini?

Kedua, perdana menteri sendiri keliru tentang kuasa untuk membubarkan Parlimen dan memanggil pilihan raya sehingga mengheret institusi raja dalam isu ini. Soalnya, bagaimana Ismail Sabri mahu membawa transformasi Parlimen dicadangkan sekiranya dirinya pun keliru dengan sistem pentadbiran yang ada?

Satu-satunya peluang yang ada untuk melaksanakan Transformasi Parlimen ini adalah pada persidangan Parlimen bulan Julai, iaitu sesi Belanjawan 2023. Tetapi, ia agak mustahil untuk dilaksanakan dalam masa yang terhad melainkan kerajaan benar-benar serius melakukannya.

Boleh jadi, Transformasi Parlimen yang dipersetujui Kabinet adalah tawaran kerajaan Persekutuan kepada pembangkang untuk mengadakan MoU 2.0.

Dakwaan ini cocok dengan impian Ismail Sabri menjadi perdana menteri hingga akhir penggal dan menepis desakan Umno untuk mempercepatkan PRU15.

Atau, ia hanyalah stunt politik kerajaan Ismail Sabri untuk mewujudkan momentum politik Umno/BN menuju pilihan raya seperti pembentangan RUU 355?

 

 

-Published in The Malaysian Insight on 8 June 2022.