parlimen

Permulaan penting merawat penyakit lompat parti

By Fakhrurrazi Rashid

Sidang khas Parlimen sudah berakhir. Hasilnya, kedua-dua belah pihak kerajaan dan pembangkang bersetuju membawa rang undang-undang (RUU) pindaan bagi meminda Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan kepada Jawatankuasa Khas Parlimen (JKP) untuk semakan mendalam.

Kebanyakan ahli Parlimen menyuarakan kebimbangan ke atas klausa baru, yakni Perkara 10 (3A), yang memberi kuasa kepada kerajaan mengenakan sekatan ke atas hak keahlian dalam parti politik bagi ahli Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri (DUN) berdasarkan undang-undang Persekutuan.

Sejarah politik Malaysia membuktikan bagaimana parti pemerintah sering memberi tekanan kepada parti lawannya agar tidak mencabar kedudukan kerajaan. Itu yang menjadi punca hampir 60 tahun Malaysia berada di bawah rejim yang sama.

Jika RUU pindaan tersebut diluluskan pada 11 April tanpa semakan, tentunya ia hanya mengulangi kesilapan yang sama dan demokrasi negara turut terjejas.

Sejujurnya, sidang khas Parlimen selama sehari tidak setimpal bagi meluluskan RUU pindaan perlembagaan dan undang-undang antilompat parti (ALP). Merujuk RUU ini kepada sebuah JKP adalah langkah selamat dan matang dalam meneliti isu ALP secara menyeluruh.

Apabila RUU pindaan perlembagaan dan ALP ini mula dibahas dan dikaji oleh Parlimen, ia secara rasminya menjadi agenda nasional dan bukan lagi politik kepartian.

Ini permulaan yang cukup penting buat sistem demokrasi Malaysia. Sebuah permulaan yang harus berakhir dengan kejayaan menyelamatkan sistem politik negara daripada dirobek segelintir wakil rakyat yang tidak bermaruah.

Perbahasan dalam sidang khas Parlimen dipenuhi pelbagai pandangan dan kritikan. Rata-rata ahli Parlimen cuba menyalahkan lawan sendiri. Tetapi, perbahasan tersebut juga sarat dengan cadangan dan perkara yang boleh dipertimbangkan dalam meneliti RUU pindaan perlembagaan dan ALP secara konstruktif.

Apa yang harus menjadi fokus jawatankuasa khas ini?

Pertama, memastikan ahli Dewan Negara (Senator) termasuk dalam RUU ALP. Cadangan yang dibangkitkan Ahli Parlimen Padang Rengas Nazri Aziz wajar dipertimbangkan memandangkan kebanyakan Senator dilantik berdasarkan parti politik. Kini, terdapat 58 orang Senator dan 36 orang daripada lantikan Yang Di-Pertuan Agong.

Daripada 36 senator, BN mempunyai 13 senator, Perikatan Nasional (PN) pula 16 dan tujuh senator daripada parti Sabah, Sarawak, dan lantikan atas kelayakan dan kerjaya. Jika berlaku pertukaran kerajaan pada PRU15 nanti, adakah senator ini akan beralih sokongan sekiranya partinya kalah?

Isu ini perlu dikaji dengan lebih serius dan klausa Perkara 10 (3A) perlu mengambil kira kecenderungan senator untuk melompat parti.

Kedua, cadangan beberapa ahli parlimen bagi mewujudkan Akta Menetapkan Tarikh Pilihan Raya (Fix-Term Parliament Act) wajar dipertimbangkan JPK. Akta ini penting untuk memberi jaminan kerajaan dibentuk atas pilihan rakyat mentadbir negara sehingga tamat penggal.

Ia juga akan mewujudkan kestabilan politik dan menghakis budaya parti pemerintah yang sering mengugut lawan untuk membubarkan Parlimen.

Akta ini turut menyediakan tatacara demokratik sekiranya berlaku undi tidak percaya kepada perdana menteri yang boleh menyebabkan pilihan raya berlaku lebih awal.

Ketiga, adakah wakil rakyat yang mengundi tidak mengikut pendirian parti (crossing the floor) di parlimen atau DUN dikira melompat parti? Tidak rasional sekiranya RUU ALP mengambil kira situasi ini sebagai lompat parti memandangkan wakil rakyat berhak membuat keputusan berdasarkan prinsip dan pandangan rakyat kawasannya.

Keempat, cadangan pelaksanaan kaedah pemecatan wakil rakyat melompat parti atau recall election perlu diperhalusi. Pendekatan ini amat popular bagi segelintir wakil rakyat dan kumpulan masyarakat sivil sebagai usaha memberi kuasa kepada rakyat memecat pemimpin yang melompat parti.

Namun, pakar perlembagaan, Profesor Dr Shad Saleem Faruqi mempunyai pandangan berbeza, melihat recall election sebagai sesuatu yang kompleks, idealistik, dan menelan kos yang banyak. Ini menunjukkan kewajaran jawatankuasa pilihan khas untuk meneliti sejauh manakah pendekatan baru ini dapat dilaksanakan dalam RUU ALP.

Dr Shad turut menekankan RUU ALP ini tidak wajar digunakan jika berlaku situasi Parlimen tergantung (hung parliament) untuk membentuk kerajaan, khususnya selepas pilihan raya umum.

Akhirnya, perkara ini perlu diperhalusi JPK yang merangkumi 11 anggota pelbagai parti. Banyak lagi cadangan yang baik, cuma empat perkara di atas amat penting untuk menyempurnakan pindaan perlembagaan dan RUU ALP.

Adakah rakyat bersedia?

Ada yang mendakwa RUU pindaan perlembagaan dan ALP sukar diluluskan atas kesuntukan masa, lebih-lebih lagi masa diberikan kepada JPK meneliti RUU tersebut yang agak panjang. Hakikatnya, ini adalah proses demokrasi berparlimen yang memerlukan perbincangan, rundingan, dan perdebatan yang tuntas sebelum ia diluluskan.

Bermula dengan krisis Politik di Perak pada 2009, yang menyaksikan empat Adun Pakatan Rakyat (PR) menjadi Adun Bebas dan menyokong BN, mengakibatkan kerajaan PR di Perak tumbang sehingga rampasan kuasa Langkah Sheraton pada 2020, menyebabkan rakyat mula meluat dan tidak lagi percaya akan sistem politik negara mampu mengangkat hasrat mereka.

Mungkin ini adalah peluang untuk mengembalikan semula kepercayaan rakyat kepada institusi politik negara, terutama sekali apabila RUU pindaan perlembagaan dan ALP dapat diluluskan secara dwipartisan sebelum melangkah ke PRU15.

Jika RUU ini menemui jalan buntu dan gagal dilaksanakan mengikut kerangka masa diberikan, ternyata institusi politik negara tidak mampu memberi nilai tambah kepada kehidupan rakyat terbanyak.

Apa sedang berlaku sekarang adalah usaha rakyat untuk mengakhiri penyakit lompat parti yang kian kronik lebih sedekad yang lalu.

Tetapi, sejauh manakah rakyat bersedia untuk menjalankan hak sebagai pengundi sekiranya wakil rakyatnya lompat parti?

Adakah mereka bersedia dan sanggup turun ke pilihan raya kecil membuang undi memilih wakil rakyat baharu sekiranya Akta ALP diluluskan?

Atau semua ini tidak dipedulikan rakyat setelah Parlimen meluluskan RUU ALP?

 

-Published in The Malaysian Insight on 13 April 2022.