COMMENTARY

Credit to Berita Harian
JUNE 14, 2020

Perkasa dasar sektor pekerjaan separa mahir

by Fakhrurrazi Rashid
 

Ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), kerajaan menahan pendatang asing tanpa izin (PATI) bagi mengawal penularan COVID-19.

Ramai dalam kalangan mereka yang bekerja dalam sektor perkilangan, ladang dan pembinaan didapati positif virus berkenaan.

Penularan wabak ini dalam kalangan pekerja asing, kebanyakannya kategori pekerjaan berkemahiran rendah dengan upah yang murah.

Hakikatnya, isu pekerja asing ketika pandemik ini menunjukkan refleksi sebenar persekitaran ekonomi Malaysia yang bernilai dan berproduktiviti rendah sejak dua dekad lalu.

Laporan Bank Negara Malaysia (BNM) 2017 menyatakan kehadiran pekerja asing menekan pertumbuhan gaji pekerja tempatan, terutama dalam pekerjaan berkemahiran rendah. Contohnya, untuk pekerjaan asas, gaji median bulanan pekerja tempatan adalah RM1,025 manakala pekerja asing mendapat RM970.

Meskipun gaji pekerja tempatan tinggi, ia memberi pilihan kepada majikan untuk menggaji tenaga asing yang upahnya lebih murah dan mampu mengurangkan kos operasi perniagaan.

Statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan 56.4 peratus pekerja asing bekerja dalam kategori separuh mahir pada 2018 berbanding 55.2 peratus pada 2013.

Pekerja asing yang bekerja dalam kategori berkemahiran rendah pula menurun kepada 38.1 peratus pada 2018 jika dibandingkan 40.7 peratus pada 2013.

Unjuran ini memperlihatkan peningkatan penyertaan pekerja asing dalam pekerjaan separuh mahir dalam tempoh lima tahun. Perkara ini memberi tekanan bagi rakyat tempatan untuk mendapatkan kerja dan gaji setimpal.

Statistik DOSM menunjukkan penengahan gaji dan upah bulanan pekerja pada 2018 meningkat kepada RM2,308 berbanding RM2,160 pada 2017, iaitu naik RM148 atau 6 peratus.

Ini bermaksud separuh rakyat Malaysia berpendapatan RM3,000 ke bawah dan jumlah ini lebih rendah daripada gaji kehidupan sebenar Kuala Lumpur yang berjumlah RM2,700 sebulan.

Gaji rendah ini cukup dirasai pekerja, khususnya yang menetap di bandar. Kajian Research For Social Advancment (REFSA) mendapati 2.2 juta isi rumah di Malaysia berpendapatan RM1,000 ke bawah dan majoriti mereka berada di bandar.

Sejak pelaksanaan PKP, pendapatan mereka yang bergaji dan berkemahiran rendah terjejas teruk. Tinjauan Jobsteert mendapati lebih satu pertiga rakyat Malaysia mengalami pemotongan gaji akibat COVID-19.

Daripada 5,000 responden, 35 peratus pekerja mengalami kekurangan gaji sebanyak 30 peratus. Mereka yang banyak hilang pekerjaan adalah pekerja bergaji rendah.

Tidak dinafikan, COVID-19 membuka peluang pekerjaan dalam beberapa sektor didominasi pekerja asing. Contohnya, kerajaan menyatakan terdapat 500,000 kekosongan pekerjaan dalam sektor komoditi akibat COVID-19.

Tetapi, sektor ini bakal berhadapan kesukaran mencari pekerja tempatan kerana gaji ditawarkan rendah dan tidak berpatutan.

Majoriti pekerja tempatan sanggup melakukan pekerjaan sama di luar negara kerana upah lebih tinggi berbanding Malaysia.

Bagi mengatasi isu pekerjaan ini, Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM13.8 bilion subsidi upah dalam pakej rangsangan ekonomi bagi tempoh tiga bulan.

Subsidi ini bertujuan menghalang pemberhentian pekerja dengan memberikan RM600 kepada pekerja di bawah pendapatan RM4,000 sebulan.

Tetapi, peruntukan subsidi upah dilihat masih kecil iaitu sekitar 30 peratus gaji pekerja jika dibandingkan subsidi upah di Singapura yang memberikan subsidi 75 peratus daripada gaji pekerja berpendapatan bawah AS$4,600 sebulan.

Risiko pemberhentian pekerja tempatan akan meningkat jika subsidi upah tidak ditambah baik Kerajaan Persekutuan untuk beberapa bulan akan datang.

Laporan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) mendapati kes hilang pekerjaan meningkat 42 peratus pada suku pertama 2020 akibat krisis COVID-19. Pekerja muda adalah kumpulan paling terkesan akibat hilang pekerjaan.

PERKESO melihat trend pekerja diberhentikan ini meningkat pada suku tahunan akan datang dan kenaikan melebihi empat peratus pada 2020, lebih buruk berbanding Krisis Kewangan Asia 1997, iaitu 3.2 peratus.

Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) pula menjangkakan hampir 2 juta pekerja bakal kehilangan pekerjaan selepas Aidilfitri. Ada pihak mencadangkan pekerja meningkatkan kemahiran untuk menambah pendapatan ketika COVID-19. Hakikatnya, pekerja berkemahiran di Malaysia masih menerima gaji yang rendah.

Kajian Institut Penyelidikan Khazanah mendapati belia berkelayakan Latihan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) mendapat gaji purata RM1,800 sebulan berbanding ijazah universiti iaitu RM2,100 dan ijazah profesional sebanyak RM3,000.

Apakah rasionalnya pekerja mempunyai pelbagai kemahiran, tetapi industri masih membayar gaji rendah?

Pekerjaan dikategorikan ekonomi gig seperti penghantar makanan dan barangan juga membuka peluang pekerjaan kepada mereka yang sudah kehilangan kerja akibat COVID-19. Tetapi, pekerjaan dalam ekonomi gig ini tidak mempunyai gaji stabil dan tiada jaringan keselamatan sosial.

Mampukah kerajaan dan industri meningkatkan gaji pekerja dalam mendepani kebiasaan baharu? Bolehkah pekerja mengharapkan gaji mereka lebih setimpal ketika dan selepas COVID-19?

Jika melihat unjuran pengangguran dan peningkatan kos sara hidup yang dinyatakan sebelum ini, tentu ia sukar dicapai. Namun, agak tidak adil jika kerajaan dan industri terus meletakkan beban produktiviti rendah pada bahu pekerja sedangkan sistem ekonomi negara masih pada tahap rendah walaupun menempuh cabaran normal baharu.

COVID-19 memberi ruang kepada kerajaan dan industri memikirkan semula dan melakukan apa sahaja dalam membentuk persekitaran ekonomi berimpak tinggi buat Malaysia dan menawarkan gaji lebih setimpal.

Kerajaan perlu menambah subsidi upah kepada pekerja berpendapatan rendah, sekurang-kurangnya 50 hingga 70 peratus daripada gaji pekerja berpendapatan dan berkemahiran rendah, seperti pekerja pembersihan serta perkhidmatan kesihatan.

Jaringan keselamatan sosial pekerja pula perlu ditambah baik, khususnya dalam aspek perlindungan kesihatan. Dasar ini mampu memandu majikan meningkatkan gaji pekerja berkemahiran rendah lebih gaji penengah dan minimum nasional, sekurang-kurangnya RM3,000 sebulan apabila ekonomi kembali stabil selepas COVID-19.

Skop pekerjaan berkemahiran rendah dan separuh mahir perlu diperluaskan dengan menggunakan automasi serta teknologi.

Pendekatan ini akan meningkatkan kemahiran dan produktiviti pekerja. Malah, ia selari usaha majikan meningkatkan gaji dengan memberi peranan lebih penting buat pekerja.

Begitu juga komitmen kerajaan dalam pelaburan bagi mencipta pekerjaan berkemahiran dalam sektor baharu seperti penjagaan kesihatan, ekonomi hijau dan industri kreatif.

Ia dapat menarik graduan baharu dan pekerja berpengalaman yang pulang dari luar negara akibat COVID-19 untuk menyertai pasaran kerja tempatan.

Peluang ini seharusnya digarap pemain industri dengan membayar gaji kepada tenaga mahir dengan setimpal.

Optimisnya, perkara ini akan menjadi sebahagian perancangan penting ekonomi kerajaan, khususnya dalam pelan ekonomi jangka pendek yang diumumkan Perdana Menteri sebelum ini.

Komitmen kerajaan dan industri untuk melabur dalam ekonomi berproduktiviti tinggi akan membentuk model ekonomi Malaysia lebih berdaya saing.

Pekerja juga perlu sedar peranan mereka dalam membangunkan ekonomi Malaysia selepas COVID-19. Sudah tiba masa pekerja tempatan mengambil alih sektor ekonomi tempatan dengan pendekatan lebih produktif bagi mendepani cabaran ekonomi era normal baharu.

— Published in Berita Harian on 14 June 2020.

Your Cart
SUPPORT US