Peranan parlimen tak wajar dipinggirkan RUU Covid-19 – REFSA

COMMENTARY

d91765a0073a12d00ab9f479eb3d75f4
AUG 13, 2020

Peranan parlimen tak wajar dipinggirkan RUU Covid-19

By Fakhrurrazi Rashid
[For English version please click here]
 

Pada 7 Ogos 2020, kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) 2020, di Dewan Rakyat untuk bacaan kali pertama.

Ini merupakan langkah kerajaan bagi menguruskan krisis dan kesan pandemik Covid-19 kepada kesejahteraan rakyat dan ekonomi negara.

RUU ini akan menaikkan siling statutori hutang daripada 55 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada 60 peratus.

Langkah ini wajar bagi membolehkan kerajaan berbelanjaan lebih untuk meningkatkan kadar pertumbuhan ekonomi negara bagi menampung cabaran ‘kebiasaan baharu’.

Ia juga bertujuan untuk meluluskan peruntukan yang telah dibelanjakan kerajaan melalui Bantuan Prihatin Nasional (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Walaupun RUU ini amat penting tetapi, RUU langkah sementara ini masih tidak memberi gambaran jelas akan peranan parlimen ketika pandemik Covid-19 dan ia fungsi parlimen tidak wajar dipinggirkan dalam RUU ini.

Kuasa menteri kewangan terlalu luas

RUU ini masih memberi kuasa yang begitu luas kepada menteri.

Subseksyen 5(2)(a) memberi kuasa kepada menteri kewangan menggantung dan menghadkan peruntukan dalam jadual RUU dan pakej rangsangan ekonomi.

Subseksyen 5(2)(b) pula membenarkan menteri kewangan menggunakan peruntukan lebihan untuk sesuatu program.

Perkara ini akan membuka kepada risiko penyelewengan tadbir urus dan ketirisan ketika Covid-19.

Isu-isu seperti masalah teknikal pengumuman moritorium dan bantuan subsidi yang lambat diproses ketika Perintah Kawalan pergerakan (PKP) sebelum ini memperlihatkan dasar kerajaan perlu disemak dan diteliti dengan lebih serius.

Parlimen boleh memainkan peranan penting dalam menyemak ketelusan tadbir urus kerajaan dan mengimbangi kuasa menteri kewangan seperti yang terdapat dalam RUU ini.

Fungsi Jawatankuasa Pilihan Khas (JPK) Dewan Rakyat penting untuk memastikan kerajaan bertanggungjawab dan efektif dalam melaksanakan dasarnya ketika Covid-19.

Di New Zealand, parlimen mereka telah menubuhkan sebuah jawatankuasa dipanggil Epedimic Respons Committee, yang mempunyai kuasa untuk meneliti dan memantau tadbir urus kerajaan dibawah Akta Respons Covid-19 (Langkah-langkah Pengurusan Penting) 2020.

Ahli jawatankuasa ini terdiri daripada ahli parlimen New Zealand daripada pelbagai parti politik.

Oleh itu, amat wajar sekiranya kerajaan menekankan peranan parlimen sebagai institusi semak dan imbang ketika pandemik Covid-19.

JPK di Dewan Rakyat seperti JPK Bajet boleh dijadikan sebagai badan yang mengawasi keputusan kerajaan dalam menangani isu ekonomi dan Covid-19 secara telus dan berintegiriti, seperti yang dibuat kerajaan New Zealand.

Kerjasama kerajaan-parlimen amat penting

Kita sudah menyaksikan kekecewaan rakyat dan pemimpin negara apabila kerajaan tidak mahu memanggil sidang tergempar parlimen untuk membahaskan isu Covid-19.

Alasan kerajaan bahawa parlimen akan ‘melengahkan’ bantuan rakyat adalah satu kenyataan tidak bertanggungjawab dan ia perlu dipertimbangkan semula asas keutamaan fungsi parlimen untuk bersidang ketika Covid-19.

Kerajaan tidak seharusnya mengulangi kesilapan lalu.

Adalah lebih baik sekiranya kerajaan memasukkan bahagian membenarkan parlimen bersidang secara maya ketika Covid-19 dalam RUU ini.

Cadangan ini bagi membolehkan ahli parlimen terus memantau dan membawa isu rakyat untuk perhatian kerajaan agar ia dapat ditambah baik dalam pelaksanaan dasar.

Parlimen juga berfungsi sebagai institusi untuk membahas, meneliti dan meluluskan rosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan atau Majlis Keselamatan Negara (MKN), agar ia tidak berlaku masalah teknikal yang menimbulkan kekeliruan rakyat.

SOP semasa PKP, turut menyaksikan reaksi kurang senang rakyat apabila hukuman berat dikenakan kepada orang biasa yang melanggar perintah berbanding para VVIP yang mudah terlepas daripada hukuman.

Perspektif ini lahir daripada kegagalan kerajaan yang tidak berlaku adil dan tidak menerangkan SOP secara jelas kepada orang awam.

Bagi mengatasi masalah ini, adalah lebih signifikan sekiranya SOP ketika Covid-19 dibawa untuk penelitian parlimen agar isu teknikal dapat diatasi dengan baik dan tidak menimbulkan kegelisahan rakyat.

Ia seperti yang dipraktikkan oleh parlimen United Kingdom (UK) apabila setiap SOP mengenai kawalan Covid-19 dari kerajaan perlu mendapat semakan dan kelulusan parlimen sebelum dilaksanakan.

Amalan ini terdapat dalam Akta Coronavirus 2020, UK.

Sepanjang PKP lepas, kita menyaksikan Malaysia berjaya mengawal pandemik Covid-19 dengan cemerlang dan diiktiraf oleh warga dunia.

Hakikatnya, terdapat masalah teknikal dalam aspek ekonomi negara sehingga membangkitkan kegelisahan rakyat.

Ini menunjukkan menteri tidak lagi mampu mentadbir negara secara sendiri dan perlukan kerjasama parlimen untuk menguruskan pandemik Covid-19.

Zaman kerajaan tahu semua perkara tidak lagi relevan memandangkan pelbagai aspek pandangan dan cadangan daripada ahli parlimen dan rakyat perlu didengar kerajaan hari ini agar ia dapat menguruskan krisis secara berkesan.

RUU Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) 2020 wajar memasukkan klausa pendekatan tadbir urus kerajaan-parlimen secara bersama, bagi mengatasi isu penting ketika pandemik Covid-19.

Peranan parlimen penting dalam menyemak dan mengimbangi kuasa menteri kewangan.

— Published in The Malaysian Insight on 19 April 2020

 

Your Cart
Library