Peranan Parlimen dalam pembangunan ekonomi negara berdepan normal baharu – REFSA

COMMENTARY

MAY 12, 2020

Peranan Parlimen dalam pembangunan ekonomi negara berdepan normal baharu

By Fakhrurrazi Rashid

 

TINJAUAN Jabatan Statistik Malaysia (DOSM) melaporkan 78,372 responden telah hilang kerja atau separuh daripada 168,182 responden hilang pekerjaan dan pendapatan akibat PKP dan COVID-19.

DOSM juga melaporkan kadar pengangguran Malaysia pada bulan Mac 2020 meningkat kepada 3.9 peratus, paling tinggi sejak Jun 2010, iaitu 3.6 peratus. Ini menunjukkan refleksi negatif ekonomi sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Seperti bahayanya COVID-19, krisis ekonomi akan menekan kehidupan rakyat sekiranya ia tidak dirawat segera oleh pemimpin negara dan pihak industri. Maka, institusi paling berhak membincangkan isu ekonomi berdepan ‘normal baharu’ ini ialah Parlimen.

Normal baharu bermaksud satu persekitaran baharu yang amat berbeza dengan kebaisaan lama. Dalam era ini, apa yang kita telah lakukan pada masa lalu tidak boleh dipraktikkan lagi selepas krisis COVID-19.

Kebiasaan baharu telah mengubahh cara hidup, kesihatan, dan persekitaran ekonomi dunia yang lebih mencabar.

Parlimen di seluruh dunia sedang giat bersidang untuk membincangkan undang-undang yang perlu diubah bagi mengatasi cabaran ekonomi ketika COVID-19 dan ‘normal baharu’.

Parlimen Singapura telah meluluskan Akta COVID-19 (Langkah Sementara) bertujuan menghalang hotel atau syarikat katering memansuhkan bayaran deposit apabila majlis perkahwinan atau perniagaan terpaksa ditangguhkan akibat wabak COVID-19.

Parlimen Australia telah meluluskan subsidi gaji sebanyak AUS$130 bilion (RM368 bilion) sebagai satu undang-undang untuk mengelakkan majikan memberhentikan pekerja. Perdana Menteri Australia, Scott Morrison menekankan kepentingan meluluskan pakej ekonomi di Parlimen dalam menghormati kedaulatan badan perundangan Australia dan sebagai persediaan awal kerajaan sebelum membuat keputusan mendepani COVID-19.

Negara ini menyedari bahawa mereka tidak boleh menunggu lama untuk membahaskan isu ekonomi negara masing-masing yang terkesan teruk akibat COVID-19.

Seperti wabak COVID-19, kegelisahan ekonomi akan menghimpit kesejahteraan rakyat jika Parlimen tidak membahaskan isu ekonomi lebih awal bagi menempuh normal baharu yang penuh risiko. 

Jika kebanyakan negara mengutamakan Parlimen dalam perancangan ekonomi rakyat, maka apakah alasan pemimpin Malaysia tidak melihat kepentingan Parlimen dalam pembangunan ekonomi negara?

Peranan Parlimen dalam ekonomi Malaysia

Tidak dinafikan, amalan pentadbiran Malaysia yang didominasi jemaah menteri dalam membuat keputusan dan dasar ekonomi sejak enam dekad lalu antara faktor peranan Parlimen Malaysia dalam mempengaruhi pembangunan ekonomi agak terhad.

Lebih membimbangkan lagi apabila pemimpin dan rakyat yang melihat Parlimen hanya institusi politik kepartian. Pandangan ini telah menghadkan fungsi Parlimen dalam urusan ekonomi negara.

Parlimen mempunyai tanggungjawab untuk menggubal undang-undang yang membela keadilan dan nasib rakyat dalam isu ekonomi seperti dasar industri, hak pekerja dan pendapatan yang setimpal, serta undang-undang yang menjamin peluang ekonomi bagi semua pihak. 

Sejauh manakah rakyat diberi jaminan ekonomi yang kukuh dalam normal baharu sekiranya Parlimen tidak bersidang lebih awal dengan tempoh yang berpatutan bagi meminda akta-akta berkaitan pemburuhan, industri dan persaingan adil dalam ekonomi pasca-COVID-19?

Model ekonomi Malaysia yang bergantung kepada upah murah dan pekerjaan kurang mahir dan sederhana selama satu dekad yang lalu telah menjadi faktor menyebabkan rakyat lebih terbeban untuk mengekalkan kesejahteraan hidup semasa tempoh PKP.

Jadi, model lama ini tentunya perlu melalui proses penilitian Parlimen bagi memastikan pembaharuan dasar dan undang-undang negara dapat dilakukan bagi memudahkan kerajaan melaksanakan pembaharuan kepada model ekonomi berimpak tinggi di Malaysia.

Parlimen juga perlu menjalankan semakan ke atas ketelusan tadbir urus kerajaan semasa menguruskan COVID-19.

Laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menyiasat pemberian kontrak daripada Kementerian Kesihatan sebanyak RM 30 juta bagi menyediakan kelengkapan makmal kepada syarikat tidak berkelayakan telah menunjukkan ada pihak yang mengambil kesempatan mengaut keuntungan ketika rakyat berhadapan kesukaran COVID-19.

Begitu juga dengan kekeliruan dan kegelisahan rakyat yang wujud berpunca daripada keputusan yang saling bercanggah dan tidak konsisten antara Bank Negara Malaysia dan Menteri Kewangan dalam isu moratorium pembayaran pinjaman balik berdasarkan pakej rangsangan ekonomi.

Kerana keputusan dan tindakan jemaah menteri tidak melalui proses semak dan imbang Parlimen terlebih dahulu, maka kelemahan dalam aspek teknikal dan dasar kerajaan ini kian membebankan rakyat.

Isu-isu ini sepatunya menjadi perbahasan utama Parlimen dalam mengubah keberlangsungan ekonomi negara bagi mendepani normal baharu. Parlimen juga mempunyai peranan semak dan imbang kepada perancangan ekonomi kerajaan agar ia memberi keutamaan kepada kestabilan pasaran dan jaminan ekonomi rakyat dalam normal baharu.

Memikirkan semula peranan Parlimen dalam ekonomi negara

Sejarawan Kanada, Margaret MacMilan dalam majalah The Economist menyatakan bahawa COVID-19 telah mendedahkan kekuatan dan kelemahan sesebuah negara. Maka, pemimpin setiap negara perlu membuat perubahan untuk berjaya dalam krisis ini.

Beliau menambah, COVID-19 telah memberikan negara dua pilihan: membina sebuah kerjasama yang kukuh atau membiarkan persekitaran kita dibentuk dengan kelemahan lalu yang akan membebankan masyarakat berhadapan normal baharu.

Perkara yang sama juga saya bangkitkan tentang fungsi Parlimen dalam pembangunan ekonomi berdepan COVID-19 – sama ada pemimpin negara mula mengangkat peranan Parlimen dalam pembangunan ekonomi negara atau meneruskan amalan lama yang meminggirkan Parlimen dalam urusan ekonomi Malaysia.

Ringkasnya, COVID-19 telah membuka peluang kepada kita memikirkan semula fungsi Parlimen sebagai institusi yang penting dalam proses pembanguan ekonomi Malaysia yang selama ini tidak diberi perhatian pemimpin dan ahli akademik.

Jika terdapat keterbukaan dan kesanggupan politik antara pemimpin dalam membahaskan isu ekonomi di Parlimen, tentunya perjalanan ekonomi Malaysia akan bertambah kukuh dan hala tuju dasar ekonomi juga menjadi jelas. Jika tidak, maka seluruh kepimpinan, tidak kira kerajaan atau pembangkang, perlu menanggung risiko krisis ekonomi negara dalam menghadapi normal baharu kelak.


— Published in ASTRO AWANI on 12 May 2020

Your Cart
Library