Kerajaan perlu memastikan keterbukaan dan prinsip kesaksamaan dipraktikkan dalam sidang Parlimen hibrid yang masih dalam tempoh kajian ketika ini.

Menurut Pegawai Penyelidik Research for Social Advancement (REFSA), Fakhrurrazi Rashid, pengalaman Parlimen hibrid yang diadakan di United Kingdom dan Australia boleh dijadikan contoh terbaik sebelum ia dilaksanakan di sini.

“Prinsip keterbukaan itu perlu ada tapi apa yang lebih penting ialah prinsip kesaksamaan untuk memberi ruang kepada ahli parlimen membahaskan isu rakyat di dalam Parlimen itu sendiri,” katanya ketika ditemu bual Astro AWANI pada Selasa.

Tambahnya, menerusi Parlimen hibrid itu juga memberi satu keyakinan bahawa sistem demokrasi di negara ini terus hidup selepas sidang Dewan Rakyat dan Dewan Negara digantung akibat pandemik COVID-19.

“Ia memberi satu nilai tambah bahawasanya ada satu keyakinan bahawa sistem demokrasi di negara ini dan tadbir urus antara barisan ahli parlimen pembangkang dan kerajaan berfungsi bagi memastikan ekonomi rakyat terbela buat masa ini.

“Saya rasa ini bukan sahaja bersejarah tetapi perkara penting ketika pandemik ini masih belum nampak jalan keluarnya,” katanya lagi.

Ujarnya, Parlimen hibrid juga memerlukan kerjasama secara bipartisan oleh semua ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang agar setiap isu dapat diselesaikan dengan lebih mendalam.

“Persidangan hibrid akan mengisi beberapa isu dan salah faham yang sering berlegar dalam kalangan masyarakat khususnya prosedur operasi standard (SOP) dan beberapa hal kebajikan yang perlu diberikan kepada rakyat.

“Jadi, rakyat akan mendapat lebih informasi daripada parlimen itu sendiri, dan bukan sahaja infografik atau sosial media. Jadi penerangan menteri dalam parlimen itu memperkukuhkan SOP dan dasar kerajaan dalam memerangi COVID-19,” jelasnya.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kerajaan sedang mengkaji konsep dan mekanisme ke arah pembukaan Parlimen secara hibrid.

Jelasnya, ia membabitkan persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Negara.