KUALA LUMPUR, 13 Julai -- Kelihatan paparan Sistem Imbasan Muka bagi Pengesahan Kehadiran Anggota Parlimen pada skrin komputer riba diatas setiap tempat duduk anggota parlimen telah tersedia di dalam Dewan Rakyat sempena Istiadat Pembukaan Penggal Pertama Majlis Pembukaan Ke-14 yang akan berlangsung pada 17 Julai depan.
--fotoBERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA

Parlimen yang diperlukan ketika krisis politik

By Fakhrurrazi Rashid

MEDIA telah melaporkan bahawa jemaah menteri bersetuju untuk melaksanakan perintah darurat. Keputusan ini menimbulkan kegelisahan rakyat terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang membuat tindakan secara terburu-buru.

Pengumuman Anwar Ibrahim pada 23 September yang mendakwa mempunyai sokongan majoriti yang meyakinkan telah mengancam kedudukan Perdana Menteri untuk menerajui negara.

Pergelutan politik dalaman PN telah mencipta suasana yang tidak stabil sehingga mereka gagal menguruskan krisis pandemik Covid-19. Dari sudut politik, peristiwa ini soelah-olah membenarkan spekulasi bahawa Perdana Menteri telah hilang kepercayaan parlimen

Langkah ‘darurat’ ini didakwa berkait rapat dengan usaha perdana menteri untuk mengelak tekanan dan kekalahan undi di Parlimen, khususnya dalam Belanjawan 2021 yang akan dibentang pada 6 November 2020. Selain itu, langkah ini didakwa untuk mengelak berlaku pilihan raya mengejut sekiranya kerajaan PN hilang sokongan ahli parlimen.

Melanggar semangat perlembagaan 

Jika benar pengumuman ini dibuat, kerajaan PN telah melanggar dua perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Pertama, jemaah menteri PN telah melanggar perkara 43(3) yang menuntut agar mereka bertanggungjawab kepada parlimen.

Tindakan barisan menteri Kabinet hari ini untuk membelakangkan parlimen adalah satu penghinaan kepada perlembagaan persekutuan.

Kedua, tindakan kerajaan PN untuk mengelak undi tidak percaya perdana menteri tidak selari dengan Perkara 43(4) yang jelas memberitahu bahawa Perdana Menteri perlu diuji dan membuktikan sokongan terhadap dirinya di parlimen.

Jika Parlimen dapat menjalankan undi tidak percaya kepada perdana menteri lebih awal, tentunya masalah yang timbul saat ini tidak akan berlaku.

Keputusan kerajaan yang tidak meletakkan institusi parlimen sebagai penyelesaian kepada krisis negara akan memberi duluan (precedent) yang tidak baik bagi sistem demokrasi berparlimen. Ia juga boleh menghakis kepercayaan rakyat terhadap institusi awam seperti Parlimen dan badan eksekutif.

Parlimen kawan, bukan lawan

Menggantung Parlimen bukanlah jawapan yang tepat dalam menyelasiakan krisis politik yang melanda negara. Jika Muhyiddin benar-benar mahu survive di Parlimen, kerajaannya perlu bertolak ansur dan terbuka untuk bekerjasama dengan ahli Parlimen pembangkang.

Pada saat cemas ini, kerajaan PN perlu melihat parlimen sebagai ‘kawan’ yang diperlukan untuk menyelesaikan krisis politik mereka, bukan lawan yang abadi.

Saya tidak percaya bahawa perdana menteri tidak boleh melakukannya kerana terdapat negara-negara lain telah mempraktikan pendekatan ini. Perdana Menteri Australia, Scott Morison hanya mempunyai 77 sokongan ahli parlimen gabungan Liberal di Dewan Perwakilan jika dibandingkan dengan blok pembangkang, parti minoriti dan bebas yang mempunyai 74 orang ahli parlimen.

Perbezaan yang tipis ini tidak menghalang kerajaan Scott Morrison meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Subsidi Gaji pada 8 April 2020 dengan sokongan tidak berbelah bahagi daripada pembangkang. Menariknya, cadangan parti pembangkang turut diambil menjadi sebahagian daripada RUU ini.

Jika kerajaan Australia sendiri dapat bekerjasama dengan baik di Parlimen, apakah alasan kerajaan kita tidak boleh melakukan hal yang demikian?

Muhyiddin juga perlu mempertimbangkan cadangan seperti Confidence and Supply agreement (CSA) yang diutarakan oleh Profesor Wong Chin Huat. Melalui CSA, pembangkang bersetuju tidak akan menolak belanjawan kerajaan dan undi tidak percaya perdana menteri.

Sebagai balasan, kerajaan perlu memberi ruang yang lebih luas kepada pembangkang dalam proses membuat dasar awam di Parlimen. CSA ini boleh disepakati melalui rundingan perdana menteri dengan ketua-ketua parti di Dewan Rakyat.

Bagi menetapkan konsensus mengelak pilihan raya mengejut, kerajaan PN perlu menggubal satu akta untuk menetapkan tarikh pilihan raya. Pada tahun 2011, Parlimen UK telah meluluskan Fixed-Term Parliaments Act (FTPA) 2011. FPTA menetapkan tarikh pilihan raya seterusnya dalam tempoh satu penggal atau lima tahun.

Akta ini bertujuan untuk memberi laluan kepada kerajaan untuk mentadbir negara dalam tempoh satu penggal penuh dan mengurangkan risiko ketidakstabilan kerajaan.

FPTA memberikan satu tatacara demokratik dalam menguruskan kestabilan politik negara sekiranya berlaku undi tidak percaya kepada perdana menteri yang akan membawa kepada pembubaran Parlimen dan pilihan raya lebih awal.

Ternyata, banyak kaedah yang lebih baik yang boleh dilaksanakan kerajaan bagi mendapatkan mandat mentadbir negara. Walau bagaimanapun, cadangan ini tidak bermaksud kerajaan Muhyiddin terlepas daripada semak dan imbang parlimen.

Jika kerajaan menerima cadangan ini, ia mungkin mampu menyatukan negara dalam menghadapi krisis politik, ekonomi dan kesihatan yang kian kritikal. Jika tidak, negara akan terus diselubungi krisis yang tidak berkesudahan.

Kerajaan perlu mempertimbangkan cadangan ini demi kepentingan rakyat. Tidak adil sekiranya rakyat dan negara diheret dalam kancah politik kerajaan PN yang kian membimbangkan.

Hakikatnya, rakyat memerlukan sebuah kerajaan yang kukuh pada waktu krisis. Oleh itu, perdana menteri perlu melalui fasa ‘Kebiasaan Baharu’, bekerjasama dengan Parlimen untuk berhadapan dengan pandemik Covid-19.

 

– Published in The Malaysian Insight on 25 October 2020.