NZ Parliament

Jawatankuasa bebas: New Zealand rujukan terbaik Malaysia

By Fakhrurrazi Rashid

[For English version please click here]

KETIKA penularan Covid-19 kian membimbangkan, kerajaan mengisytiharkan darurat di seluruh negara dan perintah kawalan pergerakan (PKP) di beberapa negeri untuk mengurangkan peningkatan kes yang kini mencecah hampir 3,000 kes sehari.

Persoalan timbul apabila pihak kerajaan membuat keputusan menggantung Parlimen sepanjang tempoh darurat.

Tindakan ini seperti meminggirkan proses semak dan imbang ke atas tadbir urus negara dalam usaha melawan Covid-19.

Jadi apakah pilihan lain yang boleh dibuat untuk memastikan semakan terhadap tadbir urus kerajaan berfungsi ketika darurat ini?

Terdapat cadangan untuk mewujudkan sebuah Jawatankuasa Bebas yang mengesyorkan kepada Yang di-Pertuan Agong berkaitan keperluan untuk menamatkan darurat lebih awal.

Skop yang diberikan jawatankusa bebas ini amat terhad. Jawatankuasa bebas sepatutnya berfungsi sebagai badan yang menyemak tadbir urus kerajaan mengatasi krisis Covid-19.

Peranan ini lebih mustahak jika dibandingkan dengan urusan menentukan tempoh masa darurat yang akhirnya terletak di tangan kerajaan sendiri.

Contohnya, penubuhan Epidemic Response Committee: Covid-19 2020 merupakan sebuah jawatankuasa Parlimen New Zealand untuk meneruskan fungsi semak dan imbang terhadap tadbir urus kerajaan Jacinda Ardern, selepas sidang Parlimen terpaksa ditangguhkan apabila lockdown tahap 4 dilaksanakan pada Mac 2020.

Penubuhannya adalah pendekatan efektif untuk memberi kritikan konstruktif kepada kerajaan bagi menambahbaik strategi mengatasi krisis Covid-19.

Jawatankuasa ini diketuai oleh ketua pembangkang New Zealand pada waktu itu, Simon Bridges (Parti Nasional). Daripada 11 orang ahli jawatankuasa, majoritinya ialah ahli Parlimen pembangkang dan parti minoriti di New Zealand.

Komposisi ini dibentuk supaya prinsip semak dan imbang dapat dijalankan dengan telus tanpa konflik berkepentingan antara ahli Parlimen yang menyokong kerajaan dan jemaah menteri.

Secara tidak langsung, ia menunjukkan komitmen kerajaan mengiktiraf peranan pembangkang untuk bersama-sama menguruskan New Zealand ketika krisis Covid-19.

Epidemic Response Committee mebincangkan lebih 12 bidang meliputi pendidikan, kesihatan, pekerjaan, ekonomi dan hubungan masyarakat Moari.

Kesemua JPK di Parlimen New Zealand bekerjasama dalam jawatankuasa ini dalam membincangkan isu-isu berbangkit semasa Covid-19.

Sepanjang tempoh lockdown, persidangan jawatankuasa dilakukan secara maya dan turut melibatkan pandangan pakar dan pemegang taruh untuk meneliti impak dasar kerajaan New Zealand mengatasi krisis Covid-19.

Menteri dan ahli pentadbir perlu hadir ke Jawatankuasa ini untuk memberi keterangan dalam sesuatu isu.

Kesemua sesi pendengaran dan prosiding jawatankuasa disiarkan secara langsung melalui platform media sosial dan arus perdana.

Ia memberi jaminan setiap prosiding jawatankuasa diketahui orang awam dan dilakukan secara telus dan terbuka.

Epidemic Response Committee dibubarkan parlimen pada 13 Mei 2020 memandangkan situasi Covid-19 di New Zealand kian reda.

Apa yang penting, setiap laporan dikemukakan oleh jawatankuasa dibahaskan Parlimen New Zealand apabila ia kembali bersidang pada penghujung April 2020.

Model Epidemic Response Committee perlu menjadi contoh kepada struktur dan fungsi Jawatankuasa Bebas yang bakal ditubuhkan.

Sebuah model jawatankuasa dari New Zealand ini sekurang-kurangnya telah berjaya menurunkan kadar kes Covid-19 dan memulihkan asas ekonomi negara mereka dengan baik.

Fokus kepada tadbir urus dan strategi

Kini, badan eksekutif mempunyai kuasa yang begitu besar semasa darurat tanpa melalui semakan dan pertimbangan Parlimen.

Oleh sebab itu, fungsi semak dan imbang tidak boleh dipinggarkan supaya kerajaan tidak menggunakan kuasa diluar kawalan yang boleh memberi impak buruk kepada rakyat dan negara.

Saya optimis kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak mempunyai halangan untuk menambahbaik Jawatankuasa Bebas memandangkan New Zealand juga pernah menubuhkan jawatankuasa yang hampir sama ketika mereka ditahap yang kritikal dengan jayanya.

Apabila Jawatankuasa Bebas memberi fokus kepada semakan dan kritikan membina terhadap pengurusan kerajaan PN, tentunya ia memberi pandangan yang boleh menambahbaik pelan dan strategi memerangi wabak Covid-19.

Jika perancangan yang menyeluruh antara Jawatankuasa Bebas dan kerajaan mampu mengurangkan penularan Covid-19, tempoh darurat boleh ditamatkan secepat yang mungkin.

Jika kerajaan PN serius dalam membentuk perpaduan dan kerjasama, penubuhan jawatankuasa Parlimen dalam mengatasi pandemik ialah platform terbaik buat kerajaan dan pembangkang berganding bahu bagi menguruskan krisis Covid-19 demi kesejahteraan rakyat.

– Published in The Malaysian Insight on 16 January 2021.

Your Cart
SUPPORT US