refsa thumbnail resize for websitenewsletter(16)

Merawat sindrom ‘tubuh jawatankuasa khas’ dalam kerajaan 

By Fakhrurrazi Rashid

Insiden Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) memberi layanan buruk kepada Pegawai Imigresen di hadapan orang awam telah mencetuskan kemarahan rakyat. Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM) dalam satu kenyataan pada 3 Ogos lalu telah mendesak agar KPPA memohon maaf secara terbuka kerana menengking pegawai Imigresen tersebut.

Penubuhan sebuah jawatankuasa khas untuk menyiasat insiden ini, yang telah diumumkan oleh Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob beberapa hari yang lalu, hanya menimbulkan kritikan rakyat terhadap ketidakcekapan kerajaan.

Rakyat tidak melihat rasional penubuhan jawatankuasa khas yang diketuai oleh Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun menyiasat insiden KPPA dan pegawai Imigresen memandangkan kerajaan membisu dalam permasalah lebih besar seperti isu ketirisan kapal tempur pesisir pantai (LCS) yang menelan perbelanjaan hampir RM 6 bilion.

Tetapi, sikap buruk KPPA ini juga tidak boleh dipandang remeh. Kelakuan tidak profesional ini telah menjejaskan kredibiliti perkhidmatan awam di mata masyarakat. Cuma, dalam konteks ini, ‘sindrom’ kerajaan yang kerap menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyelesaikan sesuatu masalah tidak lagi dilihat sebagai suatu pendekatan yang berkesan.

Apa yang boleh buat?

Sebenarnya, dalam kes KPPA dan pegawai Imigresen ini, Ismail Sabri tidak perlu menubuhkan jawatankuasa khas yang baru. Perdana Menteri sepatutnya menyerahkan kes ini disiasat oleh Jawatankuasa Pilihan Khas (JPK) Bagi Agensi-Agensi Di Bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) di bawah Dewan Rakyat.

JPK ini boleh memanggil KPPA untuk menjelaskan tindakan tidak profesionalnya dan kemudian boleh mengeluarkan satu laporan memberi cadangan menambah baik kod etika pegawai tertinggi kerajaan dan tindakan selanjutnya dalam kes ini.

Prosiding melalui JPK ini memperlihatkan siasatan dijalankan secara bebas, lebih telus dan terbuka. Laporan hasil siasatan JPK boleh diakses oleh Ahli Parlimen dan orang awam. Berbeza dengan jawatankuasa khas di peringkat badan eksekutif yang tidak mendedahkan butiran lanjut laporan siasatan kepada rakyat.

Ironinya, Perdana Menteri masih gagal melihat fungsi JPK di peringkat Parlimen menyiasat setiap masalah yang timbul dalam pentadbiran negara. Perkara yang sama dilakukan oleh Ismail Sabri apabila meremehkan peranan JPK ini bagi menyiasat isu pemilikan saham Tan Sri Azam Baki, Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) awal tahun ini.

Penubuhan beberapa JPK di peringkat Parlimen sudah memadai untuk menyemak sesuatu permasalahan yang timbul dalam pentadbiran negara. Ia juga menjadi penawar kepada sindrom ketagihan menubuhkan jawatankuasa khas baharu setiap kali kerajaan berhadapan dengan masalah tertentu.

Insiden moral buruk KPPA bukanlah isu tunggal yang telah menjejaskan imej pentadbiran awam dalam kalangan rakyat. Minggu ini sahaja, rakyat telah disajikan dengan ketirisan dan salah guna kuasa membabitkan pemimpin politik dan pegawai tertinggi dalam beberapa keputusan dasar yang telah mencalarkan imej Malaysia.

Ombudsman dan integriti pentadbiran negara

Permasalahan ini juga menunjukkan betapa mustahaknya Malaysia perlu melaksanakan rang undang-undang (RUU) Ombudsman. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mentakrfikan Ombudsman adalah sebuah badan yang bertanggungjawab menyiasat aduan awam terhadap salah laku jentera kerajaan. Kini, terdapat 170 buah negara telah mewujudkan Ombudsman di bawah pengurusan Parlimen, termasuk New Zealand dan Indonesia.

Apakah kepentingan Ombudsman kepada urus tadbir negara? Pertama, memastikan pihak eksekutif dan pentadbiran awam membuat keputusan berlandaskan undang-undang. Kedua, mencegah salah guna kuasa, ketirisan, dan rasuah dalam jentera kerajaan berpandukan aduan rakyat. Ketiga, memastikan hak rakyat terbela daripada sebarang tekanan pihak berkuasa.

Dari segi konsepnya, Ombudsman ini bergerak secara bebas dan bertanggungjawab kepada Parlimen. Kebebasan inilah yang memberi ruang kepada Ombudsman menjalankan siasatan secara adil dan telus tanpa campur tangan pihak eksekutif. Berbeza dengan Biro Pengaduan Awam Awam (BPA) yang kini diuruskan oleh JPM, yakni Perdana Menteri.

Dalam erti kata lain, RUU Ombudsman memberi jaminan kepada rakyat bahawa masalah sekecil sikap buruk pegawai tinggi kerajaan dalam menjalankan tugas seperti insiden KPPA sehingga ketirisan dana kerajaan seperti isu LCS akan dicegah secara telus dan berpandukan undang-undang yang betul tanpa campur tangan Jemaah Menteri.

RUU Ombudsman ini sebenarnya sudah ada di atas meja Perdana Menteri mahupun Peguam Negara. Berdasarkan Laporan Kemajuan Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) 2019-2023, ia sepatutnya diluluskan oleh Parlimen pada tahun 2022.

Meskipun ramai yang skeptik dengan peranan Ombudsman, termasuk pentadbiran awam, ia merupakan langkah baik untuk mengubati integriti dan kecekapan pentadbiran negara.
Cuma, dalam keadaan Perdana Menteri yang tidak lagi berminat menyambung MoU Transformasi dan Kestabilan Politik bersama Pakatan Harapan (PH), timbul persoalan sama ada kerajaan akan membawa RUU Ombudsman di Parlimen pada tahun ini.

Menyedari hakikat baharu

Jika RUU Ombudsman ini berjaya diluluskan, sudah pasti ia boleh mencegah jentera kerajaan, pemimpin politik, dan pentadbiran awam daripada terpalit dengan masalah moral dan integriti yang lebih serius pada masa hadapan, Jika tidak, pemimpin dan jentera kerajaan akan kerap mengulangi kesilapan sama yang boleh menjejaskan maruah negara.

Pentadbiran negara kini berada dalam keadaan yang cukup getir. Sindrom kerajaan yang gemar menubuhkan berpuluh jawatankuasa khas perlu berakhir. Peranan Parlimen dalam menyemak dan meneliti pentadbiran negara harus dihormati dan diiktiraf sebagai kaedah terbaik demi membentuk sebuah kerajaan yang benar-benar berfungsi demi kepentingan rakyat.

Rakyat hari ini memerlukan kepemimpinan politik dan pentadbiran awam yang berintegriti dalam memacu masa depan Malaysia demi memperkukuh kedudukan politik dan ekonomi yang lebih baik.

-Published in The Malaysian Insight on 10 August 2022.

Your Cart
SUPPORT US