COMMENTARY

OCT 2, 2019

Menilai keberkesanan setahun penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Rakyat

By Fakhrurrazi Rashid

 

PENUBUHAN Jawatankuasa Pilihan Khas (JPK) Dewan Rakyat amat signifikan bagi mengembalikan semula kedaulatan Parlimen selepas 60 tahun Parlimen Malaysia digelar ‘rubber-stamp‘ yang dikuasai oleh badan eksekutif. Kini, terdapat enam JPK ditubuhkan oleh Dewan Rakyat yang telah menjangkau usia setahun.

Secara umumnya, JPK Dewan Rakyat berperanan untuk menyemak dasar, tadbir urus, rang undang-undang dan isu yang melibatkan sesebuah kementerian. Boleh dikatakan kedudukan JPK ini ibarat sebuah jabatan atau kementerian ‘bayangan’ untuk mengawasi sesebuah kementerian.

Ia juga merupakan sebuah badan yang menjadi ‘mata’ dan ‘tangan’ rakyat untuk memastikan kerajaan tidak melaksanakan sesuatu keputusan yang boleh menjejaskan kepentingan rakyat.

Menerusi JPK Dewan Rakyat, Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang berpeluang untuk terlibat dalam proses membuat keputusan yang selama ini didominasi oleh jemaah menteri tanpa proses yang telus dan terbuka. Ini amat berbeza dengan parlimen dahulu yang tidak menyediakan ruang untuk kedua-dua blok untuk bekerjasama di Dewan Rakyat.

Perjalanan selepas setahun

Dalam tempoh setahun, beberapa JPK telah menunjukkan komitmen untuk memainkan peranan menyemak dan mengimbangi urus tadbir dan rang undang-undang.

JPK Hak Asasi dan Kesaksamaan Gender sedang meneliti undang-undang Anti Gangguan Seksual dan Kesaksamaan Gender. Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia dikhabarkan turut membantu JPK dalam mengkaji rang undang-undang yang dicadangkan.

Penubuhan beberapa JPK turut menunjukkan Parlimen Malaysia selangkah ke hadapan, seperti JPK Bajet, yang berperanan dalam mengawal selia dan meneliti belanjawan Kerajaan Persekutuan. JPK Bajet dapat membantu meringankan beban Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara yang selama ini menjadi badan tunggal mengawasi perbelanjaan Kerajaan.

Berbeza dengan Parlimen Britain tidak mempunyai JPK Bajet dan masih bergantung kepada Public Accounts Committee yang dilihat kian terbeban untuk mengawasi urus tadbir kewangan kerajaan secara sendiri.

Meskipun terdapat perkembangan positif, tetapi perjalanan JPK ini dilihat agak perlahan dan kurang efektif dalam menyemak dan mengimbangi keputusan kerajaan.

Majoriti JPK masih belum menerbitkan laporan tentang cadangan dan hasil siasatan mereka. Laporan dan kenyataan daripada JPK amat penting dalam memberi teguran dan cadangan kepada menteri dalam membuat sesuatu keputusan.

Kini, daripada enam JPK, hanya JPK Bajet telah mengeluarkan laporan siasatan pada bulan Julai 2019 berkenaan jumlah liabiliti dan hutang Kerajaan Persekutuan. Keadaan ini jelas menunjukkan komitmen JPK Dewan Rakyat tidak substantif. Tanpa sebarang laporan siasatan, JPK boleh dianggap tidak amanah kepada Parlimen dan boleh menjejaskan kredibiliti Parlimen di mata rakyat.

Kurangnya kerjasama daripada pihak penjawat awam amat juga boleh menjejaskan keberkesanan peranan JPK. Terdapat segelintir penjawat awam yang didakwa tidak memberi kerjasama apabila dipanggil oleh JPK untuk memberi keterangan dan maklumat terhadap sesuatu isu. Ini menggambarkan kedudukan Parlimen sebagai institusi ‘kedua’ terpenting berbanding badan eksekutif.

Pandangan ini perlu diubah kerana Parlimen merupakan institusi yang sama kuasanya dengan badan eksekutif. Kerjasama penjawat awam juga merupakan sebahagian daripada tugas menteri untuk bertanggungjawab kepada Parlimen berdasarkan Perkara 43 (3), Perlembagaan Persekutuan.

Dari segi representasi, penyertaan Ahli Parlimen wanita amat kurang berbanding lelaki. Hanya 9 orang wakil rakyat wanita daripada 41 orang wakil terlibat antara enam jawatankuasa pilihan yang ditubuhkan. Dua daripada enam jawatankuasa dipengerusikan oleh wakil rakyat wanita. Ia membuktikan penyertaan wakil rakyat wanita masih terhad dalam proses membuat keputusan di Parlimen. 

JPK yang bebas, bukan ‘penasihat’ eksekutif

JPK telah menjadikan institusi Parlimen berfungsi dengan lebih berkesan. Amat penting bagi rakyat dan pemimpin melihat institusi ini mampu mendukung harapan rakyat untuk masa hadapan dan diletakkan setaraf dengan peranan jemaah menteri. Persoalannya kini, sejauh manakah sistem JPK ini dihargai oleh Ahli Parlimen itu sendiri?

Budaya politik Ahli Parlimen yang hanya berminat untuk menjadi sebahagian daripada badan eksekutif, boleh menjadi faktor mereka tidak berminat menjadi sebahagian daripada ahli JPK. Pemikiran seperti ini boleh mengurangkan kepentingan JPK yang juga badan semak dan imbang di bawah institusi Parlimen.

Amat penting juga bagi JPK ini bebas daripada pengaruh badan eksekutif. Pengaruh penjawat awam yang menjadi sebahagian JPK menunjukkan jawatankuasa ini tidak mempunyai ‘taring’ dalam menyiasat menteri. Perkara ini seperti yang berlaku dalam JPK Bajet, apabila penjawat awam dari kementerian duduk dalam JPK Bajet untuk memberi pandangan. Keadaan ini bertentangan dengan prinsip kebebasan JPK daripada pengaruh badan eksekutif.

Maka, Parlimen mempunyai tanggungjawab membenarkan JPK memanggil pakar-pakar lain seperti ahli ekonomi, akademik dan badan pemikir untuk memberi pandangan dalam menyiasat sesuatu isu. Kuasa untuk memanggil menteri untuk memberi keterangan ke JPK juga perlu diberikan demi menambah baik keberkesanan siasatan.

Jika kita benar-benar ingin melihat badan eksekutif yang telus dan terbuka, amat penting bagi Parlimen memperkukuhkan JPK sebagai badan semak dan imbang dengan kuasa dan peranan yang jelas. Jika tidak, maka ia hanya berdiri sebagai institusi yang berstatus ‘penasihat’ kepada badan eksekutif dan hiasan buat demokrasi berparlimen Malaysia.

— ASTRO AWANI

Your Cart
SUPPORT US