Menara

Mengapa Parlimen perlu bahas isu Palestin?

By Fakhrurrazi Rashid

Kerajaan Malaysia melalui kenyataan rasmi Perdana Menteri Muhyiddin Yassin telah memberi sokongan untuk mempertahankan keadilan buat Palestin dan bersetuju menyelesaikan konflik ini melalui ‘Penyelesaian Dua Negara’.

Tetapi, ada yang berpendapat pendirian kerajaan Malaysia tidak kukuh dan mengkritik kelewatan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam membuat pendirian tegas.

Jadi, apakah pendekatan yang lebih baik untuk memastikan pendirian Malaysia dalam membela nasib rakyat Palestin kukuh dan bersatu di peringkat antarabngsa?

Parlimen merupakan institusi yang dapat menyatukan seluruh pemimpin negara untuk mengecam kekejaman Israel terhadap Palestin.

Perbahasan di parlimen akan memberi mesej yang jelas kepada warga dunia bahawa Malaysia tetap teguh dan bersolidariti bersama Palestin tanpa mengira perbezaan parti politik.

Malah, dalam satu kenyataan media, Ahli Dewan Negara, Liew Chin Tong menegaskan parlimen Malaysia sentiasa mencapai kata sepakat mengutuk serangan Israel setiap kali penindasan berlaku ke atas Palestin.

Jadi, pembukaan parlimen atau persidangan parlimen khas Palestin merupakan satu resolusi terbaik untuk kerajaan Malaysia memperkukuh pendirian mengutuk serangan Israel terhadap Palestin.

Untuk rekod, ketika pentadbiran Abdullah Badawi, kerajaan telah memanggil sidang parlimen khas pada 12 Januari 2009 bagi membahaskan usul 10 ketetapan bagi menghentikan kekejaman Israel ke atas rakyat Palestin.

Usul ini turut dibahaskan Ketua Pembangkang dan wakil bagi setiap parti politik. Kesemua ahli parlimen mendukung 10 ketetapan yang dicadangkan Perdana Menteri waktu itu.

Persidangan parlimen khas ketika itu dihadiri Duta Besar Luar Negara di Malaysia bagi mengikuti perbahasan di parlimen dalam membela rakyat Palestin.

Justeru, perbahasan isu Palestin di parlimen lebih mendapat perhatian daripada pemimpin dan masyarakat antabangsa berbanding kenyataan tunggal daripada perdana menteri.

Saya berpendapat amat wajar sekiranya Muhyiddin Yassin mempertimbangkan untuk membuka persidangan parlimen atau memanggil sidang parlimen khas agar ahli parlimen dapat membahas isu Palestin.

Malah, kerajaan PN boleh sahaja membincangkan resolusi dan tindakan tegas yang boleh diambil oleh Malaysia bersama ahli parlimen untuk menamatkan konflik di Palestin.

‘Diplomasi Parlimen’ cara yang berkesan

Situasi hari ini juga penting untuk parlimen Malaysia memainkan peranan sebagai Diplomasi Parlimen atau Parliamentary Diplomacy dalam mempengaruhi dan menetapkan pendirian dalam isu antarabangsa.

Konsep ini memberi ruang kepada ahli parlimen terlibat dalam proses menggubal dasar luar negara, menyemak dan mengimbangi isu-isu antarabngsa dengan melakukan hubungan diplomasi atau kerjasama dengan parlimen negara lain

Dalam usaha membela rakyat Palestin, ahli parlimen Malaysia boleh membuat pendirian bersama dengan parlimen negara lain atau pertubuhan antarabngsa untuk menghentikan kekejaman rejim Israel.

Perkara ini telah dilakukan oleh ahli parlimen pembangkang Malaysia dalam satu kenyataan mendesak Kesatuan Antara Parlimen atau Inter-Parliamentary Union (IPU) yang dianggotai 179 parlimen di seluruh dunia (termasuk parlimen Israel dan Palestin) untuk mengutuk kekejaman Israel dan segera melindungi nyawa rakyat Palestin yang tidak bersalah.

Parlimen Malaysia boleh membuat kerjasama dengan kesatuan parlimen lain seperti Commonwealth Parliamentary Association (CPA) dan Asean Inter-Parliamentary Assembly (AIPA) bagi memperluaskan kesedaran ahli parlimen di peringkat antarabangsa untuk menghentikan kekejaman Israel.

Pendekatan ini dapat menguatkan lagi kempen kesedaran untuk menghentikan konflik di Palestin. Secara tidak langsung, diplomasi parlimen juga akan memberi tekanan buat badan eksekutif, sama ada di dalam atau luar negara, untuk mengambil tindakan  efektif dalam isu Palestin di peringkat antarabngsa.

Meskipun istilah diplomasi parlimen ini dilihat terasing daripada kefahaman rakyat Malaysia mengenai institusi parlimen, namun ia ada satu kaedah yang berkesan untuk menarik perhatian negara lain dalam menyelesaikan isu kemanusian dan antarabangsa.

Tetapi, diplomasi parlimen ini masih meletakkan kepentingan badan eksekutif dalam menjadi wakil rasmi negara dalam menyatakan pendirian dalam sesuatu isu antarabangsa.

Soal rakyat Malaysia dan Palestin sama penting

Secara ringkasnya, perbahasan isu Palestin di parlimen akan mencetuskan kesedaran dan rasa solidariti untuk mempertahankan mereka yang ditindas Israel, sama ada di peringkat domestik mahupun antarabangsa.

Jika parlimen negara lain turut membahaskan isu ini, tidak ada salahnya parlimen Malaysia mengikut langkah yang sama.

Apabila parlimen bersidang, ia juga peluang terbaik buat pihak kerajaan dan pembangkang meneliti dasar ekonomi dan keperluan rakyat yang masih ‘berperang’ dengan Covid-19.

Keadaan pandemik yang tidak menentu boleh melumpuhkan ekonomi dan menjejaskan kesejahteraan hidup rakyat.

Membincangkan isu rakyat tempatan adalah sama penting dengan solidariti dengan Palestin di mana ia memerlukan kerjasama dwipartisan antara badan eksekutif dan perundangan bagi memastikan masalah ini ditangani bersama tanpa meminggirkan mana-mana pihak.

Parlimen harus dipandang sebagai institusi yang melengkapi proses dasar kerajaan dalam pelbagai aspek, tidak kira sama di peringkat tempatan atau antarabangsa.

Dalam erti kata lain, parlimen ini adalah institusi tertinggi untuk membincangkan isu-isu kemanusian demi mencapai kehidupan yang lebih baik buat semua manusia.

Ia bukanlah sebuah institusi yang hanya bergantung kepada kemegahan bangunanya semata-mata, tetapi sejauh mana parlimen mampu mendakap dan membahaskan permasalahan ekonomi dan politik di semua peringkat demi memastikan kehidupan masyarakat terbela.

Persidangan parlimen pada waktu kritikal ini begitu bermakna buat Malaysia. Cuma, sejauh manakah kerajaan hari ini mampu melihat peranan parlimen seperti yang dimahukan oleh rakyat?.

-Published in The Malaysian Insight on 21 May 2021.

 

 

Your Cart
SUPPORT US