Mengapa kita perlu hadkan tempoh PM?

By Fakhrurrazi Rashid

Selepas Umno menarik sokongan terhadap kepimpinan Mahiaddin Yasin dengan menyenaraikan tujuh kegagalan kerajaan Perikatan Nasional (PN), persoalan pertama yang berlegar dalam kalangan orang politik adalah ‘siapa yang akan jadi Perdana Menteri menggantikan Mahiaddin?’.

Itulah politik Malaysia, sejauh mana politik bergolak, jalan penyelesaiannya hanyalah melantik perdana menteri (PM). Kuasa PM yang begitu besar di Malaysia menjadi faktor perebutan sebahagian ahli-ahli politik walaupun rakyat berdepan pandemik.

Namun, perspektif rakyat sudah berubah. Pandemik menyedarkan mereka implikasi buruk pemusatan kuasa PM yang digunakan untuk menekan lawan dan mendiamkan rakyat.

Institusi Parlimen terus dipinggirkan sebagai arena membahas isu rakyat dan sikap PM ‘serba tahu’ telah mencipta dasar negara yang lemah bagi mendepani Covid-19 sehingga digelar #KerajaanGagal.

Jika kuasa PM ini tidak dihadkan atau disemak sekarang, maka ia akan memberi kesan negatif kepada politik negara, khususnya jika polemik merebut jawatan PM ini masih berlarutan dalam pasca pandemik dan fasa pemuliah negara.

Kini, kita perlukan perspektif baru bagi memastikan PM benar-benar efektif dan bertanggungjawab negara. Maka, idea menghadkan tempoh had dan kuasa PM perlu dikaji dan dilihat dari sudut yang lebih luas, khususnya dalam membaik pulih politik Malaysia yang kian cacamarba ini.

Kepentingan had kepada dua penggal

Pada tahun 2019, kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) meminda Perkara 43(2) Perlembagaan Persekutuan dengan menambah klausa “(iii) yang tidak pernah pada bila-bila masa memegang jawatan Perdana Menteri bagi tempoh dua penggal Parlimen”.

Tempoh had ini adalah jalan penyelesaian untuk mengatasi persaingan politik yang tidak sihat merebut jawatan PM dan salah guna kuasa sejak dua dekad yang lalu. Namun, RUU ini telah ditarik balik oleh kerajaan PN pada bulan Ogos 2020 tanpa sebarang penjelasan yang munasabah.

Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) telah mengangkat pendekatan ini sebagai strategi mereformasi tadbir urus negara.

Tempoh PM tanpa had yang diamalkan Malaysia sebelum ini telah mewujudkan pemusatan kuasa berlebihan kepada PM sehingga mengakibatkan kesan negatif kepada negara dan defisit kepercayaan rakyat.

Pendekatan dasar ini juga bertujuan untuk membendung kemungkinan berlakunya sebarang salah guna kuasa dan rasuah akibat pemusatan kuasa berlebih kepada PM yang memegang jawatan begitu lama dalam pentadbiran.

Tempoh dua penggal ini juga akan memberi tekanan kepada PM untuk memberi tumpuan dan fokus kepada pelaksanaan dasar-dasar negara yang boleh melaksanakan sekurang-kurangnya dua kali RMK dalam 10 tahun pentadbiran. Ini akan menjadi faktor melahirkan PM yang efektif dalam melaksana dasar yang bermanfaat untuk rakyat.

Dari sudut politik, ia juga membuka ruang kepada pimpinan baharu menerajui negara, khususnya anak muda dan wanita, yang berpotensi mengemudi negara pada masa akan datang.

Lebih penting lagi, pendekatan ini dapat mengurangkan persaingan perebutan jawatan PM yang masih lagi membarah dalam politik negara, khususnya dalam fasa pemulihan pasca pandemik di Malaysia.

Luaskan kuasa Parlimen

Ada segelintir pihak yang tidak bersetuju dengan cadangan ini kerana negara seperti United Kingdom (UK), yang mempunyai sistem Parlimen yang sama, tidak meletakkan had tempoh bagi PM.

Cuma, kita perlu sedar bahawa Parlimen UK mempunyai kuasa yang sama penting dengan badan eksekutif untuk menyemak tadbir urus PM.

PM di UK perlu hadir ke Parlimen, khususnya hari Rabu, bagi menjawab pertanyaan spontan daripada Ketua Pembangkang. Parlimen berjalan seperti biasa ketika pandemik dan menteri perlu hadir ke Parlimen menjawab pertanyaan wakil rakyat.

Sistem yang seimbang ini menyebabkan perebutan jawatan PM diuruskan dengan demokratik dan berintegriti di UK. Di sana, perebutan jawatan PM dengan muka-muka lama dan elit tidaklah teruk berbanding Malaysia.

Berbeza pula dengan PM di Malaysia yang jarang-jarang hadir ke persidangan Parlimen untuk menjawab pertanyaan wakil rakyat. Parlimen pula ditutup ketika pandemik dan PM menjalankan kuasa mengikut budi bicaranya tanpa semakan ahli Parlimen.

Sebab itu, usaha menghadkan tempoh PM ini akan menjadi ‘game changer’ kepada politik negara dan perlu disokong oleh semua ahli politik. Ia juga dapat memastikan PM bertanggungjawab dan memberi tumpuan kepada usaha membantu rakyat pasca pandemik berbanding membina kuasa, pengaruh, dan kekayaan.

Selain menghadkan tempoh PM, saiz dan peruntukan kepada Jabatan Perdana Menteri (JPM) perlu dikecilkan agar ia tidak memberi kuasa yang melampau kepada PM. Peruntukan JPM yang besar boleh diberikan kepada kementerian-kementerian yang lain bagi memperkukuh kerja-kerja dasar dan program yang lebih meluas kepada rakyat.

Institusi parlimen perlu diperkasakan bagi mengimbangi kuasa eksekutif dan tidak boleh dilihat seperti sebuah ‘jabatan’ di bawah JPM, Ia perlu bebas daripada cengkaman PM.

Jawatan Menteri Undang-Undang yang menjaga parlimen perlu dihapuskan dan Parlimen perlu diberi hak mentadbir secara sendiri dibawah Speaker Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Sebab itu, RUU Suruhanjaya Perkhidmatan Parlimen perlu diperkenalkan bagi membolehkan Parlimen menguruskan hal ehwal mereka secara bebas tanpa campur tangan eksekutif.

Peruntukan parlimen perlu ditambah, fungsi jawatankuasa pilihan khas perlu diperkasa, dan ahli Parlimen diberikan lebih banyak masa di dalam Parlimen untuk menyemak ketulusan PM dan kabinetnya.

Menghadkan tempoh PM adalah langkah pertama untuk mengelak pemusatan kuasa kepada satu sosok yang boleh menyalahgunakan kuasa. Rakyat tentunya mahukan PM yang bertungkus- lumus untuk melaksanakan dasar-dasar yang menguntungkan rakyat.

Jika perkara ini tidak berubah, maka kestabilan politik negara dan ekonomi akan lebih terjejas apabila PM terus menggunakan kuasanya untuk kepentingan politik dan pengaruhnya.

 

-Published in The Malaysian Insight on 13 July 2021.

 

 

Your Cart
SUPPORT US