refsa thumbnail resize for websitenewsletter(31)

Mengapa DUN Johor perlukan jawatankuasa pilihan khas kaji enakmen antilompat parti?

By Fakhrurrazi Rashid

PENOLAKAN Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor bagi menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas (JPK) bagi meneliti Enakmen Antilompat Parti oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Skudai, Marina Ibrahim pada 22 September mencetuskan perbincangan awam.

Seramai 37 orang Adun Barisan Nasional (BN) menolak, 13 orang Adun Pakatan Harapan (PH) dan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) menyokong usul ini. Ironinya, Adun Perikatan Nasional (PN) tidak mengundi usul ini.

Orang awam mula mempersoalkan apakah rasional BN Johor menolak cadangan ini? Apakah penubuhan JPK mengkaji enakmen, seperti yang dicadangkan PH dan Muda, satu perkara remeh dan tidak penting untuk DUN Johor?

Pihak BN Johor menyatakan penubuhan JPK ini tidak diperlukan kerana keutamaan diberikan kepada prosedurnya terlebih dahulu, iaitu penetapan tarikh pelaksaan seksyen 6 Akta Pindaan Perlembagaan (No.3) 2022 (Akta A1663) oleh Yang di-Pertuan Agong dengan persetujuan Raja atau Yang Di-Pertuan Negeri masing-masing. Dalam erti kata lain, BN Johor bersifat tunggu dan lihat.

Pembangkang pula berhujah penubuhan JPK pada peringkat awal penting untuk memberi ruang kepada pakar, persatuan masyarakat, Adun kerajaan dan pembangkang membincangkan enakmen dan konsep anti lompat parti secara terperinci bersama kerajaan negeri Johor. Tindakan PH ini lebih ke arah sediakan payung sebelum hujan.

Ini kerana Akta tersebut tidak memaksa mana-mana negeri untuk mengikut konsep di peringkat Persekutuan.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Akta ini memberi kebebasan kepada negeri untuk menentukan konsep enakmen menghalang wakil rakyat lompat parti sendiri.

Jadi, dalam konteks DUN Johor, mana yang lebih baik – sikap tunggu dan lihat atau sediakan payung sebelum hujan?

Iktibar kelemahan peringkat Persekutuan

Sebenarnya, kerajaan BN Johor berpeluang menjadi teladan kepada negeri-negeri lain dengan menubuhkan JPK dalam meneliti Enakmen Anti Lompat Parti secara dwipartisan. Malangnya, kesanggupan politik BN Johor tidaklah sebesar majoriti yang mereka ada untuk melaksanakan reformasi politik seperti yang dijanjikan dalam pilihan raya negeri (PRN) Johor ke-15.

Dalam sistem demokrasi berparlimen yang sihat dan berfungsi, JPK merupakan badan yang memperkukuh proses semak dan imbang Parlimen. Peranan utama JPK adalah untuk memastikan tidak berlaku sebarang kesalahan, kelemahan, dan pelanggaran hak bagi setiap dasar, rang undang-undang (RUU), dan keputusan yang boleh menjejaskan kehidupan rakyat atau sesebuah negeri.

Dari segi teorinya, lebih awal JPK ditubuhkan, lebih awal juga wakil rakyat dan badan eksekutif dapat membetulkan sesuatu keputusan atau RUU yang lemah sebelum ia diluluskan. Perkara ini yang tidak dinilai secara bijak oleh kerajaan BN Johor.

Kerajaan negeri Johor sepatutnya mengambil iktibar daripada proses Akta Pindaan Perlembagaan (No.3) 2022 (Akta A1663) yang menghalang Ahli Parlimen bertukar parti. Pada awal pindaan ini dibentangkan dalam Dewan Rakyat, ia mendapat kritikan daripada Ahli Parlimen.

Antara kritikan tersebut mengenai klausa Perkara 10(3)(a) yang memberi kuasa besar kepada kerajaan untuk melucutkan kelayakan Ahli Parlimen yang bertukar parti.  Klausa ini boleh disalahgunakan oleh pihak kerajaan untuk kepentingan politik tertentu.

Dewan Rakyat kemudian membuat keputusan untuk menubuhkan JPK bagi meneliti kelemahan ini pada 11 April 2022. JPK tersebut dianggotai oleh Ahli Parlimen pelbagai parti dan wakil pihak kerajaan yang berperanan dalam meneliti kelemahan Akta tersebut sebelum dibahaskan semula di Dewan Rakyat.

Setelah tiga bulan lebih JPK mengkaji dan meneliti kelemahan Akta tersebut, Dewan Rakyat telah membahas dan meluluskan pindaan tersebut sebulat suara pada 28 Julai 2022.  Kemudian pada 9 Ogos, Dewan Negara pula meluluskannya.

Bayangkan sahaja, sekiranya klausa 10(3)(a) itu diluluskan Parlimen tanpa semakan Ahli Parlimen dan JPK, semestinya ia mendatangkan kesan buruk buat rakyat dan sistem demokrasi negara. Justeru, apa jaminan kerajaan negeri Johor tidak mengulangi kecuaian yang sama?

Hati-hati majoriti dua pertiga

Dengan penguasaan majoriti dua pertiga, timbul kebimbangan apabila BN Johor boleh menggunakan kuasanya untuk meluluskan Enakmen Anti Lompat Parti tanpa memberi ruang kepada Adun pembangkang untuk menelitinya secara menyeluruh. Sekiranya perkara ini berlaku, sistem demokrasi dan pentadbiran Johor akan terjejas.

Bibit-bibit ini sudah berlaku di dalam DUN Johor apabila terdapat Adun BN mendakwa kajian terhadap pelaksanaan Enakmen Antilompat Parti di peringkat negeri Johor adalah membuang masa kerana pindaan Perlembagaan di peringkat pusat sudah cukup lengkap.

Pendirian ini bercanggah dengan dasar muafakat kerajaan negeri Johor. Dari sudut yang berbeza, ia menunjukkan Adun tersebut seolah-olah meminggirkan kebijaksanaan Adun Johor yang telah dipilih secara sah oleh rakyat.

Hakikatnya, BN Johor perlu sedar bahawa era kerajaan serba tahu sudah berakhir. Kerajaan negeri Johor tidak sepatutnya meminggirkan cadangan atau kerjasama dengan pembangkang dalam meletakkan kepentingan Bangsa Johor.

Penubuhan JPK ini mempunyai matlamat yang jelas dan tulen. Ia memberi peluang kepada Adun dan kerajaan negeri menentukan konsep Enakmen Anti Lompat Parti berasaskan ‘Cara Johor’ yang selari dengan kepentingan rakyat dan nilai-nilai demokrasi yang telus dan berfungsi.

Sekiranya kerajaan negeri Johor komited menubuhkan JPK sebagai langkah awal bagi mengkaji Enakmen Anti Lompat Parti di peringkat DUN Johor, sudah pasti ia akan mengukuhkan kepercayaan rakyat terhadap institusi demokrasi negeri.

Jika tidak, sistem demokrasi Johor gagal menangkis masalah lompat parti dan percaturan politik yang merugikan Bangsa Johor pada masa hadapan.

Jika JPK dapat ditubuhkan dalam masa terdekat, ia sekurang-kurangnya dapat mempercepatkan proses penelitian enakmen dan melancarkan perjalanan meluluskannya di peringkat di DUN Johor semasa sesi Belanjawan 2023 nanti, iaitu belanjawan pertama yang dibentangkan oleh Menteri Besar Onn Hafiz Ghazi.

Soalnya, sejauh manakah kerajaan negeri  Johor komited melaksanakan Enakmen Anti Lompat Parti  sebelum pilihan raya umum ke-15?

-Published in The Malaysian Insight on 26 September 2022.

Your Cart
SUPPORT US