JUE_9827

Memikirkan semula prinsip integriti pasca Covid-19

By Fakhrurrazi Rashid

Transparency International Malaysia mengeluarkan laporan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) bagi 2020. Kedudukan Malaysia jatuh enam anak tangga, dari tangga ke-51 pada 2019 ke kedudukan ke-57 pada 2020 daripada 180 negara.

Laporan CPI tersebut ialah kad laporan prestasi tadbir urus kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang kurang memuaskan  setelah hampir setahun di Putrajaya. Amalan tadbir urus yang tidak jujur kerajaan PN merencatkan usaha melawan rasuah yang semakin membarah di Malaysia.

Usaha kerajaan sekarang melaksanakan 115 inisiatif dalam Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) 2019 – 2023 agak perlahan. Berdasarkan jawapan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) Shahbudin Yahya di Dewan Negara pada 18 Disember yang lalu menyatakan hanya 29 daripada 115 inisiatif NACP berjaya dilaksanakan setakat 31 Mei, 2020.

Perkembangan ini amat mengecewakan memandangkan pelaksanaan inisiatif di bawah 40% meskipun sudah hampir dua tahun NACP dilaksanakan.

Persoalannya, sejauh manakah jenayah rasuah dapat dibendung ketika negara berhadapan dengan Covid-19? Adakah isu integriti dan memerangi rasuah masih mendapat perhatian orang awam ketika krisis pandemik dan politik yang kian serius?

Pandemik menguji integriti kerajaan

Pandemik menguji daya tahan tadbir urus negara yang selama ini dianggap kukuh dan cekap mengatasi krisis. Malangnya, seawal pandemik berlaku, Kerajaan  PN lebih selesa dengan pentadbiran yang tidak telus dalam mengharungi Covid-19.

Garis panduan lama digunakan kerajaan PN di tengah-tengah pandemik membuka kelompongan dan ruang kepada pihak tidak bertanggungjawab melakukan ketirisan dan salah guna kuasa, khususnya melibatkan dana kerajaan untuk membantu ekonomi rakyat.

Contohnya, pada 18 November, 2020 menteri sumber manusia menyatakan berlaku salah guna dan tuntutan palsu dana Program Subsidi Upah (PSU) membabitkan jumlah sekurang-kurangnya RM20 juta.

Bantuan yang sepatutnya menambah gaji pekerja untuk kekal bertahan ketika pandemik disalah gunakan oleh majikan demi mengaut keuntungan di tengah-tengah kesempitan rakyat.

Perbuatan ini memperjudikan nasib pekerja dan keluarga mereka yang kian terbeban akibat Covid-19.

Merujuk kepada NACP, amalan mengeluarkan surat sokongan daripada ahli pentadbiran kerajaan dan individu berpengaruh untuk mendapatkan sesuatu projek merupakan satu amalan tidak berintegriti.

Justeru, usaha membasmi amalan ini terkandung sebagai salah satu inisiatif NACP untuk mengembalikan integriti politik di Malaysia.

Tetapi, ahli pentadbiran kerajaan PN terus menunjukkan kelemahan tadbir urus selepas mengembalikan semula amalan surat sokongan untuk meraih sokongan politik dan kepentingan peribadi.

Pada mulanya, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menawarkan surat sokongan kepada ahli partinya sebagai balas budi untuk mendapatkan undi bagi memenangi jawatan ketua Pemuda Bersatu.

Namun, dia mendakwa tawaran surat sokongan ini adalah untuk menolong para belia, khususnya di luar bandar mendapatkan bantuan kerajaan.

Seterusnya, tular di media sosial sepucuk surat sokongan yang diminta oleh Timbalan Menteri Pertahanan  Ikmal Hisham daripada menteri pertahanan bagi anaknya dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Pharmaniaga.

Malangnya, kerajaan PN tidak bertindak tegas dalam menangani kedua-dua isu ini. Ia sekali gus meminggirkan inisiatif NACP untuk menghapuskan amalan surat sokongan yang menjadi faktor utama berlakunya amalan kronisme dan rasuah dalam kalangan ahli poltik.

Apa selepas pandemik?

Tidak rasional sekiranya kerajaan hanya menumpukan komitmen memulihkan krisis kesihatan dan ekonomi ketika pandemik tetapi membiarkan masalah ketirisan dan rasuah berlaku. Sedangkan isu rasuah, ketirisan dan salah guna kuasa mempunyai impak yang lebih buruk, mencipta sistem pengagihan manfaat dan peluang ekonomi yang tidak seimbang dan melebarkan jurang kaya dan miskin.

Justeru, pelaksanaan NACP perlu diteruskan dengan pendekatan baharu yang lebih realistik, agresif dan konsisten daripada pihak kerajaan pasca Covid-19.

Dalam konteks ini, wajar sekiranya agenda meningkatkan integriti institusi awam menjadi tema utama Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12), sebagai teras utama membangunkan asas negara Malaysia yang lebih baik, selaras dengan perancangan kerajaan membina ekonomi dan kesihatan rakyat yang mampan pasca Covid-19.

Pendekatan menyeluruh kerajaan perlu digunakan bagi menyatukan pelbagai sektor, badan masyarakat sivil, pakar, dan parti politik merangka agenda anti rasuah yang pragmatik. Kaedah ini lebih realistik dan stabil jika dibandingkan agenda anti rasuah yang hanya menekankan perspektif parti pemerintah saja.

Kejayaan melawan rasuah bukan sekadar soal meningkatkan jumlah tangkapan dan dakwaan kepada penerima atau pemberi rasuah setiap tahun sahaja. Matlamat yang lebih besar adalah membina institusi negara, sistem ekonomi dan politik yang berintegriti dan berdaya tahan pasca pandemik Covid-19.

Jika kerajaan komited melaksanakan perubahan meningkatkan integriti pentadbiran dengan tuntaz dari sekarang, ia akan mencipta persekitaran ekonomi dan politik yang memberi manfaat kepada kesejahteraan rakyat pada hari ini atau generasi akan datang.

Sekiranya penambahbaikan institusi tidak dilaksanakan, maka negara akan terus dilanda krisis kelemahan tadbir urus pasca Covid-19 yang akan meranpkan sistem ekonomi dan politik Malaysia yang semakin tenat ketika pandemik. – 1 Februari, 2021.

– Published in The Malaysian Insight on 1 February 2021.