46-67360564

Memikirkan semula GLC/GLIC di era kapitalisme pemegang taruh

Oleh Liew Chin Tong, Pengerusi REFSA

[For English version please click here]

Ada tiga persoalan asasi yang perlu kita pertimbangkan dalam hal syarikat berkait kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkait kerajaan (GLIC).

Pertama, perlukah kerajaan masuk campur dalam ekonomi?

Kedua, perlukah GLC/GLIC, yang pada dasarnya merupakan ejen kerajaan Malaysia, bertindak seolah-olah mereka adalah pihak swasta?

Ketiga, apakah matlamat GLC/GLIC dalam era baharu kapitalisme pemegang taruh?

Perbahasan kapitalisme pemegang taruh dan prinsip pelaburan lestari dengan memakai nama ESG (Environmental, Societal and Governance) harus cepat-cepat diserap ke dalam kamus GLC dan GLIC Malaysia.

 

Pertama, perlukah kerajaan terlibat dalam ekonomi?

Ada satu aliran pemikiran yang menyatakan bahawa kerajaan harus menjauhkan diri daripada terlibat dalam ekonomi seboleh mungkin dan tidak mengganggu pasaran bebas. Daripada perspektif ini, GLC/GLIC sama sekali tidak berperanan dalam ekonomi, yang semestinya didorong oleh pihak swasta. Secara lebih khusus, suatu hujah yang sering diutarakan adalah bahawa pelaburan awam dari pihak kerajaan menyesakkan modal swasta.

Namun, berasaskan pengalaman dunia baru-baru ini, terutamanya ketika wabak Covid-19, jelas bahawa kerajaan memainkan peranan utama dalam ekonomi. Kerajaan adalah pengawalselia, yang tanpanya kita tidak akan tahu vaksin mana yang selamat. Lebih ketara lagi, kerajaan lah yang memutuskan pada hari yang mana ekonomi akan ditutup dan pada hari mana ia dibuka semula.

Kerajaan sering juga menjadi pengguna barang dan perkhidmatan terbesar dalam kebanyakan masyarakat, dan penyelamat (insurer) terakhir. Seperti yang telah kita lihat akhir-akhir ini, ketika krisis melanda, kerajaan lah yang diminta untuk menyelamatkan bank, perniagaan dan pekerja.

Pada sudut pandang yang lebih positif, negara juga sering menjadi pemodal ‘angel investor’ yang penting. Tanpa dana negara, teknologi seperti internet, GPS, pembantu suara pintar seperti Siri atau penyelidikan perubatan yang menyediakan asas untuk vaksin yang kita perlukan tidak akan wujud. Pelabur swasta kurang cenderung untuk melabur dalam inovasi jangka panjang dan R&D asas, yang mempunyai risiko kegagalan yang tinggi. Namun, apabila pelaburan-pelaburan ini berjaya, mereka membawa banyak faedah kepada orang ramai.

Oleh itu, setelah semua perkara dipertimbangkan, perlukah negara terlibat dalam ekonomi? Jawapannya adalah ya.

Empat puluh tahun yang lalu, Ronald Reagan dalam ucapan sulungnya menyatakan bahawa “kerajaan bukanlah penyelesaian untuk masalah kita; kerajaan adalah masalahnya.” Hari ini, negara-negara sedang mencari negara-negara yang mempunyai kesedaran dan empati untuk menghadapi cabaran besar yang ditimbulkan oleh wabak Covid-19. Dunia sedang mengucap selamat tinggal kepada pandangan dunia Reagan/Thatcher.

Setakat ini, saya harap kita dapat menghentikan pemikiran karut bahawa negara tidak berperanan dalam ekonomi, dan beralih membahaskan persoalan bagaimana negara harus terlibat demi manfaat maksimum kepada masyarakat.

 

Kedua, haruskah GLC/GLIC, sebagai ejen kerajaan Malaysia, bertindak seolah-olah mereka adalah pihak swasta?

Kita mesti jujur ​​mengenai keadaan syarikat milik negara, badan berkanun, dan GLC serta GLIC di Malaysia. Sudah tiba masanya untuk melakukan suatu pertimbangan semula secara besar-besaran.

Sebagai contoh, perniagaan apa yang paling lazim dilakukan oleh GLC? Sekiranya kita tidak mengambil kira Petronas, jawapannya adalah pembangunan hartanah atau minyak sawit atau kedua-duanya, diikuti dengan perbankan dan penjagaan kesihatan swasta. Semua ini merupakan sektor mapan dan maju yang tidak mempunyai masalah untuk menarik modal swasta.

Itu tidak bermakna GLC tidak boleh terlibat dalam sektor-sektor ini. Tetapi peluang yang begitu besar dilepaskan apabila mereka mengupah buruh asing murah demi memaksimumkan keuntungan, dan kemudian mengubah sebahagian hartanah mereka menjadi kawasan perumahan untuk dijual kepada orang ramai. Sama juga halnya dengan GLC yang meneruskan sistem penjagaan kesihatan dua peringkat, di mana kita melihat hospital kerajaan mempunyai 30 peratus doktor untuk 70 peratus pesakit, sementara hospital swasta mempunyai 70 peratus doktor untuk 30 peratus pesakit.

Sebaliknya, GLC harus menjadi peneraju dalam mengembangkan proses pengeluaran baharu dan model perniagaan baharu. Mereka harus menyelidik dan mencari proses pengeluaran minyak sawit yang lebih cekap, meningkatkan rantaian nilai dan mengembangkan tanaman baharu yang dapat menggantikan sawit. Mereka seharusnya mencari cara untuk menyediakan penjagaan kesihatan tercanggih kepada semua orang, dan bukannya membina lebih banyak hospital swasta untuk segelintir sahaja. Dan dalam proses tersebut, mereka harus sentiasa berusaha untuk mewujudkan pekerjaan yang baik untuk rakyat Malaysia. Sebagai ejen kerajaan, GLC harus mengejar bukan sahaja objektif memaksimumkan keuntungan, tetapi juga objektif yang lebih luas untuk kebaikan awam, yang bertujuan untuk menangani cabaran besar masyarakat kita hari ini.

Satu contoh lain di mana ini juga terpakai ialah pasaran hartanah. GLC dan GLIC juga banyak terlibat dalam pasaran hartanah, baik secara langsung (bertindak sebagai pemaju hartanah) dan sebagai pemegang saham. Di sini juga, sudah tiba masanya GLC dan GLIC memikirkan semula peranan mereka dan menjauhkan diri daripada menjadi penyumbang utama peluasan bandar, melalui model “kawasan ladang ke kawasan perumahan”. Sebaliknya, mereka harus meletakkan diri sebagai peneraju yang menyokong kepulangan rakyat Malaysia ke perumahan lestari di bandar-bandar pinggiran, termasuk menyokong model perumahan sewa; bahkan GLIC  terjebak dengan pelaburan besar dalam lebuhraya bertol yang sukar mereka tinggalkan.

Dengan beberapa projek besar yang muncul di tengah bandar Kuala Lumpur – TRX 106, PNB 118, Bukit Bintang City Centre, Bandar Malaysia, dan mungkin pembangunan semula Kampung Baru; para pembuat dasar, GLC dan GLIC, serta pemimpin di sektor swasta, mesti memikirkan semula model ekonomi dan mencari model yang sesuai dengan Kuala Lumpur baharu dan seterusnya.

Kita mungkin perlu mempertimbangkan untuk membina perumahan sewa untuk populasi pekerja kelas menengah. Unit perumahan ini membolehkan mereka berjalan kaki, mengayuh basikal atau berulang-alik dengan pengangkutan awam. Oleh itu, tiada keperluan membina tempat letak kereta, yang akan menjimatkan kos untuk pemaju. GLC dapat memainkan peranan penting dalam memperkenalkan bentuk pembiayaan baru untuk unit perumahan ini, misalnya menggunakan REIT.

Setakat ini, GLC entah bagaimana telah menerapkan model urbanisasi yang didorong oleh pinjaman kewangan yang berlebihan. Akibatnya adalah kemerosotan kawasan-kawasan tengah bandar, proses peluasan bandar yang menjadikan perjalanan kerja setiap hari semakin mahal dan melelahkan, dan juga kesan buruk terhadap iklim. Model perjalanan satu-orang-satu-kereta juga memakan sejumlah besar pendapatan boleh guna. Kita mesti mencari model baharu yang dapat membebaskan jumlah pendapatan ini dan secara langsung akan meningkatkan taraf hidup masyarakat secara keseluruhan.

Inilah masanya untuk kita ‘rewind’ dan memikirkan semula. GLC/GLIC harus berhenti bertindak hanya sebagai pemain swasta yang berusaha mengaut keuntungan maksimum daripada sektor seperti hartanah, penjagaan kesihatan swasta, dan komoditi. Sebaliknya, mereka perlu diuruskan dengan pertimbangan objektif sosial, meminimumkan kerosakan terhadap alam sekitar, mengurangkan perubahan iklim, mewujudkan peluang pekerjaan yang baik untuk rakyat Malaysia dan secara amnya berusaha membentuk masyarakat yang sejahtera dan adil untuk semua.

 

Ketiga, apakah matlamat GLC/GLIC dalam era kapitalisme pemegang taruh?

Sekarang anda dapat menduga bahawa saya menyokong penuh keterlibatan negara dalam ekonomi, tetapi pada masa yang sama kita juga kritis terhadap realiti bahawa GLC/GLIC Malaysia hari ini tertumpu pada sektor-sektor yang tidak baik bagi iklim, tidak baik bagi pekerja Malaysia, tidak baik untuk kesaksamaan kesihatan, dan menggalakkan terlalu banyak usaha pembiayaan modal. Terdapat juga tuduhan bahawa beberapa tindakan GLC kurang berintegriti dan cenderung disalahgunakan oleh ahli politik – sesuatu yang perlu ditangani.

Namun, kita perlu membuang yang keruh dan mengambil yang jernih. GLC/GLIC perlu diperbetulkan haluannya untuk mencapai matlamat sepunya masyarakat, bukan menggesa mereka dihancurkan secara total.

Kita berada di detik yang begitu menarik. Setelah mengimani kepercayaan Milton Friedman tentang “kapitalisme pemegang saham” yang mendakwa bahawa tujuan wujudnya sebuah syarikat swasta adalah untuk memaksimumkan nilai pemegang saham, perniagaan di seluruh dunia, termasuk Klaus Schwab dari World Economic Forum, kini menyebarkan dakwah “kapitalisme pemegang taruh”.

Bahawasanya tujuan syarikat adalah bukan sahaja untuk memenuhi keperluan pemegang sahamnya, tetapi juga pekerja, pelanggan, pengguna pada umumnya, dan alam sekitar. Syarikat juga mempunyai tanggungjawab bersama untuk mengendalikan lebihan ekonomi kapitalisme swasta, agar mereka tidak menjurus kepada keruntuhan sistem secara keseluruhannya.Kelangsungan hidup kapitalisme sekarang dianggap bergantung pada syarikat yang membayar pekerjanya dengan lebih baik, menjaga iklim, dan memberikan kualiti perkhidmatan dan produk yang terbaik kepada pengguna. 

Mungkin apa yang lebih penting lagi, syarikat sekarang harus mempertimbangkan hati nurani para pengguna yang lebih berpengetahuan dan lebih waspada, yang akan mengkritik produk yang dihasilkan melalui amalan perhambaan moden atau dengan pembakaran hutan. Tumpuan yang sangat tidak selesa terhadap pembuat sarung tangan tempatan oleh agensi berita antarabangsa kerana penggunaan buruh asing murahan hanyalah satu permulaan kecil. Semakin lama, syarikat-syarikat akan dituntut menggunakan standard yang lebih tinggi dan diminta untuk memainkan peranan mereka dalam memastikan supaya kesenjangan dikurangkan misalnya, justeru mengurangkan risiko kapitalisme terganggu, dicabar dan digulingkan.

Tentu saja inilah prinsip-prinsip ESG – syarikat bertindak dengan mempertimbangkan tanggungjawab terhadap alam sekitar, masyarakat, dan tadbir urus, selain keuntungan.

Dalam konteks sedemikian, kita harus mengkaji peranan dan tujuan GLC/GLIC Malaysia. Sekiranya syarikat swasta sekarang diminta untuk mempertimbangkan tujuan kewujudan sosial dan kesejahteraan pemegang taruh mereka, GLC/GLIC Malaysia tidak mempunyai alasan untuk mengabaikan tujuan awam masing-masing. Jika syarikat swasta di seluruh dunia harus memahami prinsip ESG, mereka sepatutnya melangkaui agenda syarikat milik negara, sama ada GLC atau GLIC.

Tujuan GLC/GLICs bukan hanya, dan mungkin bahkan tidak khusus kepada, menjana keuntungan, dan tentu sahaja bukan atas tanggungan rakyat biasa. Penyedia modal milik negara harus menetapkan “jaminan ekonomi dan martabat ekonomi rakyat Malaysia” sebagai tujuan kewujudan mereka. Negara harus memainkan peranan aktivis dalam ekonomi untuk menggerakkan sumber-sumber kemasyarakatan, terutamanya milik GLC dan GLIC, untuk mengatasi cabaran terbesar dalam masyarakat kita dan mewujudkan suasana yang kondusif bagi pelaburan awam dan swasta. Untuk Malaysia bergerak maju, kita perlu mempertimbangkan perbahasan kapitalisme pemegang taruh dan prinsip ESG ketika kita menilai semula GLC dan GLIC.

Berikut adalah beberapa contoh, walaupun senarai ini jauh dari lengkap.

Pertama, petroleum.

Memandangkan tenaga bersih adalah pilihan yang lebih baik, kebergantungan dunia terhadap petroleum akan berkurangan secara drastik dalam beberapa dekad akan datang, Petronas perlu diarahkan untuk memulakan program R&D berskala besar untuk tenaga bersih bagi Malaysia. Ini bertepatan dengan kepentingan Petronas, tetapi kejayaan usaha ini akan sangat menguntungkan negara secara keseluruhan.

Kedua, perumahan.

GLC dan GLIC yang memiliki keluasan tanah besar di dalam dan sekitar Kuala Lumpur mesti diarahkan untuk tidak menggalakkan peluasan bandar, tetapi melabur untuk mewujudkan lebih banyak perumahan di tengah bandar Kuala Lumpur. 

Selanjutnya, mereka harus menggunakan model campuran, yang bermaksud bukan semua rumah adalah untuk dijual, tetapi kebanyakan unit harus disewakan untuk jangka panjang bagi golongan kelas menengah. Selain itu, GLC dan GLIC yang memiliki bangunan pejabat kosong di kawasan tengah bandar harus meneliti kemungkinan menukar bangunan pejabat lama yang tidak digunakan ini untuk menjadi perumahan sewa untuk golongan belia, misalnya.

Ketiga, perladangan.

Rakan saya di Parlimen Sdr Ngeh Koo Ham mempunyai pandangan yang amat mendalam mengenai masa depan sektor kelapa sawit. Beliau mengingati bagaimana peralihan daripada getah ke kelapa sawit membawa peningkatan produktiviti yang besar, kerana sebidang tanah yang sama memerlukan tujuh orang untuk menanam getah, sementara hanya seorang diperlukan untuk kelapa sawit. Indonesia dan negara penanam kelapa sawit lain mempunyai struktur biaya tenaga kerja yang jauh lebih murah berbanding Malaysia. Tambahan pula, tanah kita, sekurang-kurangnya di Semenanjung, mungkin tidak lagi subur seperti di negara jiran. Sudah tiba masanya untuk mempunyai rancangan 20 tahun untuk mempelbagaikan dan beralih dari minyak sawit ke tanaman lain secara beransur-ansur.

Selain daripada bidang pertanian yang menyediakan hasil tuaian sumber makanan yang tinggi, Ngeh berpendapat bahawa penanaman kayu-kayan bernilai tinggi mungkin merupakan satu jalan keluar, paling tidak kerana ia memungkinkan lonjakan produktiviti yang serupa dengan peralihan daripada getah kepada kelapa sawit. Dengan rancangan jangka panjang, para peladang dapat beralih ke penanaman kayu-kayan apabila tiba musim tanam semula. Industri perabot negara yang terkenal di dunia perlu dibawa ke dalam perbincangan ini, supaya industri hiliran yang mampan dapat dicipta. Lebih-lebih lagi, dengan sektor penanaman kayu-kayan yang berkembang pesat di ladang kelapa sawit sedia ada, pihak berkuasa dapat bergerak dengan tegas untuk mengharamkan segala bentuk pembalakan di hutan semula jadi.

Siapa yang harus mengambil langkah pertama? Ini harus menjadi misi yang jelas bagi GLC yang memiliki ladang kelapa sawit. Misi mereka adalah untuk membuat rancangan jangka panjang bagi penggunaan tanah yang lestari untuk memberi manfaat kepada ekonomi, pekerja, industri dan alam sekitar Malaysia, serta merintis jalan bagi sektor swasta untuk melaksanakannya.

Keempat, penjagaan kesihatan.

GLC atau GLIC yang memiliki hospital atau perusahaan lain yang berkaitan dengan kesihatan harus diarahkan untuk mengusahakan model pembiayaan kesihatan baharu yang akan menjamin kualiti penjagaan kesihatan yang baik untuk seluruh rakyat Malaysia, sebagai persedian bukan sahaja untuk satu lagi penularan wabak, tetapi lebih penting lagi untuk menangani masyarakat kita yang semakin tua.

Kita sebenarnya mempunyai tiga sistem penyedia penjagaan kesihatan yang berbeza pada masa ini: hospital Kerajaan, hospital swasta milik GLC dan konglomerat utama, serta klinik swasta milik individu dan pemain kecil yang wujud di merata tempat. Kegagalan menggunakan infrastruktur hospital dan klinik swasta dalam memerangi Covid-19 ternyata merupakan kesilapan besar Kementerian Kesihatan. Covid-19 bukanlah krisis kesihatan terakhir yang akan dihadapi oleh Malaysia. Kita perlu mencari jalan untuk mengintegrasikan ketiga-tiga sistem tersebut ke dalam satu platform yang secara kolektif dapat memenuhi keperluan penjagaan kesihatan rakyat Malaysia. Setakat ini, saya tidak ada jawapan yang kukuh tentang bagaimana rupa bentuknya. Adakah ia menurut model IJN – diperbadankan tetapi mengutamakan kepentingan awam? Adakah ia menurut skim insurans? Atau dibiayai oleh pembayaran padanan awam-swasta? GLIC, khususnya KWSP dan mungkin PERKESO, harus ditugaskan untuk mencari jawapan kerana kesihatan pencarum mereka mempengaruhi kedudukan kewangan masa depan badan dana tersebut.

Kelima, bank.

Seperti mana-mana GLC yang lain, bank milik negara tidak boleh ditadbir hanya untuk keuntungan, terutama jika itu menyumbang kepada gelembung kredit dan limpahan hartanah. Jelas sekali, bank tidak boleh melayani kepentingan peribadi sesiapa pun, oleh itu mana-mana ahli politik atau ahli lembaga pengarah yang ingin menyalahgunakan pinjaman bank untuk kepentingan peribadi mesti diheret ke muka pengadilan secara tegas.

Secara lebih meluas, bank milik negara mesti mula menerapkan prinsip ESG dalam keputusan pinjaman dan pelaburan mereka. Malaysia tidak asing lagi dengan penetapan kekangan sebagai syarat pinjaman jika kita lihat dari segi perkembangan sistem perbankan Islam di Malaysia. Malah, institusi-institusi kewangan tersebut turut menetapkan industri-industri yang perlu dihindari dalam pelaburan bahkan juga bentuk instrumen kewangan yang digunakan para pelabur. Pada masa hadapan, bank-bank harus merasa bangga apabila ia mengelak pinjaman yang menyebabkan hutan asli ditebang atau persekitaran tercemar oleh industri kimia beracun. Jika bank-bank memutuskan untuk tidak bertindak sekarang, penyimpan, pelabur dan masyarakat umum akan lebih peka dengan isu-isu ini pada masa akan datang. Bank-bank harus menyedari hal ini dan mula bertindak sewajarnya sekarang.

 

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, saya mendapati perbahasan semasa mengenai GLC/GLIC agak lapuk. Persoalan perbahasan masih tersekat sekitar sama ada kerajaan harus campur tangan dalam ekonomi atau tidak. Satu pihak berpendapat kerajaan harus menjauhi ekonomi. Pihak yang lain pula mempertahankan GLC/GLIC sama ada sebagai juara Melayu atau sebagai entiti swasta yang dikendalikan dengan cekap dan memberikan hasil yang sangat diperlukan kepada negara ini. Kedua-dua hujah tersebut tidak menjawab persoalan utama.

Dengan krisis kewangan global dan kini wabak Covid-19, perdebatan mengenai penglibatan negara dalam ekonomi sudah selesai, dan jawapannya adalah ya! Soalnya sekarang adalah mengenai rupa bentuk penglibatan itu. Kita berhak mendapat kerajaan yang pintar. Kita layak mendapat kerajaan yang mempunyai kesedaran dan empati, sama seperti kita menolak kerajaan yang korup, tidak berperasaan, dan tidak kompeten. Soalnya sekarang kita perlu membincangkan apa yang harus dilakukan oleh kerajaan untuk mewujudkan keadaan agar kapitalisme pemegang taruh dapat berkembang maju, dan supaya rakyat Malaysia merasa ekonomi mereka terjamin, dapat menjalani kehidupan dengan bermaruah, dalam kemakmuran dan dalam masyarakat yang berjana-daya, berkeyakinan dan dinamis.