Dewan Negara

Membuang imej ‘rubber stamp’ Dewan Negara

By Fakhrurrazi Rashid

Sidang Dewan Negara mesyuarat ketiga baharu saja selesai pada 29 Disember, 2020. Selama tujuh hari ahli Dewan Negara membahaskan Belanjawan 2021 dan meluluskan hampir sembilan Rang Undang-Undang (RUU) pada tempoh yang sama.

Perjalanan Dewan Negara bukanlah sesuatu yang mudah. Terdapat pelbagai limitasi yang ditetapkan sehingga Dewan Negara kelihatan “rubber stamp”. Bayangkan saja, ahli Dewan Rakyat dapat membahaskan Belanjawan 2021 hampir sebulan jika dibandingkan Dewan Negara yang diperuntukkan kurang daripada lima hari.

Hakikatnya, perkembangan politik mutakhir ini membentuk satu desakan kepada Dewan Negara mengalami fasa perubahan.

Komposisi Dewan Negara kali ini mengubah citra warna perjalanan Dewan Negara. Majoriti Senator kali ini pernah menjadi ahli Dewan Rakyat, termasuk mantan menteri dan timbalan menteri. Acuan politik ini sekurang-kurangnya menjadi asas kukuh bahawa ahli Dewan Negara mempunyai kemampuan, pengalaman dan kemahiran yang boleh menyumbang kepada kesejahteraan negara.

Dinamik Yang di-Pertua Dewan Negara

Pelantikan baharu  Yang di-Pertua Dewan Negara (YPDN) Dr Rais Yatim, sedikit sebanyak membawa momentum perubahan terhadap fungsi Dewan Negara. Sikap tegas yang ditonjolkan Rais ketika mengendalikan perbahasan di Dewan Negara begitu memuaskan.

Teguran YPDN dilihat lantang dan kritikal kepada sikap pihak kerajaan dan ahli Dewan Negara. Rais tegas dalam mengkritik sikap menteri dan timbalan menteri yang menjawab pertanyaan panjang lebar sehingga mendatangkan kekeliruan fakta dalam kalangan senator.

Kritikan juga dibuat YPDN kepada menteri yang gagal hadir untuk menjawab pertanyaan ahli Dewan Negara dan hanya menghantar timbalan menteri sahaja.

YPDN juga menitikberatkan aspek perbahasan senator yang menyampaikan perbahasan dengan cara membaca teks dan kelemahan ahli Dewan Negara dalam melibatkan diri dalam persidangan Dewan Negara.

Dinamik yang dibawa Rais membina satu perspektif baharu dalam mengangkat fungsi Dewan Negara.  Pada hemat saya, Rais layak dilantik sebagai Yang di-Petua Dewan Rakyat berbanding Azizan Harun yang dilihat masih gagal menemui rentak dalam menguruskan perjalanan Dewan Rakyat.

Penglibatan politik dasar

Untuk menambah fungsi Dewan Negara, beberapa kaukus ditubuhkan untuk memberi peluang kepada ahli Dewan Negara melibatkan diri dalam proses penggubalan dasar kerajaan, khususnya dalam aspek semak dan imbang.

Ketika pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH), Kaukus Dewan Negara yang ditubuhkan sebagai usaha untuk menambah baik fungsi Dewan Negara. Kaukus yang dipengerusikan Senator Yusmadi Yusoff juga menubuhkan Kumpulan Kerja Covid-19 dan jawatankuasa kerja menggubal undang-undang Anti Lompat Parti yang dilihat begitu mustahak untuk dibincangkan oleh kerajaan dan rakyat.

Kini, Dewan Negara menubuhkan Kaukus Kesejahteraan Rakyat pada 15 Disember, 2020. Ia berperanan sebagai sebuah kumpulan yang mengkaji dan meneliti isu berkaitan dasar kerajaan dan negara.

Kaukus ini dipengerusikan oleh Razali dan dianggotai oleh ahli Dewan Negara merentasi parti politik.  Antara isu yang akan dikaji oleh kaukus ini adalah kesesakan penjara, pemerkasaan Suhakam dan kedudukan hutang Felda.

Namun, keberkesanan Kaukus Dewan Negara masih lagi tidak jelas. Sejak Kaukus Dewan Negara ditubuhkan pada 2018, kerajaan dilihat tidak serius mengangkat cadangan senator Dewan Negara.

Di sudut yang berbeza, hala tuju dan naratif yang kaukus masih kurang mendapat sambutan daripada organisasi dan rakyat. Isu ini menjadi cabaran utama bagi Dewan Negara untuk melihat realiti sebenar masyarakat yang perlu diterjemahkan dalam bentuk polisi yang menyeluruh.

Berpandukan masalah ini, adakah kaukus yang sedang atau akan ditubuhkan Dewan Negara hanyalah perubahan “kosmetik” atau benar-benar dapat menambah baik dasar kerajaan?

Fungsi Dewan Negara sedang mengalami fasa perubahan. Momentum ini perlu menjadi asas kepada usaha membuang imej “rubber stamp” Dewan Negara sejak berpulu-puluh tahun lamanya. Namun, adakah perubahan ini cukup untuk meletakkan Dewan Negara sebagai institusi yang penting buat rakyat?

Meneruskan agenda perubahan

Tidak adil sekiranya pemimpin dan rakyat begitu skeptik dalam menilai atau membuat andaian awal yang negatif terhadap perubahan yang sedang berlaku di Dewan Negara. Pastinya, institusi ini akan menghadapi pelbagai cabaran yang perlu diharungi bagi memastikan Dewan Negara masih relevan dalam membawa naratif institusi demokrasi yang berfungsi di pemikiran rakyat.

Ahli Dewan Negara sendiri perlu membuktikan mereka menjalankan amanah untuk menyelesaikan isu rakyat dan negara. Mereka perlu lebih agresif dalam menyampaikan idea dasar, seperti yang diungkap oleh Rais bahawa “Ahli Dewan Negara bukanlah ahli legislatif yang diam”.

Dalam keadaan politik yang tidak stabil, Dewan Negara boleh ditonjolkan sebagai sebuah institusi yang menekankan prinsip pentadbiran bersama (Co-governing) dalam berhadapan isu rakyat dan negara. Dinamik baharu Dewan Negara perlu membina kerjasama erat dengan pihak kerajaan dalam merencana dasar yang boleh membina semula asas yang lebih baik buat rakyat pasca Covid-19.

Semangat pentadbiran bersama ini dapat dicapai dengan menubuhkan sistem Jawatankuasa Pilihan Khas (JPK). Penubuhan JPK berteraskan isu dan kementerian perlu menjadi Norma Baharu di Dewan Negara. Melalui penubuhan JPK ini, ia akan memberi ruang dan akses kepada ahli Dewan Negara menyemak ketelusan kerajaan dalam tadbir urus dan pelaksanaan dasar.

Berbekalkan pengalam dan kemahiran mereka, tentunya aspek kritikan dan cadangan dalam JPK boleh menambah baik dasar kerajaan. Rugi sekiranya kemampuan ahli Dewan Negara tidak dimanfaatkan dengan penglibatan mereka dalam sebuah JPK.

Tidak cukup agenda membuang imej “rubber stamp” Dewan Negara sekiranya pihak kerajaan masih gagal mengambil saranan ahli Dewan Negara sebagai dasar menambah baik kesejahteraan rakyat.

Fasa perubahan pemikiran juga penting buat jemaah menteri dalam mengambil serius cadangan yang diangkat Dewan Negara, khususnya Kaukus. Tidak munasabah sekiranya menteri masih lagi meminggirkan peranan dan cadangan Kaukus untuk menyelesaikan masalah rakyat ketika mereka berhadapan dengan situasi norma baharu.

 

– Published in The Malaysian Insight on 4 January 2021.