Untitled design(1)

Membina semula asas dan daya tahan parlimen pasca Covid-19

By Fakhrurrazi Rashid

Tahun 2020 merupakan tahun yang amat mencabar buat seluruh negara dengan penularan wabak Covid-19. Dalam keadaan cemas ini, pemimpin seluruh dunia termasuk Malaysia, telah cuba sedaya upaya untuk menangani isu yang luar biasa dan tidak pernah berlaku sebelum ini.

Selain ekonomi dan kesihatan, pandemik telah menguji ketahanan sistem demokrasi berparlimen Malaysia. Meskipun kebanyakan ahli parlimen menghabiskan masa di kawasan membantu rakyat, tetapi tugas hakiki mereka sebagai penggubal undang-undang dan menyemak dasar kerajaan hampir tidak berlaku sepanjang pandemik. Mengapa?

Pertama, dominasi badan eksekutif dalam pentadbiran negara menyebabkan fungsi parlimen dipinggirkan. Sepanjang pandemik, fungsi parlimen telah dipinggirkan oleh kerajaan persekutuan sebagai institusi menyelesaikan cabaran dihadapi rakyat dan negara. Pengisytiharan darurat telah melumpuhkan peranan parlimen selepas fungsinya telah digantung sepenuhnya dalam tempoh tersebut.

Meskipun Yang Di-Pertuan Agong (YDPA) pada 24 Februari 2021 memperkenankan parlimen bersidang semasa darurat, tetapi Jemaah Menteri pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yasin secara kolektifnya telah membuat keputusan pada 9 Mac 2021 tidak bersetuju dengan saranan YDPA untuk membuka parlimen. Tindakan ini menunjukkan betapa seriusnya badan eksekutif meminggirkan fungsi parlimen dan ketelusan dalam tadbir urus mereka.

Kedua, tiada pengawasan parlimen terhadap tadbir urus kerajaan. Fungsi Jawatankuasa Pilihan Khas (JPK) lumpuh apabila pelantikan anggota baharu tidak dapat dilaksanakan akibat kelewatan membuka parlimen pada tahun 2020. Peranan JPK juga telah digantung sepanjang darurat dan tiada JPK khusus ditubuhkan bagi menyemak tadbir urus kerajaan ketika pandemik.

Tindakan meminggirkan institusi parlimen telah mencetuskan ketidakstabilan politik negara. Apabila badan perundangan negara tidak berfungsi, maka kerajaan cenderung melakukan kesilapan dan kecuaian dalam menguruskan negara.

Kesan buruk negara tanpa demokrasi berparlimen

Masalah tadbir urus menyebabkan Malaysia diletakkan di tangga tercorot di antara 53 negara yang membuka semula ekonomi ketika pandemik Covid-19. Negara yang tersenarai dalam kajian ini adalah negara terbesar ekonomi dunia yang dinilai berdasarkan keberkesanan mereka menangani Covid-19 yang paling kurang gangguan sosial dan ekonomi.

Ekonomi negara juga terjejas akibat kelemahan kerajaan terdahulu. Pelaburan Langsung Luar (FDI) pada tahun 2020 menurun secara signifikan kepada 54.8 peratus. Para pelabur dan pemegang taruh industri mengkritik tadbir urus kerajaan persekutuan yang dilihat tidak konsisten dalam menguruskan Covid-19 dan boleh mendatangkan risiko yang besar buat perniagaan mereka.

Episod kerajaan meminggirkan institusi parlimen ketika pandemik sampai pada kemuncaknya apabila berlaku percanggahan pandangan antara kerajaan dan YDPA dalam pembatalan Ordinan Darurat.

Pada 29 Julai 2021, YDPA dalam satu kenyataan menzahirkan rasa dukacita apabila mendakwa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan telah mengelirukan Dewan Rakyat apabila menyatakan Baginda telah memperkenan pembatalan darurat pada 21 Julai 2021.

Sedangkan, YDPA belum lagi memperkenan pembatalan tersebut dan telah meminta kerajaan membentang dan membahaskan Ordinan Darurat di parlimen bagi diungkaikan sebelum tempoh darurat tamat, di mana saranan tersebut tidak dilaksanakan.

Pelanggaran kuasa dan undang-undang ini telah menjadi titik tolak kejatuhan kerajaan pusat yang menyaksikan Muhyiddin hanya mampu bertahan sebagai Perdana Menteri selama 17 bulan. Dari sudut yang berbeza, peristiwa-peristiwa ini telah menyedarkan kebayakan rakyat tentang kepentingan parlimen kepada kestabilan negara, lebih-lebih lagi dalam keadaan krisis.

Bina semula parlimen berdaya tahan

Perdana Menteri baharu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah membuat langkah yang positif apabila memeterai perjanjian persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik bersama Pakatan Harapan (PH) pada 13 September 2021 bagi mengatasi polemik politik yang berlaku ketika pentadbiran Muhyiddin.

Sebahagian besar MoU ini meletakkan agenda reformasi parlimen sebagai perkara utama yang dipersetujui antara kerajaan-pembangkang. Peluang ini telah dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat untuk membincangkan hala tuju membina semula asas sistem demokrasi berparlimen Malaysia dalam fasa pemulihan.

Saya beranggapan, terdapat sekurang-kurangnya tiga perkara penting untuk dilakukan kerajaan bagi membina struktur sistem parlimen Malaysia yang lebih berdaya tahan dan berfungsi seperti:

Pertama, memperkukuh fungsi JPK parlimen. Perlu ada lebih banyak JPK ditubuhkan agar fungsi ahli parlimen dalam mengawasi kerajaan dapat dijalankan secara berkesan. Kaedah ini juga memudahkan ahli parlimen membuat sesi libat urus dengan pemegang taruh untuk mendapat maklum balas tentang impak dasar kerajaan kepada mereka.

Kedua, menambah hari persidangan parlimen. Wajar sekiranya parlimen bersidang sebanyak 100 hari dalam setahun pasca Covid-19 bagi memberi ruang kepada ahli parlimen terlibat dalam proses membuat dasar dan semakan terhadap kerajaan. Sesi pertanyaan, perbahasan usul, dan pindaan Rang Undang-Undang juga boleh ditambah apabila jumlah hari persidangan parlimen ditambah.

Penting juga sekiranya Perlembagaan Persekutuan dan Peraturan Mesyuarat Parlimen dikaji untuk memperkukuh fungsi dan konsep sistem demokrasi berparlimen Malaysia. Dengan usaha pembaharuan parlimen, rakyat berharap institusi ini tidak disia-siakan lagi oleh pemimpin negara walaupun berdepan krisis yang getir seperti pandemik.

Apa yang paling penting, parlimen harus diangkat fungsinya sebagai rakan strategik kerajaan dalam tadbir urus negara atas semangat dwipartisan. Pandangan segar ini akan menghakis momokan ke atas imej parlimen yang sering dikaitkan sebagai musuh eksekutif.

Pembaharuan parlimen bukanlah satu agenda ‘statik’ dan dilupakan selepas ia dilaksanakan. Tetapi, pembaharuan parlimen merupakan agenda nasional yang perlu dipersetujui bersama semua pihak. Perbincangan yang berterusan dapat memberi jaminan bahawa parlimen sentiasa hidup sebagai institusi utama bagi membincangkan isu rakyat dan negara.

*Artikel ini merupakan kerjasama dan sokongan Kaukus Ahli Parlimen Muda Dewan Rakyat.

 

-Published in Sinar Harian on 20 March 2022.

Your Cart
SUPPORT US