IN THE
NEWS

Members-of-Parliament-in-Malaysia
AUG 11, 2020

Mampukah Parlimen Malaysia menjadi lebih baik?

by Aliran



Apa yang diperlukan sekarang ialah kerjasama rakyat sebagai kuasa ketiga untuk memastikan Parlimen Malaysia tidak menjadi parlimen buruk, ujar Fakhrurrazi Rashid.

Pembukaan sidang Dewan Rakyat pada 13 Julai 2020 telah mengundang kekecewaan rakyat selepas Yang di-Pertua ke-sembilan, Mohamad Ariff Mohd Yunus, telah digantikan dengan Azhar Azizan Harun.

Peralihan yang dibuat oleh kerajaan Perikatan Nasional tanpa asas yang kukuh telah meletakkan risiko kepada hala tuju parlimen Malaysia.

Yang di-Pertua Dewan Rakyat berperanan untuk mengekalkan kebebasan, integriti dan keberkesanan Parlimen daripada dikuasai badan Eksekutif. Tujuan ini bagi mencapai sebuah tadbir urus yang cekap dan telus demi mempertahankan kepentingan rakyat.

Selepas 9 Mei 2018, komitmen pembaharuan Parlimen telah digerakkan oleh Mohamad Ariff. Hasil daripada aspirasi rakyat yang dahagakan perubahan, pelbagai penambahbaikkan institusi Parlimen dilaksanakan seperti penubuhan jawatankuasa pilihan khas. Terdapat 10 jawatankuasa begini telah berjaya ditubuhkan, antaranya ialah untuk bajet dan pilihan raya.

Penubuhan jawatan kuasa pilihan khas ini membolehkan Parlimen menyemak ketelusan keputusan kerajaan dalam tadbir urus mereka. Ahli parlimen juga terlibat dengan proses membuat keputusan yang melibatkan dasar awam dalam jawatankuasa itu sendiri.

Perubahan penting ini telah membuka semula institusi Parlimen untuk membahaskan kepentingan rakyat dengan lebih meluas dan menyeluruh. Persoalannya, adakah Parlimen kita mampu menuju ke arah yang lebih baik selepas insiden pertukaran Yang di-Pertua ini?

Parlimen yang baik lawan Parlimen buruk

Perkembangan institusi Speaker di House of Commons, UK telah bermula pada 1376, pada era yang dipanggil The Good Parliament (Parlimen yang Baik). Era ini dipanggil sebagai parlimen yang baik kerana kesungguhan ahli House of Commons untuk melawan jenayah rasuah dan ketirisan yang dibuat oleh Majlis Penasihat Raja Edward III.

Sebelum era ini berlaku, House of Commons tidak bersidang hampir dua tahun kerana ketakutan penasihat Edward III berhadapan tekanan ahli parlimen yang kritikal kepada ketirisan yang telah mereka lakukan.

Ketika itu, parlimen telah melantik ahli parlimen Herefordshire, Peter de la Mere, sebagai Speaker House of Commons. Peter de la Mere telah memutuskan parlimen membuat semakan ke atas pembendaharan England, bagi mengenalpasti ketirisan yang dilakukan pemerintahan Edward III.

Parlimen telah memanggil penasihat raja yang didakwa melakukan jenayah rasuah untuk disiasat. Kemudian, ahli Majlis Penasihat Raja seperti Richard Lyons, Lord Latimer dan Alice Perrers telah dipenjarakan kerana didapati telah melakukan penyelewengan kuasa dalam pentadbiran kerajaan.

Era parlimen yang baik ini tidak bertahan lama kerana John of Grunt, anak kepada Edward III, telah membatalkan usaha era parlimen yang baik dengan memberi keampunan kepada penasihat raja yang didapati melakukan rasuah untuk kembali menganggotai Majlis Penasihat. Era ini dipanggil sebagai The Bad Parliament (Parlimen Buruk) yang berlaku pada 1377.

John of Grunt telah melantik Thomas Hungerford (yang merupakan pilihan utama John) sebagai Speaker dan memenjarakan Peter de le Mere, seorang Speaker yang telah berusaha melawan rasuah. John mengisytiharkan bahawa era parlimen yang baik tidak berperlembagaan dan perlu dipadamkan daripada rekod sejarah.

Meskipun sejarah ini berbeza dari segi konteks dan masa, tetapi ia telah memberi asas kepada peranan Speaker, khususnya pada era demokrasi moden.

Speaker berintegriti dapat memastikan fungsi parlimen berkesan untuk mewujudkan tadbir urus kerajaan yang telus seperti era Parlimen yang Baik. Sekiranya Speaker didominasi pemerintah, maka parlimen sukar memastikan kerajaan menlaksanakan tugas dengan cekap dan berintegriti seperti era Parlimen Buruk.

Rakyat penentu kedaulatan Parlimen

Di Malaysia, usaha rejuvenasi Parlimen kepada The Good Parliament berlaku secara efektif pasca 9 Mei 2018, selepas rakyat kecewa dengan peranan Parlimen yang agak lemah di zaman Barisan Nasional untuk menyemak ketelusan kerajaan yang terlibat dalam kes rasuah dan skandal besar seperti 1MDB.

Mohamad Ariff komited mengembalikan roh dan peranan parlimen daripada sebuah institusi rubber stamp selama enam dekad kepada parlimen berpaksikan aspirasi rakyat. Apa yang rakyat mahukan adalah sebuah parlimen yang berfungsi untuk memastikan badan eksekutif cekap dalam melaksanakan dasar yang baik demi kesejahteran rakyat dan negara.

Namun, pelantikan Azhar Harun sebagai Yang di-Pertua baharu telah membangkitkan persoalan tentang keberlangsungan reformasi parlimen yang telah dilaksanakan sebelum ini. Walaupun prestasinya sebagai pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya agak baik, kemampuan Azhar Harun untuk meneruskan agenda reformasi parlimen bukan sesuatu yang mudah.

Mohamad Ariff telah meletakkan satu asas pencapaian yang tinggi dalam agenda reformasi parlimen dalam waktu yang agak singkat. Maka, Azhar Harun perlu membuktikan kemampuannya meneruskan perubahan parlimen melebihi pencapaian Mohamad Ariff.

Kredibiliti Yang di-Pertua baharu ini dikritik hebat selepas mengeluarkan surat kepada hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk menamatkan perbicaraan kes penyelewengan dana 1MDB Najib Razak lebih awal agar ahli parlimen Pekan dapat membahaskan ucapan titah diraja. Sedangkan, Najib Razak boleh sahaja menukar tarikh atau giliran baharu sekiranya tarikh perbicaraan bercanggah dengan waktu perbahasan tersebut.

Persoalannya, adakah Parlimen Malaysia kini menuju era parlimen buruk (bad parliament) di bawah Yang di-Pertua yang baharu?

Saya berpendapat bahawa Azhar berhadapan dengan cabaran getir untuk membentuk Parlimen Malaysia yang lebih baik memandangkan beliau berhadapan tekanan daripada pihak eksekutif yang mencadangkan dirinya sebagai Yang di-Pertua. Tekanan ini akan menyebabkan Parlimen Malaysia ke arah era parlimen yang buruk semula.

Tidak dinafikan, Azhar merupakan individu yang terkenal dengan prinsipnya, tetapi prinsip tersebut bakal diuji sekiranya Yang di-Pertua baharu ini gagal melindungi kebebasan dan fungsi Parlimen daripada didominasi badan Eksekutif yang sering meremehkan peranan Parlimen dalam pentadbiran negara.

Apa yang diperlukan sekarang ialah kerjasama rakyat sebagai kuasa ketiga untuk memastikan Parlimen Malaysia tidak menjadi bad parliament. Rakyat ialah penentu kepada kedaulatan Parlimen dan perlu giat melibatkan diri dalam proses membuat keputusan di Parlimen.

Pendidikan dan advokasi tentang kepentingan demokrasi berparlimen penting untuk diperluaskan kepada generasi baharu agar institusi ini terus menjadi tunjang dan nadi kepada kehidupan rakyat. Usaha seperti memperbaharui modul pendidikan kenegaraan, dialog dan perbincangan tentang pembaharuan parlimen perlu dipergiatkan lagi di peringkat generasi muda. Penggunaan teknologi, inovasi dan kreativiti seperti Parlimen Digital juga adalah satu platform terbaik untuk mendekatkan diri anak muda memahami dan menghargai nilai institusi Parlimen yang berfungsi dengan berkesan.

Matlamat Parlimen Malaysia untuk menjadi “parlimen yang baik” tidak cukup. Sebaliknya, Parlimen perlu menjadi institusi yang lebih baik daripada hari ini, demi manfaat rakyat dan generasi pemimpin masa hadapan.

Jika Parlimen masih ditakuk lama, maka institusi ini akan terus menjadi alat politik pemerintah dan gagal mempertahankan kepentingan rakyat untuk berhadapan ‘normal baharu’, yang tidak memberi sebarang jaminan pada masa hadapan.

— Aliran

Your Cart
SUPPORT US