KUALA LUMPUR, 13 Julai -- Kelihatan paparan Sistem Imbasan Muka bagi Pengesahan Kehadiran Anggota Parlimen pada skrin komputer riba diatas setiap tempat duduk anggota parlimen telah tersedia di dalam Dewan Rakyat sempena Istiadat Pembukaan Penggal Pertama Majlis Pembukaan Ke-14 yang akan berlangsung pada 17 Julai depan.
--fotoBERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA

Mampukah kita mengakhiri krisis Parlimen?

By Fakhrurrazi Rashid

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah memutuskan untuk menggantung sidang Parlimen sepanjang tempoh darurat. Perkara ini berbeza dengan pandangan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) yang membenarkan Parlimen bersidang dalam tempoh darurat.

Situasi ini telah menimbulkan spekulasi dan kebingungan rakyat akan kredibiliti kerajaan PN dalam pentadbiran negara.

Membenarkan Malaysia diperintah oleh kerajaan yang tidak dipilih rakyat tanpa semak dan imbang Parlimen akan memberi kesan negatif kepada demokrasi negara.

Situasi ini akan mewujudkan sebuah kerajaan yang membuat keputusan sesuka hati tanpa ada rasa tanggungjawab.

Bukan sahaja rakyat, tetapi Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Azalina Othman Said juga mengkritik keputusan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menggantung Parlimen.

Azalina menyifatkan penggantungan Parlimen telah melumpuhkan badan perundangan untuk menjalankan fungsi semak dan imbang terhadap tadbir urus badan eksekutif.

Apa yang membimbangkan adalah tindakan menggantung fungsi parlimen adalah untuk memenuhi kepentingan politik Muhyiddin untuk meneruskan hayatnya di Putrajaya.

Dengan perkembangan politik PN yang kian kritikal antara Umno dan Bersatu, maka rakyat juga merasakan darurat sebagai jalan pintas untuk kerajaan Muhyiddin mengelak ujian keabsahannya di Parlimen.

Dominasi kerajaan di Parlimen sudah berakhir

Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 telah menyaksikan zaman kerajaan mendapat majoriti dua pertiga di Parlimen sudah berakhir. Trend ini turut berlaku pada PRU 2013 dan 2018 apabila kerajaan Barisan Nasional dan Pakatan Harapan (PH) tidak memperoleh dua pertiga di parlimen.

Situasi demokrasi ini boleh dirumuskan sebagai ‘Demokrasi 50:50’. Terma ini diperkenalkan oleh mantan timbalan menteri Pertahanan Liew Chin Tong dalam artikelnya tempoh hari.

Menurut Liew, situasi Demokrasi 50:50 bermaksud tidak ada satu gabungan parti politik yang akan mendominasi majoriti dua pertiga di Parlimen dan ia telah bermula sejak 2008 dan masih berlaku sehingga hari ini.

Liew juga berpendapat situasi 50:50 ini akan menjadi norma baharu politik negara. Situasi ini akan memberi kelebihan buat rakyat Malaysia kerana dapat menikmati tadbir urus yang lebih berfungsi dan bertanggungjawab.

Ia juga dapat membentuk sebuah kerajaan yang dapat menjalankan tadbir urus atas semangat dwipartisan dengan ahli Parlimen yang lain dalam membuat dasar atau keputusan untuk kepentingan rakyat dan negara.

Kerajaan PN masih tidak sedar akan perkara ini. Ironinya, PN kini mempunyai 114 kerusi di Dewan Rakyat, lebih 8 kerusi berbanding PH dengan 106 kerusi. Kerajaan Muhyiddin memerintah seolah-olah mereka mendapat majoriti dua pertiga di Parlimen.

Apa yang Muhyiddin mahukan adalah semua ahli Parlimen mengikut kepentingannya dan jika tidak, fungsi Parlimen akan ditekan dan digantung dan perkara ini mustahil berlaku.

Rakyat di setiap peringkat mahu kerajaan PN menunjukkan semangat kerjasama dwipartisan dengan ahli Parlimen dalam mengatasi krisis kesihatan dan ekonomi pada waktu pandemik.

Sayangnya, Muhyiddin memilih jalan untuk menjadi ‘abang besar’ sehingga ruang untuk bekerjasama dengan pihak-pihak lain tertutup. Tawaran pembangkang untuk melaksanakan Confidence & Supply Agreement (CSA) semasa Belanjawan 2021 tidak dipandang penting oleh Muhyiddin.

Kelemahan tadbir urus Muhyiddin akhirnya makan diri. Walaupun Parlimen digantung, tetapi rakyat sendiri telah melihat kecuaian kerajaan PN dalam mengendalikan krisis seperti pengendalian prosedur operasi standard (SOP) yang tidak konsisten.

Mereka dapat merasakan sendiri sikap ‘dua darjat’ kerajaan PN apabila menteri-menterinya mudah melanggar SOP dan terlepas daripada hukuman.

Sebenarnya, kerajaan Muhyiddin boleh sahaja meneruskan sidang Parlimen. Walaupun beberapa ahli Parlimen Umno telah menarik sokongan kepadanya seperti Tengku Razaleigh Hamzah, Mohamed Nazri Aziz dan Ahmad Jazlan Yaakub, Muhyiddin sekurang-kurangnya mempunyai 111 sokongan ahli Parlimen, iaitu lebih lima orang wakil rakyat daripada PH.

Tetapi, kebimbangan Muhyiddin sejak menjadi perdana menteri pada 1 Mac masih berlaku.

Hubungan dingin Umno dan Bersatu dalam PN memungkinkan Muhyiddin hilang majoriti di Parlimen. Buat pertama kali dalam sejarah politik negara, kita menyaksikan seorang perdana menteri yang tidak mendapat sokongan konsisten daripada ahli Parlimen kerajaan sendiri sehingga sanggup menggantung Parlimen dan mengheret rakyat dalam krisis politik kerajaan PN yang cukup membebankan ini.

Apa selepas ini?

Kesilapan Muhyiddin menggantung Parlimen telah memberi kesan buruk terhadap masa depan demokrasi negara dan ia tidak boleh diulang lagi untuk masa hadapan.

Ada yang mengatakan PRU15 akan mengakhiri krisis Parlimen, lebih-lebih lagi apabila mana-mana gabungan parti akan mendapat majoriti dua pertiga di Parlimen.

Hakikatnya, kemenangan majoriti dua pertiga tidak menjamin Parlimen akan kembali pulih. Kerajaan dua pertiga boleh jatuh sekiranya ahli Parlimen kerajaan menarik sokongan kepada perdana menteri.

Malah, ia akan memberi kuasa besar kepada perdana menteri menjalankan tadbir urus negara tanpa penglibatan efektif Parlimen dalam membuat keputusan.

Kita perlukan perspektif baharu dalam melihat peranan Parlimen. Pihak kerajaan perlu melihat Parlimen sebagai rakan strategi dalam menjalankan pentadbiran negara.

Kerjasama dwipartisan antara kerajaan dan pembangkang di Parlimen boleh menjadi pencetus perubahan kepada sistem yang benar-benar membahaskan isu rakyat dan negara melangkaui persengketaan politik.

Perubahan struktur seperti mewujudkan Jawatankuasa Pilihan Khas (JPK) dan Kaukus Parlimen yang menempatkan ahli Parlimen merentasi parti politik membincangkan isu-isu dasar kerajaan adalah usaha ke arah membina semula asas yang baik dan stabil buat Parlimen Malaysia.

Fungsi Parlimen sebagai rakan strategi dan pelaksanaan tadbir urus dwipartisan adalah hala tuju Parlimen untuk masa hadapan.

Rakyat dan ahli politik perlu bersama-sama setuju bahawa kaedah ini adalah jalan terbaik untuk menambah baik sistem demokrasi berparlimen di Malaysia.

Jika tidak, Parlimen akan terus dipersenda orang ramai atas percaturan politik mengejar kuasa yang tidak memberi kesan kepada rakyat dan pembangunan Malaysia.

 

Published in The Malaysian Insight on 9 March 2021.

Your Cart
SUPPORT US