parlimen-home

Mampukah anak muda mendominasi Parlimen?

By Fakhrurrazi Rashid

Inter Parliamentary Union (IPU) menyambut Hari Parlimen Sedunia ke-132 bertemakan “I Say Yes to Youth in Parliament” (Saya sokong anak muda berada di parlimen).

Tema ini agak menarik kerana ia bersifat pandang ke hadapan meskipun IPU mempunyai pelbagai legasi yang boleh diceritakan.

Sejak beberapa tahun yang lalu, perdebatan mengenai penglibatan anak muda di dalam Parlimen menjadi wakil rakyat semakin diterima ramai, khususnya selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan pindaan Perlembagaan Persekutuan Perkara 119 bagi menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun yang akan menjadi pengubah keadaan politik negara.

Situasi politik negara yang masih di takuk lama telah mendorong anak muda menyertai politik supaya masa depan mereka tidak lagi ditentukan oleh pemimpin politik yang lemah.

Hakikatnya, jumlah ahli Parlimen muda di Dewan Rakyat ketika ini masih lagi rendah.

Berdasarkan komposisi Dewan Rakyat, hanya 12% daripada 222 ahli Parlimen di bawah usia 40 tahun dan hanya dua ahli Parlimen yang berusia bawah 30 tahun, iaitu ahli Parlimen Muar dan Batu.

Berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) 2020, umur penengah di Malaysia adalah 29.2 tahun.

Ia bermaksud separuh daripada populasi di Malaysia adalah golongan berumur 30 tahun ke bawah, tetapi jumlah wakil rakyat di parlimen tidak menggambarkan demografi sebenar.

Maka, perkara ini perlu ditambahbaik dengan segera. Persoalannya, mampukah anak muda mendominasi parlimen sedangkang krisis politik dan pandemik dilihat telah menjadi punca anak muda menjarakkan diri mereka daripada Parlimen dan politik.

Perspektif politik baharu 

Ada segelintir anak muda berhadapan dengan defisit kepercayaan terhadap institusi Parlimen dan politik negara, lebih-lebih lagi ketika pandemik.

Pertama mereka kecewa dengan institusi Parlimen yang dilihat hanya tempat perebutan kuasa.

Kedua, mereka muak dengan ahli politik yang merendahkan dan sukar menerima pandangan anak muda secara terbuka.

Tetapi, pandemik juga telah membina perspektif baharu anak muda dalam menilai baik buruk situasi politik negara dengan lebih menyeluruh.

Pertama, anak muda amat mementingkan politik berasaskan fakta dan sains berbanding seni politik kosong yang tidak berdasarkan fakta dan bersifat populis.

Kedua, pandemik membentuk kumpulan anak muda cenderung membincangkan isu-isu dasar seperti kelestarian alam sekitar, pendidikan, ekonomi, dan kesihatan yang memberi manfaat kepada semua pihak berbanding politik sentimen dan identiti.

Ketiga, penglibatan anak muda dalam sukarelawan dan aktivisme ketika pandemik telah membentuk pandangan mereka yang lebih luas dan memahami setiap cabaran dihadapi rakyat di lapangan.

Meskipun ada anak muda lebih selesa membuat kerja lapangan dan kebajikan sebagai platform terbaik untuk membantu rakyat, bukankah ia lebih baik sekiranya anak muda menggunakan semangat aktivisme yang ada dengan menjadi ahli Parlimen bagi merangka dasar negara yang boleh membantu berjuta rakyat Malaysia?

Perubahan ini adalah satu perkembangan yang baik dan dakwaan bahawa anak muda “kurang makan garam” sudah tidak relevan.

Anak muda juga seharusnya berjiwa besar dan melihat diri mereka sebagai harapan utama rakyat dan negara untuk bangkit daripada krisis yang masih tidak menentu.

Perubahan yang perlu dilakukan

Langkah untuk meramaikan anak muda di dalam parlimen perlu dimulakan dengan “meremajakan” pendekatan parti politik itu sendiri.

Pemimpin muda harus menjadi barisan hadapan parti politik dan diletakkan di kawasan yang berpotensi menang dalam pilihan raya.

Tidak ada jalan pintas kepada anak muda untuk mendominasi parlimen. Suka atau tidak, orang muda perlu bersaing dalam pilihan raya demi menempatkan diri mereka di dalam parlimen.

Kalah atau menang adalah adat pertandingan, tetapi anak muda perlu menawarkan sesuatu yang baik untuk meyakinkan rakyat.

Apabila rakyat menerima idea anak muda dan menterjemahkan ia dalam bentuk undi dengan memenangi pilihan raya, ia sudah cukup membuktikan anak muda mempunyai mandat untuk memimpin negara dan mampu membungkam politik lapuk yang sering menyakitkan hati rakyat.

Saya yakin, parti politik atau mana-mana organisasi yang bersikap terbuka kepada anak muda sebenarnya mampu memenangi  pilihan raya dan membentuk kerajaan yang lebih berfungsi untuk mentadbir negara.

Tetapi, perlu ditegaskan bahawa menambah kuota dan jumlah wakil rakyat muda di parlimen bukanlah indikator tunggal yang menunjukkan politik Malaysia sudah matang.

Realitinya, ada segelintir pemimpin muda yang telah diberi kepercayaan oleh rakyat akhirnya menggunakan kedudukan untuk terpalit dengan rasuah, berfikiran politik lama, dan sanggup menggadaikan prinsip dan maruah demi merebut jawatan sehingga meminggirkan mandat rakyat.

Apa yang lebih penting adalah kita perlukan seramai mungkin pemimpin muda yang jujur dan mampu menyampaikan idea segar demi membina Malaysia yang lebih baik, khususnya dalam fasa pemulihan pandemik.

Rakyat kini mula sedar hanya anak muda satu-satunya harapan yang mereka ada untuk membetulkan hala tuju negara yang kian celaru akibat krisis pandemik dan politik.

Sistem demokrasi berparlimen juga perlu peka kepada anak muda dan bersedia menerima perubahan dengan menyediakan lebih banyak ruang kepada anak muda terlibat dalam proses membuat dasar, tidak kira sama ada dalam sesi libat urus dan siasatan di peringkat jawatankuasa pilihan khas.

Anak muda ini perlu dipandang sebagai rakan strategi Parlimen dan kerajaan dalam tadbir urus negara dan bukan hanya melibatkan diri untuk mengundi pada pilihan raya sahaja.

-Published in The Malaysian Insight on 03 July 2021.