Credit to Berita Harian

Labur dalam sektor penjagaan kesihatan dan pendidikan tangani guna tenaga tak penuh

By Bernama

Kumpulan pemikir Research for Social Advancement (REFSA) berpandangan kerajaan perlu melabur mewujudkan pekerjaan dalam sektor penjagaan kesihatan dan pendidikan bagi menangani potensi peningkatan guna tenaga tidak penuh di Malaysia yang disebabkan pandemik COVID-19.

Penasihat Ekonomi REFSA, Frederik Paulus berkata pengembangan sistem pendidikan awam dan penjagaan kesihatan awam akan mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan pada ketika apabila permintaan buruh sektor swasta dilihat lemah.

“Apa yang lebih penting, pengembangan sektor-sektor ini akan juga membantu Malaysia mendepani dua cabaran jangka panjang, iaitu perubahan teknologi dan demografi,” katanya semasa taklimat media maya REFSA bertajuk “Powering through the pandemic: Ushering in a new paradigm with 2021 Budget”, di sini, hari ini.

Mengikut Kajian Perangkaan Ekonomi Malaysia yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan baru-baru ini, kadar guna tenaga tidak penuh berkaitan masa di Malaysia meningkat dengan ketara kepada 2.5 peratus pada suku pertama 2020 dan semakin meningkat kepada 2.8 peratus pada suku kedua.

Bilangan guna tenaga tidak penuh berkaitan masa meningkat berganda berbanding suku sebelumnya kepada 383, 300 individu pada suku pertama 2020, manakala bilangan tertinggi adalah pada suku kedua 2020 berjumlah 412 100 individu.

Oleh itu, kata Paulus, kerajaan boleh mempercepat proses pencarian dan kemahiran semula dengan mewujudkan lebih banyak ruang bagi rakyat Malaysia untuk meneruskan pendidikan peringkat tinggi di institusi pengajian tinggi awam termasuk bagi latihan vokasional.

“Jika usaha itu dilaksanakan, kerajaan boleh mengambil khidmat mereka dalam projek yang dianggap perlu oleh kerajaan termasuk inisiatif lain seperti pelaburan ekonomi hijau,” katanya.

Mengenai penjagaan kesihatan, beliau berkata mewujudkan pekerjaan tambahan termasuk dalam sektor kerajaan seperti doktor, jururawat dan penolong perubatan dilihat sebagai penting terutamanya dalam kes kecemasan kesihatan seperti pandemik COVID-19.

Bagi mencapai objektif ini, Paulus berkata REFSA menjangkakan kerajaan menaikkan peruntukannya dalam penjagaan kesihatan sebanyak dua peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) yang akan membawakan perbelanjaan kesihatan Malaysia berbanding nisbah KDNK kepada purata bagi negara pendapatan tinggi-sederhana pada enam peratus, berbanding empat peratus sekarang.

“Walaupun keadaan ekonomi yang sukar ketika ini, kerajaan juga memberi peluang unik, dalam bentuk ruang fiskal tambahan, untuk menyokong pekerjaan dan pendapatan dalam tempoh jangka pendek dan memulakan peralihan kepada ekonomi lebih hijau, lebih mampan dan lebih saksama dalam tempoh jangka panjang,” katanya.

– Published in Bernama on 4 November 2020

Your Cart
SUPPORT US