PRESS
ROOM

SEP 13, 2016

Kes culik terbaru: 3 negara perlu cepat muktamad rundingan rondaan di Sabah


KUALA LUMPUR: Malaysia, Indonesia dan Filipina tiada pilihan lain kecuali mempercepatkan persetujuan rondaan bersama di kawasan perairan Laut Sulu dan Laut Sulawesi, kata penganalisis pertahanan Lam Choong Wah.

Felo kanan di Kajian Kemajuan Sosial (Refsa) itu berkata peringkat akhir perbincangan antara Malaysia, Filipina dan Indonesia mengambil masa terlalu lama dan ia sepatutnya dipercepatkan.

“Selepas insiden terbaru ini, ketiga-tiga pihak menggalas tanggungjawab besar mempercepatkannya agar rondaan bersama dapat bermula secepat mungkin,” katanya.

Rundingan antara 3 negara kini berada di peringkat akhir.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas insiden penculikan terbaru di kawasan perairan Pulau Pom Pom, Semporna Sabah kira-kira 10.40 malam, 10 September lalu.

Tiga nelayan warga Filipina, iaitu Loloi Alpin, 30 tahun, Sami, 30-an, dan Masurin, 50-an, diculik 7 lelaki bersenjata ketika menangkap ikan bersama 13 lagi anak kapal.

Memetik laporan The Diplomat 6 Mei lalu, selain rondaan rutin bersama ketiga-tiga negara juga akan mewujudkan pusat krisis di kawasan masing-masing, serta ‘hotline’ yang menghubungkan ketiga-tiga pihak untuk menjamin perhubungan pantas ketika kecemasan.

Laporan Jakarta Post 18 April lalu pula memetik Panglima Tentera Nasional Indonesia Jeneral Gatot Nurmantyo sebagai berkata, mana-mana tentera Malaysia, Indonesia dan Filipina dibolehkan mengambil tindakan jika mengesyaki berlaku aktiviti jenayah di kawasan sempadan bersama 3 negara.

Lam berkata hanya kerjasama 3 negara yang dapat menjamin keselamatan pantai timur Sabah, selepas Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) yang ditubuhkan sejak 2013 oleh Malaysia gagal menghentikan penculikan.

“Mengapa bot itu berada di kawasan perairan ketika malam? Adakah ini menunjukkan perintah berkurung (dari 7 malam hingga 5 pagi) gagal dilaksanakan Esscom secara menyeluruh,” katanya yang juga penulis buku ‘Are We Protected? Malaysian Defence Uncovered’ terbitan Refsa.

Pada 9 Julai lalu, 3 nelayan warga Indonesia, Lorence Koten, 34; Teo Dorus Kopong, 42; dan Emanuel, 46, diculik 5 individu bersenjata di kawasan perairan berhampiran Felda Sahabat, Lahad Datu juga selepas waktu perintah berkurung, iaitu kira-kira 11.40 malam.

Katanya, soal infrastruktur sepatutnya tidak menjadi isu memandangkan kerajaan mengeluarkan peruntukan besar kepada Esscomm sejak beberapa tahun lalu.

“Kita tidak tahu bagaimana Esscom menggunakan peruntukan, mungkin ini masa yang sesuai untuk menggesa agar mereka lebih telus tentangnya.

“Walaupun kedengaran kejam dan seperti tidak bersimpati kepada keluarga mangsa, akur kepada permintaan tebusan oleh penculik bukan penyelesaian yang baik.

“Hanya usaha bersama ketiga-tiga negara, melalui perkongsian maklumat dan rondaan bersama, yang menjamin mereka dapat dikembalikan,” katanya.

Your Cart
SUPPORT US