Penyelidiknya, Jaideep Singh berkata jalan keluar daripada penguncupan disebabkan pandemik adalah dengan melaksanakan langkah dasar pengembangan fiskal yang lebih langsung dan strategik.
Beliau berkata usaha itu dilakukan untuk menggalakkan penggunaan serta pelaburan sektor swasta dab bukannya untuk membuat dakwaan tidak berasas mengenai situasi fiskal kerajaan.
“Sekarang bukanlah waktu untuk mewujudkan kebimbangan yang tidak perlu. Kita sudah boleh menjangkakan peningkatan hasil kerajaan melangkaui unjuran Belanjawan 2021, dengan harga minyak mentah Brent meningkat kepada lebih US$60 setong hari ini daripada US$42 setong yang diandaikan semasa merangka belanjawan itu,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Semasa laporan ini ditulis, harga minyak mentah Brent meningkat 1.02 peratus kepada US$64.32 setong.
Jaideep berkata cara mudah untuk meneliti kedudukan fiskal kerajaan secara konteks adalah menilai keseimbangan fiskal keseluruhan berasaskan perbezaan di antara hasil dengan perbelanjaan kerajaan sebagai sebahagian daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
“Betul, langkah rangsangan telah mendorong perbelanjaan lebih tinggi dalam keadaan asas hasil yang lebih rendah, dengan jangkaan keseimbangan fiskal berada pada 6.0 peratus daripada KDNK pada 2020 dan berpotensi meningkat kepada 6.5 peratus tahun ini berbanding 3.4 peratus pada 2019, menurut dan mengekstrapolasi daripada Prospek Ekonomi 2021,” katanya.
– Published in Bernama and Ismaweb on 14 April 2021. View news in English: FMT , Malaysiakini, The Vibes , Focus Malaysia. For News in Mandarin: 当今大马 ,热点 Hotspot.