r17a

Kerajaan baharu Johor perlu fokus pulihkan ekonomi rakyat

By Fakhrurrazi Rashid

Pada 25 Januari 2022, kerajaan Singapura telah mengumumkan kenaikan gaji pekerja dalam sektor pembersihan kepada S$3,260 atau bersamaan RM 10,060 pada tahun 2028. Mereka akan mula menerima kenaikan gaji secara berperingkat bermula pada tahun 2023 dengan jumlah S$2,210 (RM6, 887).

Ia bermaksud, pekerja sektor pembersihan di Singapura akan menikmati peningkatan gaji sebanyak 48 peratus dalam tempoh enam tahun. Keputusan ini diambil oleh kerajaan Singapura bagi menaik taraf dan merapatkan jurang gaji pekerja pembersihan dengan sektor lain.

Kerajaan Singapura juga telah meningkat gaji minimum bagi pemegang pas Kebenaran Pekerja (EP) dinaikkan daripada S$4,500 kepada S$5,000 (sekitar RM15,000). Perubahan ini dibuat Singapura bagi meningkatkan motivasi dan kualiti tenaga kerja di Singapura.

Ironinya, cerita tentang gaji di Malaysia agak berbeza. Kerajaan dan majikan masih berat hati dan lewat untuk meningkatkan gaji pekerja ketika rakyat terbeban dengan kesan krisis Covid-19, khasnya usaha meningkatkan gaji minimum kepada RM 1,500.

Ada pihak mendakwa menaikkan gaji pekerja boleh menyebabkan syarikat gulung tikar dan menyumbang kenaikan harga barang. Faktanya, kos sara hidup rakyat di Malaysia telah meningkat meskipun gaji pekerja tidak berubah sejak 10 tahun yang lalu.

Ia sekaligus mencerminkan perbezaan pemikiran dan keberanian pemimpin kedua-dua negara untuk membantu golongan pekerja. Malah, ia turut membuktikan mentaliti pemimpin dan majikan Malaysia masih kebelakang dalam mengubah nasib pekerja, khasnya dalam fasa pemulihan Covid-19.

Tidak perlu pergi jauh untuk membandingkan Singapura. Lihat sahaja kesan Covid-19 kepada pekerjaan dan gaji di negeri Johor. Berdasarkan Laporan Sosioekonomi Negeri Johor 2020 Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kadar pengangguran di Johor meningkat kepada 3.5 peratus pada tahun 2020.

Angka pengangguran di Johor ini paling tiga dalam tempoh tiga tahun jika dibandingkan tahun 2017 (3.4 peratus), 2018 (3.0 peratus), dan 2019 (2.7 peratus). Penengah gaji bagi negeri Johor menurun kepada RM 2,124 pada tahun 2020 berbanding RM 2,512 sebulan akibat pandemik. Bermaksud, separuh pekerja di Johor bergaji bawah RM 2,500 sebulan.

Sewaktu penggulungan Belanjawan 2022 Johor, bekas Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad memaklumkan kepada Dewan Negeri (DUN) Johor bahawa kadar miskin tegar negeri itu telah meningkat kepada 5.9 peratus berbanding 3.9 peratus pada tahun 2019 akibat Covid-19.

Kos sara hidup yang tinggi di Johor menyebabkan 1,435 orang guru sekolah menengah di Johor membuat permohonan untuk bertukar di negeri lain pada tahun 2021. Situasi ini memberi gambaran umum tentang bebanan hidup di Johor, termasuk penjawat awam.

Kerajaan Johor telah memperuntukkan hampir RM 500 juta pakej rangsangan ekonomi bagi mengatasi krisis pandemik yang dihadapi bangsa Johor. Namun, cabaran ekonomi Johor masih lagi tidak menentu apabila peningkatan kes Covid-19 disebabkan viran baharu boleh menjejaskan ekonomi rakyat dalam fasa pemulihan.

Realitinya, sebahagian besar anak Johor mahu kembali bekerja di negeri sendiri. Pandemik teah mengajar mereka keperitan berjauhan dengan keluarga dan jaminan kerja yang tidak menentu. Mereka juga sedar bahawa satu hari nanti mereka akan pulang ke Johor untuk membina keluarga bagi meneruskan kehidupan.

Persoalannya, sejauh manakah kerajaan negeri mampu menyediakan pekerjaan dengan gaji lebih baik bagi memastikan kesejahteraan dan kemakmuran hidup Bangsa Johor?

Pilihan raya negeri Johor (PRN) Johor telah menyaksikan Barisan Nasional (BN) kembali menjadi kerajaan negeri Johor dengan menguasai dua pertiga majoriti Dewan Negeri (DUN) Johor. Bangsa Johor telah bersuara, maka sudah sampai masa kerajaan BN perlu menunaikan janji manifesto untuk membawa kestabilan masa depan negeri Johor agar rakyat dapat menikmati kehidupan yang lebih baik.

Fokus utama kerajaan BN Johor tidak lain lagi adalah meningkatkan kemakmuran ekonomi Johor, khususnya dalam meningkatkan peluang pekerjaan kepada pekerja tempatan, khususnya anak muda. Perkara ini selaras dengan Teras 1, Ikhtiar Johor yang merupakan manifesto BN.

Ini satu cabaran buat kerajaan BN Johor yang perlu berfikir di luar kerangka biasa, mencipta peluang pekerjaan berkualiti dengan gaji dan jaringan keselamatan sosial yang lebih baik buat Bangsa Johor. Anak muda Johor sepatutnya layak menerima gaji dan pekerjaan bermaruah yang boleh menandingi negara jiran Singapura.

Apa yang lebih jelas, selepas pandemik, warga Johor memerlukan sebuah kerajaan negeri yang mampu menyediakan peluang ekonomi yang lebih baik. Kerajaan BN Johor tidak seharusnya berbangga apabila tenaga anak jatinya ‘disewa’ untuk kepentingan ekonomi negara lain.

Pembukaan sempadan pada 1 April tentunya akan merancakkan lagi ekonomi Johor. Kerajaan BN Johor perlu membuat persiapan rapi supaya pekerja tempatan yang berulang-alik Johor-Singapura tidak terjejas teruk.  Perbincangan bersama pemegang taruh, pembangkang, dan rakyat penting bagi mencari solusi bersama mengatasi isu-isu yang akan berlaku nanti, khususnya dalam mengurangkan risiko penularan Covid-19.

Kedudukan selesa kerajaan BN di DUN Johor seharusnya menjadi kekuatan untuk menarik pelabur domestik dan antarabangsa di Johor yang boleh mencipta pekerjaan dan gaji yang lebih tinggi buat anak tempatan. Jika pelaburan tersebut tidak mampu memberi kesan positif kepada rakyat Johor, tentunya kerajaan BN salah mengemudi negeri Johor.

Sudah pasti, kerajaan BN Johor akan melaksana dan menambah baik Pelan Pembangunan Mampan  Johor (PPMJ) 2030, yakni satu pelan yang inklusif  dirangka bekas Menteri Besar, Hasni Mohammad, dalam agenda memacu kemajuan ekonomi dan membangunkan Johor yang lebih lestari. Pelan ini akan menjadi pemacu utama kerajaan baharu pimpinan Datuk Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor ke-19.

Covid-19 telah menyedarkan rakyat tentang kesan buruk mempunyai kerajaan yang tidak berfungsi dan untuk membangunkan ekonomi di Johor. Pemimpin yang masih berfikir dengan cara lama dengan mengekalkan sistem ekonomi yang sedia ada akan memberi kesan buruk kepada kesejahteraan rakyat dan merapuhkan lagi sistem ekonomi Johor yang terjejas teruk akibat Covid-19.

Sebab itu, bangsa Johor benar-benar memerlukan sebuah kerajaan yang bertanggungjawab dan mampu membangunkan ekonomi negeri sendiri. Jika kerajaan baru negeri Johor berjaya mengatur langkah dengan betul, tentunya kemakmuran Johor dapat dikembalikan. Jika tidak, kehidupan Bangsa Johor akan lebih tertekan dengan keadaan ekonomi dan geopolitik yang tidak menentu.

 

-Published in Utusan Malaysia on 21 March 2022.

Your Cart
SUPPORT US