Menara

Kenyataan Akhbar REFSA: Kerjasama Dwipartisan Eksekutif-Parlimen Kaedah Terbaik Ketika Darurat

Kuala Lumpur | 18 Februari 2021  

Kenyataan akhbar oleh Fakhrurrazi Rashid, Koordinator Penyelidik, Research for Social Advancement (REFSA)

Kerjasama Dwipartisan Eksekutif-Parlimen Kaedah Terbaik Ketika Darurat

Badan pemikir progresif, Research for Social Advancement (REFSA), menyokong saranan ASEAN Parliamentarians for Human Rights (APHR) yang menggesa kerajaan Malaysia mengembalikan persidangan parlimen untuk memastikan tadbir urus negara dilaksanakan secara telus dan bertanggungjawab[1] agar dasar dibuat kerajaan dapat membantu rakyat dan negara ketika menghadapi krisis pandemik.

YAB Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama kedua-dua Tuan Yang di-Pertua Dewan  Rakyat dan Dewan Negara, Datuk Azhar Azizan Harun dan Senator Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr Rais Yatim, perlu menyahut saranan APHR untuk memberi ruang kepada parlimen menjalankan peranan semak dan imbang terhadap tadbir urus pihak eksekutif.

REFSA mencadangkan pihak eksekutif melihat parlimen sebagai rakan strategik dan menggunakan pendekatan pentadbiran secara dwipartisan dalam proses membuat dasar bersama ahli parlimen merentasi perbezaan parti politik. Pendekatan dwipartisan ini telah disarankan oleh pelbagai pihak termasuk Pengerusi REFSA, Liew Chin Tong pada awal tahun lalu sebagai satu solusi dari segi kerjasama dwipartisan kerajaan dan ahli parlimen menghadapi krisis COVID-19.

Kami turut menyokong cadangan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Dato’ Sri Azalina Othman Said agar menubuhkan sebuah Jawatankuasa Parlimen Khas Bipartisan yang dianggotai ahli parlimen kerajaan, pembangkang dan ahli Dewan Negara untuk menyemak dan meneliti tadbir urus kerajaan ketika pandemik dan darurat.

Perkara ini pernah dilaksanakan oleh parlimen New Zealand dengan penubuhan Epidemic Response Committee: Covid-19 dianggotai ahli parlimen kerajaan dan pembangkang untuk menyemak ketelusan tadbir urus kerajaan selepas parlimen mereka terpaksa ditangguhkan akibat pengisytiharaan perintah berkurung tahap penularan kritikal di New Zealand.

Pihak kerajaan juga perlu menjelaskan komitmen untuk melaksanakan persidangan parlimen secara maya berikutan penularan COVID-19 seperti yang telah dinyatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan pada 5 November 2020 di Dewan Rakyat[2]. Kelewatan parlimen mengadaptasi teknologi bagi melancarkan urusan parlimen secara maya selepas setahun pandemik berlaku hanya akan merugikan rakyat.

Pendekatan dwipartisan ini selari dengan aspirasi rakyat yang menuntut wakil rakyat dan ahli pentadbiran bersama-sama membahaskan isu-isu berkepentingan rakyat dan negara. Kerjasama dwipartisan adalah pendekatan yang pragmatik dan mampu membina keyakinan rakyat terhadap hala tuju negara demi membina semula asas yang baik buat Malaysia untuk bangkit daripada krisis kesihatan dan ekonomi. Rakyat Malaysia selayaknya menerima pemimpin kerajaan dan ahli parlimen yang mampu bekerjasama dengan lebih baik ketika COVID-19 dan tempoh darurat.

[1]https://aseanmp.org/2021/02/16/malaysias-parliament-must-be-allowed-to-sit-during-state-of-emergency-southeast-asian-lawmakers-say/

[2]https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/11/750291/kerajaan-teliti-sidang-dewan-rakyat-secara-maya

[For Press Statement in English click here]

Your Cart
SUPPORT US