maxresdefault

Kenapa undi percaya penting?

By Fakhrurrazi Rashid

Saya membaca ulasan Profesor Datuk Shamrahayu Ab Aziz mengenai “Undi percaya PM bukan untuk beri pengesahan perkenan Agong” di Malaysiakini pada 22 Ogos 2021. Meskipun penerangannya agak jelas, namun saya berpendapat pandangan tersebut perlu diteliti semula dalam spektrum yang lebih luas, khususnya dalam memahami konteks politik pada hari ini.

Apa yang membimbangkan adalah pandangan pakar perlembagaan mempunyai jurang yang begitu besar dengan realiti sebenar, seolah-olah tidak mengambil kira aspirasi rakyat yang mahu pandangan segar untuk mengatasi krisis politik negara secara demokratik.

Beliau menyatakan bahawa parlimen tidak mempunyai peranan dalam mengesahkan pelantikan Perdana Menteri yang telah dilakukan oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA). Shamrahayu turut menekankan bahawa undi percaya tidak terkandung dalam perlembagaan persekutuan dan iai tidak mengikat sehingga ia menjadi undang-undang yang diperakui mahkamah.

Secara umumnya, dakwaan Shamrahayu yang mengatakan parlimen tidak boleh mengesahkan pelantikan Perdana Menteri oleh YDPA tidak timbul. Hakikatnya, semua parti politik di Malaysia telah menerima proses pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri atas perkenan YDPA.

Untuk mendakwa undi percaya tidak perlu dilakukan kerana tidak termaktub dalam perlembagaan adalah satu hujah yang sangat tempang. Kalau difikirkan secara logik, penggunaan surat akuan bersumpah (SD) dalam memilih Perdana Menteri juga tidak termaktub dalam perlembagaan Persekutuan.

Cuma, krisis politik di Perak pada tahun 2009 telah meletakkan duluan (precedent), membenarkan penggunaan akuan bersumpah (SD) bagi memilih Menteri Besar atau Perdana Menteri sehingga hari ini. Amalan yang dimulakan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Dato’ Sri Najib Razak ketika itu,  telah menimbulkan pelbagai keraguan dalam kalangan rakyat kerana prosesnya didakwa tidak telus, mudah dimanipulasi, dan meminggirkan fungsi parlimen itu sendiri.

Kita harus memahami bahawa Malaysia mengamalkan sistem demokrasi berparlimen ala Westminster. Peranan utama parlimen Westminster adalah sebagai “provider to the government’ atau membentuk kerajaan demokratik. Ahli parlimen yang dipilih menerusi pilihan raya perlu menentukan pihak mana yang mempunyai kepercayaan membentuk kerajaan yang dipimpin oleh Perdana Menteri.  Semangat ini yang menatijahkan Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan.

Maka, undi percaya adalah amalan biasa berdasarkan konvensyen parlimen bagi memastikan kerajaan mempunyai kepercayaan meneruskan pentadbiran negara.  Di parlimen Malaysia, undi percaya sudah dilakukan sebanyak dua kali, iaitu ketika Tun Hussein Onn dan Tun Abdullah Badawi pada tahun 1976 dan 2003.

Persoalannya, mengapa undi percaya ini begitu penting untuk dibentangkan Dato’ Sri Ismail Sabri di parlimen?

Pertama, untuk memastikan jemaah menteri yang dibentuk Perdana Menteri benar-benar berfungsi. Ahli parlimen perlu menilai sejauh mana kemampuan kabinet dibentuk Ismail Sabri untuk menjalankan tadbir urus negara. Ia penting bagi mengelak kesilapan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang membentuk kabinet begitu besar tetapi gagal mentadbir negara.

Sekiranya Ismail Sabri mahu mengekalkan kepercayaan parlimen, maka beliau perlu memikirkan sebuah kabinet yang berfungsi dan berintegriti. Jika tidak, beliau akan mendapat tekanan dalam usul undi percaya yang membolehkan kedudukannya goyah.

Kedua, undi percaya juga penting bagi mewujudkan persepsi orang awam bahawa parlimen dan kerajaan bersedia bekerjasama untuk mengatasi cabaran dihadapi negara. Apabila Perdana Menteri mempunyai kepercayaan parlimen di, maka segala keputusan dibuat kerajaan bertambah kukuh dan memudahkan pelaksanaan dasar kerajaan.

Usul undi percaya ini dapat mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap fungsi demokrasi berparlimen yang selama ini dipinggirkan oleh kerajaan Muhyiddin Yassin.

Apa yang penting, usul undi percaya ini telah ditegaskan oleh YDPA dalam kenyataan media pada 18 Ogos 2021. Tuanku menyatakan Perdana Menteri perlu membawa usul undi percaya bagi ‘mengabsahkan beliau (Perdana Menteri) mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat’.

Ini membuktikan bahawa YDPA turut mengiktiraf peranan parlimen dalam proses pelantikan Perdana Menteri.  Maka, apakah dakwaan Shamrahayu dan mereka yang menyatakan undi percaya tidak perlu dibawa ke  parlimen adalah untuk menidakkan kebjiksanaan budi bicara YDPA dalam menjalankan tugasnya?

Hakikatnya, parlimen adalah institusi penting dalam menyelesaikan masalah politik negara. Dalam keadaan demokrasi 50-50 di Malaysia, di mana tiada gabungan parti politik mampu membentuk majoriti dua pertiga, parlimen akan menjadi medan kerjasama dwipartisan yang akan menentukan kestabilan politik negara untuk masa akan datang.

Menyedari situasi ini, apakah rakyat Malaysia tidak layak menerima ulasan segar dan inklusif daripada pakar perlembagaan? Ya, tentu sekali mereka layak. Tetapi, sejauh manakah perubahan ini dapat disambut baik oleh pakar perlembagaan dan pengulas politik yang lain?

Suka saya memetik pandangan Steven Levitsky dan Daniel Ziblatt, profesor Sains Politik dan Pentadbiran, Universiti Harvard dalam buku mereka How Democracies Die yang menyebut bahawa usaha pemimpin dan rakyat mempertahankan perlembagaan negara perlu diikuti dengan amalan nilai-nilai demokrasi. Tanpa nilai demokrasi ini, semak dan imbang terhadap perlembagaan sukar dilaksanakan dan pihak berkuasa akan menggunakan institusi rakyat dan undang-undang sebagai senjata politik untuk menumbangkan musuhnya.

Ini masalah yang berlaku dalam melihat kepentingan Undi Percaya. Pandangan pakar perlembagaan didakwa gagal melihat konteks yang lebih luas, seolah-olah meminggirkan nilai-nilai demokrasi, dan membaca perlembagaan secara literal tanpa menerapkan semangat yang terkandung dalam undang-undang tertinggi negara.

Pakar perlembagaan atau pemimpin negara tidak boleh sama sekali mendakwa demokrasi atau satu undang-undang itu sudah sempurna dan baik apabila ia mengikut kehendak mereka dan menafikannya ketika demokrasi tersebut tidak berpihak kepada golongan yang mereka tidak bersetuju.

Sudah tiba masanya analisis politik dan ulasan tentang perlembagaan Persekutuan mengalami perubahan untuk memperkukuhkan fungsi dan peranan demokrasi berparlimen di Malaysia. Perlembagaan Persekutuan harus dibaca dengan mengambil kira konteks dan perubahan-perubahan baharu politik negara yang memerlukan pandangan ke hadapan agar kesilapan lampau tidak berulang.

 

-Published in Utusan Malaysia on 30 August 2021.

 

 

Your Cart
SUPPORT US