553

Jalan demokrasi mampu selamatkan integriti negara

By Fakhrurrazi Rashid

Memorandum Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM (KP SPRM)  Azam Baki pada 9 Januari mengundang pelbagai reaksi negatif orang awam.

Mereka mendakwa apa yang berlaku kepada KP SPRM adalah tomahan dan serangan dibuat bermotifkan politik dendam bagi menjatuhkan kredibiliti SPRM.

Pendirian ini sungguh janggal. Badan yang sepatutnya menegakkan integriti tadbir urus negara kini bergerak seperti “parti politik” dan sanggup mempertahankan pemimpin mereka yang didakwa memiliki saham dan kepentingan dalam syarikat.

Sebelum itu, Abu Zahar Ujang, pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) mendakwa KP SPRM bersih atas dakwaan tentang kes konflik berkepentingan tersebut.

Malangnya, pada 8 Januari 2022, keenam-enam ahli LPPR menafikan persetujuan mereka dengan Abu Zahar dan beranggapan ia hanyalah pandangan peribadi pengerusi LPPR semata-mata.

Bagaimana perkara ini boleh terjadi? Adakah LPPR tidak mempunyai Whatsapp Group untuk berbincang sebelum mengeluarkan kenyataan?

Pada 8 Januari itu juga, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pula tidak melihat keperluan mempunyai sebuah badan bebas menyiasat kes ini.

Ismail Sabri turut menyatakan Azam tidak perlu bercuti daripada jawatannya dan bertegas beliau tidak boleh campur tangan sebagai simbol menghormati SPRM sebagai badan yang “bebas”.

Lebih musykil lagi apabila perdana menteri dan SPRM mendakwa mereka yang mendesak Azam berundur dan menjalankan siasatan secara bebas, adalah pihak yang tidak adil dan dianggap musuh kepada institusi awam.

Kenyataan ini membuktikan kerajaan Ismail Sabri dan SPRM sendiri mengambil jalan “politik” dalam menyelesaikan isu integriti SPRM.

Walhal, kerajaan Ismail Sabri boleh sahaja menggunakan pendekatan lebih profesional, telus dan demokratik untuk menyelesaikan isu ini. Soalnya, wujudkah pendekataan seperti itu?

Perdana menteri sudah lupa?

Sewaktu Ismail Sabri menjadi ketua pembangkang di era pentadbiran Pakatan Harapan (PH), beliau merupakan orang paling lantang mengkritik pelantikan Latifah Koya sebagai KP SPRM.

Ismail Sabri menyatakan lantikan tersebut mempunyai konflik berkepentingan kerana Latifah merupakan ahli PKR yang ketika itu sudah menjadi kerajaan.

Atas desakan rakyat ketika itu, pada 4 Julai 2019, Latifah berhadapan dengan siasatan Jawatankuasa Pilihan Khas melantik Jawatan Utama Perkhidmatan Awam (JPK JUPA) yang dianggotai oleh ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

Dan, salah seorang anggota JPK JUPA ketika itu ialah Ismail Sabri sendiri.  Adakah perdana menteri lupa perkara ini?

Selepas siasatan, JPK JUPA mendapati pelantikan Latifah berpatutan dengan Seksyen 5 (1) Akta SPRM 2009 dan mencadangkan agar peranan JPK JUPA dapat menjalankan siasatan sebelum sesuatu lantikan kepada jawatan utama perkhidmatan awam dilakukan jemaah menteri.

Jadi, mengapa kali ini Ismail Sabri berpendirian berbeza? Mengapa tidak menyuruh Azam berhadapan siasatan menerusi JPK Parlimen atau badan bebas atas konflik berkepentingan seperti dilalui Latifah?

Pendirian “pilih bulu” kerajaan Ismail Sabri dalam menyelesaikan isu integriti SPRM menambahkan lagi ketidak percayaan orang awam terhadap institusi awam.

Jika kerajaan gagal mengatasi isu integriti ini, bagaimana rakyat boleh mempercayai kerajaan dalam menguruskan ekonomi mereka secara telus dan jujur?

Apa yang lebih kritikal sekarang adalah kebanyakan ahli Parlimen penyokong kerajaan, baik Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) terus berdiam diri dalam hal ini.

Sikap ahli parlimen penyokong kerajaan ini akan menjadi barah yang menjatuhkan maruah negara dan menghampakan rakyat.

Jalan penyelesaian sudah ada

Sebenarnya, terdapat pelbagai cara untuk menyiasat isu ini secara bebas dan telus.

Isu ini sepatutnya disiasat oleh Jawatankuasa Khas Menangani Rasuah (JKMR) yang kini dipengerusikan oleh Yang di-Pertua Dewan Negara, Rais Yatim dan enam anggota yang terdiri daripada ahli parlimen kerajaan dan pembangkang.

JKMR ditubuhkan berdasarkan Seksyen 14 Akta SPRM 2009 yang berperanan seperti menasihati perdana menteri tentang masalah rasuah di Malaysia dan mendapatkan sebarang ulasan atau penjelasan mengenai isu berkaitan SPRM dan LPPR.

Jadi, mengapa JKMR tidak bersuara menyiasat kenyataan Abu Zahar dan menyoal siasat ke atas KP SPRM yang terpalit dengan konflik berkepentingan?

Insiden ini menunjukkan kepentingan menjadikan SPRM sebagai badan bebas dan ia perlu diletakkan di bawah pengawasan institusi parlimen berbanding Jabatan Perdana Menteri.

Tetapi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen), Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyatakan idea tersebut sukar dilaksanakan.

Wan Junaidi perlu sedar, pada 2 September 2020, Jawatankuasa Kabinet Khas Anti Pencegahan Rasuah yang dipengerusikan Muhyiddin Yassin  bersetuju kuasa untuk melantik KP SPRM diserahkan kepada Parlimen dengan meminda Seksyen 5 (1) Akta SPRM 2009. Malah, perkara ini diketahui sendiri oleh Azam sendiri.

Semua cadangan pembaharuan SPRM ini telah dinyatakan dalam Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) 2019 – 2023 yang disokong secara dwipartisan antara kerajaan dan pembangkang sewaktu pentadbiran PH.

Ternyata, dakwaan Wan Junaidi tidak berasas. Apa yang perlu dibuat kerajaan Ismail Sabri adalah melaksanakan pembaharuan yang telah direncanakan.

Setiap pindaan akta melibatkan usaha melawan rasuah, ketirisan, dan salah guna kedudukan, khasnya SPRM, perlu dibahas dan dipinda segera di Parlimen untuk persidang kali ini.

Seperti mana pantas dan pentingnya Ismail Sabri mahu memertai MoU persefahaman dengan pembangkang bagi menyelamatkan kedudukannya, selaju itu juga rakyat mahu pembaharuan menyeluruh SPRM ini disegerakan.

Jika kerajaan Ismail Sabri komited dengan pendekatan terbuka dan profesional dalam isu ini, maka ia dapat mengembalikan kepercayaan rakyat kepada SPRM.

Jika tidak, masalah integriti dan rasuah di Malaysia kian buruk. Jalan penyelesaian bermaruah sudah ada di depan kita. Tidak masuk akal jika isu integriti SPRM ini terus dipolitikkan kerajaan.

 

-Published in The Malaysian Insight on 11 January 2022.

Your Cart
SUPPORT US