COMMENTARY

MAY 25, 2019

Idea kemakmuran bersama bermula dengan penstrukturan pekerjaan dan gaji rakyat

By Fakhrurrazi Rashid

PADA 9 Mei 2019, dalam ucapan sempena sambutan satu tahun pemerintahan Pakatan Harapan, Perdana Menteri megutarakan idea ‘kemakmuran bersama’ yang mempunyai tiga tunjang utama iaitu;

a. Merapatkan jurang ekonomi antara kaum, kelas, wilayah dan rantaian bekalan

b. Mewujudkan ekonomi yang berstruktur semula, progresif, berpaksikan ilmu dan bernilai tinggi dengan penyertaan masyarakat yang menyeluruh.

c. Menjadikan Malaysia negara yang bersatu, makmur dan bermaruah seterusnya muncul sebagai paksi ekonomi Asia.

Ketiga-tiga tunjang ini dilihat tepat ketika Malaysia sedang menyusun semula haluan ekonomi negara. Pada fasa awal ini, gagasan ini harus memberi fokus utama menstrukturkan semula kualiti pekerjaan dengan kadar gaji yang lebih setimpal.

Pekerjaan merupakan pendekatan penting dalam memastikan rakyat dapat berkongsi kemakmuran negara bersama. Gaji yang setimpal dalam setiap pekerjaan merupakan satu jaminan mereka boleh menikmati kehidupan yang stabil dan makmur.

Kerajaan dan industri harus sedar bahawa peralihan kepada pekerjaan yang berkemahiran tinggi meningkat secara perlahan dan tidak berubah. Jika dilihat pada tahun 2017, 4.7 peratus atau 64,402 daripada 1.4 juta kekosongan pekerjaan untuk mereka berkelulusan universiti berbanding 86.9 peratus pekerja berkemahiran sederhana.

Pada tahun 2018, sebanyak 55.1 peratus (7.7 juta orang pekerja) terdiri daripada mereka berkelulusan pendidikan menengah, berbanding 28.6 peratus (3.7 juta orang pekerja) berkelulusan universiti. Ini ialah realiti persekitaran pekerjaan di Malaysia yang masih bergantung kepada pekerjaan berkemahiran rendah dan sederhana.

Walaupun pekerjaan berkemahiran rendah dan sederhana bertambah, namun kadar gaji mereka masih rendah. Walhal, pekerja kedua-dua kemahiran ini merupakan penyumbang terbesar peningkatan bahagian pendapatan pekerja kepada KDNK negara secara keseluruhan.

Pertumbuhan KDNK sektor pembinaan dari tahun 2011 hingga 2016 telah meningkat 9.2 peratus, antara yang tertinggi berbanding sektor lain. Tetapi, pekerja dalam sektor ini dibayar hanya RM 1,500 sebulan, sedangkan pertumbuhan KDNK yang pesat ini melayakkan mereka mendapat gaji bulanan RM 3,000 ke atas, seperti yang terdapat Laporan Tahunan Bank Negara Malaysia 2018.

Berbeza pula dengan sektor perkhidmatan yang hanya meningkat 5.9 peratus dalam tempoh lima tahun, iaitu kurang empat kali ganda daripada sektor pembinaan, tetapi pekerja mereka memperolehi gaji sebanyak RM 3,000 ke atas.

Jelas sekali bahawa terdapat jurang gaji yang tidak munasabah dan ketidakadilan kepada pekerja berkemahiran rendah. Beban ini dirasai oleh golongan B40 yang membelanjakan hampir 70 peratus pendapatan mereka untuk barang keperluan dan tentunya mereka juga tidak mampu mempunyai simpanan yang mencukupi.

Pada fasa awal ini, idea ‘kemakmuran bersama’ ini perlukan pendekatan baharu yang substentif, dengan mengambil kira cabaran ekonomi global dan domestik untuk mencipta rakyat yang mempunyai pekerjaan yang stabil dengan gaji yang setimpal.

Langkah pertama yang perlu dibuat adalah dengan mengkaji dan meningkatkan kadar gaji bagi pekerja berkemahiran rendah. Mereka layak menerima gaji yang tinggi sebanyak RM 3,000 ke atas kerana sumbangan besar pekerja ini kepada ekonomi dan bahagian pendapatan negara beberapa dekad yang lalu.

Peningkatan pekerja yang berpendidikan tinggi dalam pekerjaan berkemahiran rendah merupakan antara faktor majikan perlu menaikkan gaji yang setimpal dalam sektor berkemahiran rendah. Ini akan memberi perubahan struktural dan nilai tambah kepada pasaran kerja Malaysia.

Pihak industri juga perlu aktif melabur dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D). Pelaburan industri dalam penyelidikan di Malaysia masih rendah, iaitu dibawah 2% kepada KDNK berbanding negara maju seperti Singapura dan Australia yang mencatatkan pelaburan lebih daripada 2%. Penyelidikan ini memberi peluang pekerjaan dan pengalaman kepada mereka yang berkemahiran. Pelaburan penyelidikan ini akhirnya akan menguntungkan syarikat dan industri sendiri. Industri Malaysia perlu beralih daripada pemikiran ‘membeli’ teknologi kepada pencipta inovasi.

Saya juga mencadangkan dasar baru seperti 1 Family 3 Skilled Workers bagi menggalakkan setiap keluarga mempunyai sekurang-kurang tiga orang ahli keluarga (termasuk anak-anak) yang mempunyai kemahiran yang diperlukan industri, khususnya isi rumah B40 dan M40, Walaupun isi rumah berpendidikan tinggi meningkat, tetapi anak-anak yang mempunyai kemahiran berbanding ibu bapa mereka amat rendah, hanya sekitar 37%. Situasi ini menyebabkan anak-anak sukar mendapat peluang pekerjaan dan gaji yang setimpal dalam pasaran kerja.

Program ini merupakan rencana pembangunan kemahiran jangka panjang dalam menyediakan pekerja berkemahiran dan menambah pendapatan isi rumah. Ia boleh dilakukan dengan kerjasama institusi latihan kemahiran/pendidikan dan industri di kawasan setempat.

Kerajaan juga harus menggunakan pendekatan baharu dalam mencipta pekerja, dengan melihat pekerjaan berdasarkan kemahiran dan bukan jumlah pekerjaan. Modul seperti menyediakan 1 juta hingga 3 juta pekerjaan amat mengujakan, tetapi adakah jumlah pekerjaan yang besar ini berkemahiran tinggi dengan gaji yang setimpal untuk rakyat?

Ini merupakan langkah pertama yang perlu dilaksanakan segera dalam gagasan Kemakmuran Bersama yang disasarkan pada tahun 2030. Jika rakyat mendapat pekerjaan dan gaji yang setimpal dalam tempoh 10 tahun akan datang, industri dan ekonomi negara akan menerima keuntungannya. Sekiranya keadaan pasaran pekerjaan dan gaji pekerja kekal sama, maka industri dan ekonomi negara akan turut terjejas.

— ASTRO AWANI
Your Cart
SUPPORT US