COMMENTARY

MAY 03, 2020

Dewan Undangan Negeri Sabah contoh terbaik fungsi Parlimen ketika COVID-19

By Fakhrurrazi Rashid

 

MESKIPUN terdapat beberapa Dewan Undangan Negeri (DUN) dilaksanakan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti Kelantan dan Pulau Pinang, DUN Sabah telah menjadi contoh terdekat di Malaysia bagaimana ruang demokrasi dan parlimen boleh sahaja berfungsi dalam membahaskan isu-isu berkaitan Covid-19.

Kerajaan Sabah telah meneruskan persidangan DUN selama tiga hari, iaitu pada 16, 20 dan 21 April 2020. PKP tidak menjadi halangan utama untuk DUN Sabah bersidang bagi memenuhi keperluan Perkara 21 Perlembagaan Sabah yang menetapkan DUN perlu bersidang dalam tempoh enam bulan dari tarikh akhir bersidang.

Antara perkara yang boleh dijadikan perhatian awam dalam persidangan DUN Sabah ialah:

  • Kehadiran wakil rakyat di DUN Sabah dikurangkan kepada 50 orang berbanding 60 orang dalam satu sesi.
  • Wakil rakyat bergilir-gilir memasuki DUN Sabah untuk sesi persidangan
  • Sesi soal jawab dan perbahasan berjalan seperti biasa dengan masa yang ringkas.
  • DUN Sabah telah meluluskan Pakej Rangsangan Ekonomi Pertama 2020 untuk COVID-19  Sabah sebanyak RM 533 juta.

Perbahasan DUN Sabah telah memberi peluang kepada wakil rakyat mendapatkan penjelasan dan informasi tentang dasar kerajaan dalam mengatasi masalah Covid-19 di Sabah. Sokongan DUN Sabah telah memberi legitimasi kepada kerajaan Sabah membuat keputusan yang terbaik dalam aspek ekonomi dan kesihatan Sabah.

Kini, kerajaan Sabah sedang merangka pakej rangsangan ekonomi kedua untuk mengembalikan keyakinan ekonomi rakyat dan pelabur. Sebelum ini, Sabah mengumumkan pakej rangsangan berjumlah RM 670 juta untuk membantu usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dan kebajikan barisan hadapan.

Langkah yang diambil kerajaan negeri dan DUN Sabah boleh menjadi contoh terbaik konsep parlimen sebagai ‘perkhidmatan penting’ untuk membincangkan masalah rakyat ketika berhadapan dengan krisis COVID-19. Perbahasan di parlimen bukan semata-mata untuk mencari penyelesain terbaik, tetapi mencari penyelesaian yang lebih baik untuk rakyat.

Tetapi, parlimen Malaysia mengambil pendekatan yang agak berbeza daripada DUN Sabah apabila menetapkan parlimen akan bersidang selama satu hari pada 18 Mei 2020. Kelewatan parlimen bersidang lebih awal juga bakal memberi kesan kepada kelancaran tadbir urus ekonomi Malaysia yang terkesan akibat Covid-19.

Apa yang membimbangkan lagi apabila ahli parlimen kerajaan dan pembangkang mempunyai pandangan yang berbeza mengenai keputusan tersebut. Di pihak wakil rakyat kerajaan, kebanyakan mereka melihat persidangan parlimen dalam sehari wajar kerana sebagai penggubal undang-undang, ahli parlimen juga perlu patuh kepada undang-undang.

Di pihak pembangkang, ahli parlimen Pakatan Harapan mencadangkan agar sidang khas parlimen diadakan segera untuk membincangkan isu ekonomi dan rakyat akibat Covid-19. Malah, pembangkang turut mencadangkan kerajaan memanjangkan persidangan parlimen 18 Mei ini dan menggunakan pendekatan maya untuk membenarkan perbahasan ahli parlimen diteruskan. Namun, cadangan mereka masih tidak mendapat perhatian pihak kerajaan.

Kesukaran rakyat untuk memahami tugas hakiki ahli parlimen juga telah menjadi satu faktor yang menyebabkan kepentingan parlimen dipandang rendah pada waktu pandemik ini. Kelemahan ini  digunakan oleh beberapa pihak untuk melihat parlimen sekadar tempat parti politik merebut kuasa berbanding institusi yang diangkat perlembagaan untuk menyelesaikan masalah negara.

Realitinya, persidangan selama sehari tidak memberi ruang kepada ahli parlimen untuk membangkitkan permasalahan awam yang kian meruncing akibat Covid-19. Persediaan dalam memastikan ‘Normal  baharu’ dapat difahami rakyat selepas PKP ditamatkan juga masih samar kerana tiada perancangan jalan keluar yang jelas daripada kerajaan pusat ketika ini.

Jadi, sejauh manakah  peruntukan satu hari kepada parlimen dapat membincangkan persediaan ‘Normal baharu’ ini dengan lebih telus dan efektif?

Sidang parlimen yang terhad ini telah menyukarkan ahli parlimen menjalankan tanggungjawab mereka sebagai penggubal undang-undang negara. Tugas mereka bukan sahaja ‘turun padang’ menyantuni rakyat, tetapi mereka turut berperanan menyumbang pandangan dalam membantu negara memulihkan keadaan ekonomi negara yang terkesan dengan Covid-19.

Peranan ahli parlimen bagi menggubal undang-undang untuk memastikan jaminan ekonomi rakyat dalam tempoh jangka panjang lebih penting buat masa sekarang. Perubahan dan pindaan kepada beberapa undang-undang pekerjaan, percukaian, kesihatan dan pendidikan begitu mustahak bagi menempuh ‘Normal baharu’ yang telah mencipta cara kehidupan dan sistem ekonomi yang mencabar buat rakyat.

Sekiranya undang-undang penting tidak digubal lebih awal, maka implikasinya akan lebih terkesan dan ia mungkin mempertaruhkan kehidupan rakyat dan ekonomi negara berhadapan risiko ketika Covid-19.

Itulah kuasa diberikan perlembagaan persekutuan kepada ahli parlimen sebagai pemudahcara kepada rakyat. Ahli parlimen tidak seharusnya hanya duduk atau berkhidmat di kawasan semasa tempoh PKP seperti rakyat biasa.

Tadbir urus kerajaan persekutuan perlu melalui semak dan imbang di parlimen. Ahli parlimen mempunyai tugas meneliti setiap dasar dan perbelanjaan pakej rangsangan ekonomi agar ia diagihkan secara saksama tanpa menafikan hak dan kepentingan rakyat. Soal penggunaan dana awam begitu penting untuk disemak parlimen bagi memastikan tiada ketirisan dan salah guna kuasa berlaku. 

Sebagai sebuah kerajaan berparlimen, kerajaan persekutuan perlu mendapatkan mandat yang kukuh dari parlimen untuk menjalankan tugas ketika pandemik Covid-19. Malah, jemaah menteri juga harus akur dengan perkara 43 (3) perelmabgaan persekutuan yang memperuntukkan jemaah menteri bertanggungjawab kepada parlimen.

Hakikatnya, kerajaan persekutuan tidak perlu pergi jauh sehingga ke Singapura, United Kingdom dan Kanada untuk melihat contoh terbaik amalan demokrasi berparlimen ketika Covid-19. DUN Sabah telah membuktikan kepada rakyat Malaysia bagaimana badan perundangan boleh berfungsi ketika pandemik Covid-19 dengan langkah-langkah yang selamat dan memberi ruang kepada anggota dewan menjalankan tugasnya di DUN Sabah.

Kerajaan persekutuan masih mempunyai masa untuk melakukan perubahan untuk meyegerakan sidang parlimen atau menambah bilangan hari persidangan (seperti DUN Sabah) untuk membolehkan wakil rakyat turut sama terlibat dalam pengurusan krisis Covid-19.

Keputusan yang lahir daripada perbahasan di parlimen akan mengukuhkan kewibawaan dan legitemasi pemimpin menjalankan amanah kepada rakyat. Ia juga bakal mewujudkan perpaduan masyarakat mendepani ‘normal  baharu’.


— Published in ASTRO AWANI on 03 May 2020

Your Cart
SUPPORT US